Timbalan Pengarah SKMM dipenjara 6 bulan

Timbalan Pengarah SKMM dipenjara 6 bulan, denda RM87,000 kerana rasuah

Seorang pegawai kanan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dipenjara enam bulan dan denda RM87,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berhubung kelulusan projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).

Hakim Rozina Ayob memerintahkan hukuman itu terhadap Timbalan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pos dan E-Dagang SKMM Mohd Iskandar King, 44, selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan, menurut laporan Bernama.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Iskandar dipenjara enam bulan dan denda RM50,000 atau penjara 30 hari; manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia dihukum penjara masing-masing tiga bulan dan denda RM18,500 atau 14 hari penjara.

Mahkamah memerintahkan tertuduh tiga hukuman itu berjalan serentak mulai hari ini.

Bagaimanapun, Rozina membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi, dan menaikkan jumlah jaminan terhadap tertuduh daripada RM20,000 kepada RM30,000.

Mohd Iskandar didapati bersalah menerima wang tunai RM50,000 daripada Pengarah Syarikat Golden Sunrise Ventures Sdn Bhd iaitu Mohd Azuzi Mohamed Kamil, yang juga pakar runding bagi Syarikat OCK Setia Engineering Sdn Bhd sebagai upah kerana membantu mendapatkan projek USP Time 3 Extension Fasa 1 daripada SKMM untuk OCK Setia Engineering.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di IOI City Mall Putrajaya pada 8 malam 9 Jan 2019.

Tuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mohd Iskandar turut didakwa menerima dua keping cek masing-masing bernilai RM18,500 atas nama isterinya Nur Ellina Abdul Sukor dan atas nama sendiri daripada Mohd Azuzi yang diketahui mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.

Perbuatan itu didakwa melakukan di Bukit Jalil Golf and Country Resort pada 5 petang 23 Jun 2015.

Tuduhan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu Siti Noor Hafizan Zakaria dan R Francine Cheryl serta Pegawai Pendakwa SPRM Abdul Muntaqim Abdul Aziz. Tertuduh pula diwakili peguam R Sivahnanthan. FMT

Timbalan Pengarah SKMM dipenjara 6 bulan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Tentera tembak diri sendiri, ibu mentua, selepas bertengkar dengan isteri

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker