Keputusan Majlis Tertinggi UMNO pada 2009 akan dikuatkuasakan semula?

PUTRAJAYA: Keputusan Majlis Tertinggi UMNO pada 2009 mungkin dibangkitkan dalam me­syuarat Majlis Tertinggi (MT) Ahad ini bagi meminta pe­­mimpin yang berdepan kes mahkamah untuk ‘berehat’ dari­pa­da terus memegang jawatan.

Peraturan tersebut menyata­kan mana-mana pemimpin atau ahli parti yang didakwa di mahkamah secara automatik digantung semua jawatannya di da­lam parti.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Pengamal Undang-Un­dang, Datuk Adnan Seman berkata, soal penggantungan jawatan itu diputuskan melalui satu mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 29 Mei 2009 yang dipengerusikan Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak setelah menerima syor Jawatankuasa Pengurusan parti.

Dalam hal itu, katanya, Majlis Tertinggi (MT) UMNO mempunyai kuasa penuh menentukan sama ada jawatan mana-mana pemimpin parti berkenaan boleh digantung atau perlu ‘dicutikan’ sehingga kes pendakwaan mereka di mahkamah selesai.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, peraturan itu dilihat tidak lagi digunakan ketika ini biarpun ada dalam kalangan pemimpin tertinggi parti masih terus memegang jawatan walaupun berdepan kes mahkamah.

“Ketetapan MT pada 2009 menyatakan pemimpin yang didakwa boleh digantung jawatan sehingga pelupusan kes,” katanya di sini semalam.

Pada masa ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Mahkamah menetapkan 28, 29, 30 Jun dan 1 hingga 2 Julai ini untuk kedua-dua pihak berhujah secara lisan sebelum memutuskan sama ada bekas Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO itu dibebaskan daripada pertuduhan atau membela diri.

Sekiranya Ahmad Zahid berjaya dalam proses mahkamah itu, beliau akan mendapat kembali jawatannya, mengikut peraturan berkenaan. Namun berhubung pemecatan ahli bagi mereka yang didapati bersalah, ia belum diputuskan.

Selain Ahmad Zahid, beberapa pemimpin lain yang sedang berdepan kes di mahkamah antaranya bekas Presiden UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, me­nyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan juga sedang dibicarakan atas dakwaan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterimanya daripada Perdana Menteri ketika itu, Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 2013.

Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula berdepan sabitan dan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta kerana menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.

MT pernah menggugurkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Labuan yang disandang Datuk Suhaili Abdul Rahman pada 2009 berikutan pendakwaan terhadap beliau di mahkamah atas tuduhan membuat kenya­taan palsu.

“Pengguguran jawatan beliau itu dibuat selaras dengan Perlembagaan Umno, Fasal 10.10,” kata Adnan.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, sebahagian ahli MT difahamkan sedang berusaha ‘memberitahu’ Ahmad Zahid supaya melepaskan jawatan Presiden parti kerana ia adalah keputusan yang dilihat kurang mudarat kepada UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurut sumber, ahli MT tidak mahu menggadaikan parti hanya kerana seorang individu yang dilihat tidak lagi diterima akar umbi dan perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan. – UTUSAN

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker