GPS curiga tindakan PN tubuh pejabat perhubungan negeri

GPS curiga tindakan PN tubuh pejabat perhubungan negeri, kata Naib Presiden PBB

Gabungan Parti Sarawak (GPS) curiga dengan tindakan Perikatan Nasional (PN) secara mengejut menubuhkan pejabat perhubungan negeri di Sarawak, kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata, susulan pelantikan Pengerusi Bersatu Sarawak Jaziri Alkaf Abdillah Suffian sebagai Ketua Perhubungan PN Sarawak, adakah selepas ini parti itu mahu memberitahu jumlah kerusi yang akan ditandingi mereka.

“Tetapi menjelangnya pilihan raya negeri (PRN) nanti dan mereka (PN) secara tiba-tiba menubuhkan pejabat perhubungan negeri (Badan Perhubungan Negeri Parti PN Sarawak), kita GPS akan curiga dengan apa yang mereka lakukan.

“Adakah selepas ini mereka mahu memberitahu yang mereka mahukan beberapa kerusi (kawasan) di negeri ini,” katanya menurut laporan Utusan Borneo.

Beliau berkata, parti baharu seperti Bersatu, Amanah dan sebagainya harus belajar daripada Umno yang sentiasa menghormati pendirian parti di Sarawak.

Katanya, sejak beberapa tahun Umno sangat menghormati parti Sarawak yang ingin mentadbir kerajaan mereka sendiri.

“Kita telah memberitahu Umno selama bertahun-tahun, jangan datang ke negeri ini kerana kita dapat menjaga negeri ini sendiri.

“Oleh itu, saya berharap agar parti politik seperti PN atau parti lain belajar daripada Umno. Jangan pecah-belahkan kami,” katanya.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berkata, PN boleh menjadi rakan GPS.

Beliau berkata, Sarawak bukan anggota PN, ia lebih kepada formula PN+ GPS, yang bermaksud rakan politik di peringkat persekutuan sahaja, namun tidak di peringkat negeri.

“Justeru, saya ingin tegaskan di sini, GPS bukan sebahagian daripada PN, tetapi kita bersahabat dengan PN,” katanya. FMT

GPS curiga tindakan PN tubuh pejabat perhubungan negeri


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Biarlah Mahathir terjun dengan labu-labunya

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker