Rendahkan jangkaan KDNK, saran ahli ekonomi

Rendahkan jangkaan KDNK, saran ahli ekonomi

Ahli ekonomi percaya semakan terkini unjuran Bank Dunia bagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sehingga 3.3% tahun ini masih terlalu optimis memandangkan risiko perbelanjaan penggunaan yang terbantut.

Ini adalah semakan menurun kedua oleh Bank Dunia tahun ini, dengan ramalan 6% pada Mac kemudian 4.5% pada Jun. Ramalan semasa ini selari dengan kadar pertumbuhan 3% hingga 4% yang dijangka oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada masa ini.

Profesor ekonomi Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, jangkaannya awal tahun ini mengenai pertumbuhan yang lemah “malangnya menjadi kenyataan” dan beliau menjangkakan pertumbuhan negatif pada suku ketiga dan keempat tahun ini.

“Bagi tahun ini secara keseluruhan, kami menjangkakan pertumbuhan tahunan antara 1% dan 2%, mungkin sekitar 1.8%,” katanya kepada FMT.

Paolo Casadio dari Universiti HELP bersetuju dengan berkata, kemungkinan penggunaan swasta cukup untuk mendorong pertumbuhan melebihi 2% tahun ini adalah rendah.

Katanya, dengan pembukaan semula ekonomi akan ada sedikit peningkatan namun ia dijangka lemah.

Timbul spekulasi bahawa permintaan masyarakat yang terpendam selepas sekatan selama berbulan-bulan akan menyaksikan penggunaan kembali melonjak, tetapi Casadio berkata, penurunan 9% dalam purata gaji tahun ini dan kadar pengangguran yang tinggi bermakna pendapatan boleh guna ramai orang akan terjejas.

“Tambahan lagi simpanan isi rumah serta simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi 6.3 juta pemegang Akaun 1 dan 9 juta pemilik Akaun 2 telah habis,” katanya.

Katanya, keadaan ini diburukkan lagi dengan kenaikan hutang isi rumah dan berakhirnya moratorium pinjaman.

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak menjangkakan pertumbuhan sekitar 3%, tetapi beliau juga tidak meramalkan peningkatan penggunaan yang ketara, katanya.

“Bagaimanapun ia boleh berubah apabila sempadan antara negeri dibuka dengan syarat orang ramai mengambil kesempatan itu dan pergi bercuti,” katanya.

“Ini akan menjadi lebih jelas apabila sempadan antarabangsa kembali dibuka. Ini dengan andaian kita menjangkakan ketibaan (pengunjung) antarabangsa yang tinggi dan perbelanjaan mereka merangsang ekonomi kita.” FMT

Rendahkan jangkaan KDNK, saran ahli ekonomi


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Tindakan Achey Bocey bantu warga asing dipuji (Video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker