Maskot Omar & Hana untuk Pogba
Maskot Omar & Hana untuk Pogba
Penyenaraian kategori Watak Animasi Popular buat kali pertama pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 cukup menggembirakan penggiat industri animasi tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif, Digital Durian atau DD Animation Studio, iaitu syarikat yang bertanggungjawab menerbitkan siri animasi popular, Didi & Friends dan Omar & Hana, Sinan Ismail berkata, usaha ABPBH membuktikan industri animasi semakin diiktiraf di Malaysia.
“Alhamdulillah, apabila melihat penganjur mewujudkan kategori Watak Animasi Popular kali ini, kami amat berbesar hati.
“Kami menganggap ia permulaan yang sangat baik untuk industri animasi tempatan. Bagaimanapun, kami tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang.
“Apatah lagi, watak animasi lain yang dicalonkan hebat-hebat dan berjaya memberi impak kepada kanak-kanak.
“Jadi, siapa pun yang bakal diangkat sebagai pemenang pada malam kemuncak kelak, kami tumpang gembira dan bangga,” katanya kepada BH Online.
Sinan tidak menyangka watak animasi, Omar & Hana yang mula ditayangkan di televisyen (TV) tempatan pada 2017 dan dianggap ‘hijau’ berbanding siri popular lain, makin mendapat tempat dalam hati penonton, biarpun sasaran audiens terhad kerana mengetengahkan unsur Islamik.
Sehingga kini, katanya, Omar & Hana sudah meraih lebih tiga bilion penonton melalui saluran YouTube dan 6.6 juta langganan di seluruh dunia.
Lebih membanggakan DD Animation Studio, siri itu mendapat perhatian pemain tengah Manchester United (MU), Paul Labile Pogba atau Paul Pogba, seperti yang viral, baru-baru ini.
Dalam status dimuat naik di laman Facebook (FB) bintang bola sepak dunia itu, Pogba dilihat menonton Omar & Hana bersama keluarga selepas membeli TV baharu.
Mengulas perkara itu, Sinan berkata: “Bagi kami, apabila Pogba menyatakan mereka sekeluarga menonton siri animasi terbitan kami, ia suatu kemenangan besar. Ini bukan buat kami sahaja, malah seluruh rakyat Malaysia.
“Saya ada meninggalkan komen di ruang media sosialnya. Jika beliau berminat, kami sudi menerbangkan maskot Omar & Hana ke majlis hari jadi anaknya untuk membuat kejutan.
“Bagaimanapun, sehingga kini belum ada maklum balas daripada Pogba lagi. Kami sedang berusaha mendapatkan maklumat syarikat pengurusan Pogba.
“Selain itu, mungkin usaha sama boleh dirangka bersama bintang bola sepak terkenal itu,” katanya.
Sinan mengaku ketika watak Omar & Hana mula diperkenalkan, perkara yang paling dibimbangkan adalah apakah siri animasi itu mampu bertahan.
Sinan melihat banyak animasi berunsur Islamik kecundang serta tidak mampu bertahan lama dalam industri.
“Sesiapa pun boleh menghasilkan animasi. Tetapi perkara yang paling mencabar adalah mencari formula untuk memastikan produk bertahan lama.
“Sebelum Omar & Hana muncul, ada banyak animasi Islamik dihasilkan. Namun, sayangnya banyak yang tidak mampu bertahan.
“Walaupun pasaran untuk kandungan animasi berunsur Islamik terhad berikutan tidak semua stesen TV terutama di peringkat antarabangsa mahukan kandungan seumpama itu, namun, permintaannya tetap ada.
“Kebanyakan ibu bapa sangat dahagakan kandungan bermanfaat dan sarat unsur ilmiah. Namun, banyak penerbitan animasi Islamik tidak tahu mengemudi perniagaan lalu terkubur,” katanya.
Apa yang penting, tambah Sinan, kandungan dihasilkan hendaklah menarik dan berkualiti. Bukan sahaja kanak-kanak, malah, ibu bapa seronok menonton jika kualiti animasi terbaik disajikan.
Impian DD Animation Studio adalah menembusi pasaran yang lebih luas. Setakat ini, siri Omar & Hana boleh ditonton di Indonesia menerusi saluran RTV dan lebih 20 negara di Tanah Arab.
Siri animasi ini juga disiarkan Eman Channel di United Kingdom (UK) dan dialih bahasa ke bahasa Inggeris, Arab dan Urdu.
“Objektif syarikat di Malaysia sudah tercapai. Sekarang, sasaran kami adalah ke peringkat global dan memastikan kandungan tempatan diterima.
“Nasib baik kita ada platform seperti YouTube, media sosial dan aplikasi. Semua ini sangat membantu untuk memperkenalkan produk kami apatah lagi ketika pandemik, kami tidak boleh menyertai pasaran kandungan di luar negara.
“Kita juga ada platform seperti Google Meet yang membolehkan perbincangan dilakukan secara maya. Biarpun nikmatnya tidak sama berbanding perbincangan empat mata, ia tetap membantu,” katanya.
Selain Omar & Hana dan Didi & Friends, watak animasi lain yang turut menjadi calon awal kategori Watak Animasi Popular adalah Upin Ipin, BoBoiBoy serta Ejen Ali.
Undian calon awal dalam 14 kategori utama dan empat kategori online ABPBH 34 dibuka sehingga 3 Oktober ini. BH
Maskot Omar & Hana untuk Pogba
Baca Artikel Menarik :
- Air mata Loca B berderai anak tak diiktiraf warganegara
- Isteri ‘Kantoi’ Depan Suami Bila Curang Bersama Lelaki Lain Di Rumah [VIDEO]
- Tak payah jadi menteri kalau tak boleh selesaikan isu dera – Azalina
- Khazanah boleh kaut untung RM36 bilion dalam SEA Ltd jika PH tak jual – Najib
- Najib jawab pengkritik yang mengatakan Ahmad Maslan bersalah kerana bayar kompaun
- Bersalin Ketika Hari Pertama Kembali Bersekolah, Gadis 15 tahun Ini Tak Sedar Dirinya Hamil [VIDEO]
- Najib cadang rakyat beli saham dan had pelaburan ASB dinaikkan
- Resepi Telur Goreng Cripsy Viral
- Siasatan dapati pembantu rumah dirogol oleh Paul Yong
- Mahu Rakam Mercedes Klasik, Sekali Terkejut Tok Mat yang pandu (Video)
- https://mykmu.net/2021/09/28/mat-sabu-tegur-anwar-hina-kerajaan-disokong-ulama-sekali-azalina-mencelah/
Layari Laman Facebook MYKMU