Biarlah Mahathir terjun dengan labu-labunya

Biarlah Mahathir terjun dengan labu-labunya

PENEGASAN Tun Dr.Mahathir Mohamad bahawa parti Pejuang tidak akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kerajaan seperti mana dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) atas alasan seolah-olah terdapat unsur ‘rasuah’ dalam perjanjian itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Lagipun menjadi hak bekas Perdana Menteri itu dan partinya untuk membuat sedemikian, tiada siapa boleh halang. Bagaimanapun tindakan beliau tidak akan mendatangkan apa-apa kesan kerana MoU tersebut bukannya bermotif politik.



MoU itu semata-mata bertujuan bagi mewujudkan kestabilan politik supaya usaha dalam memulihkan negara berikutan ‘serangan’ pandemik Covid-19 tidak terganggu. Cukuplah 17 bulan gangguan politik berlaku sehingga ia menjejaskan tumpuan kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin memerangi wabak tersebut.

Apa sahaja dilakukan oleh beliau dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa sahaja dipertikai dan dipersoalkan tetapi selepas Muhyiddin meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu, barulah orang nampak segala usaha yang beliau lakukan selama ini mula menampakkan hasil.

Penulis tidak perlu membentangkan panjang lebar apa yang sudah dilakukan oleh Muhyiddin semasa beliau menjadi Perdana Menteri. Bagi mereka yang tiada apa-apa sentimen politik, mereka akan mengiktiraf usaha Ahli Parlimen Pagoh itu termasuklah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan sekaligus memahami slogan ‘Kerajaan gagal’ hanyalah satu dakyah.

Atas sebab itulah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak boleh menerima nasib yang sama. Kesepakatan dengan pembangkang adalah salah satu usaha bagi mengelakkan negara terjebak dalam krisis politik.



Pelbagai pihak menyambut baik langkah itu yang ‘diterokai’ oleh Muhyiddin lebih awal pada 13 Ogos iaitu tiga hari sebelum beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Namun hasrat Muhyiddin tidak tercapai kerana ditolak pembangkang dan 15 Ahli Parlimen UMNO tetapi mereka menerimanya apabila ditawarkan oleh Ismail Sabri.

Keterbukaan parti-parti dalam kerajaan dan PH untuk menandatangani MoU tersebut adalah langkah terbaik tetapi kalau Dr.Mahathir dan sekutunya parti Warisan yang diketuai oleh Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal terus mahu menolak MoU tersebut, biarkan sahaja.

Lagipun sejak bila pun Ahli Parlimen Langkawi itu bersetuju dengan mana-mana kerajaan atau Perdana Menteri selain diri beliau sendiri? Siapapun jadi Perdana Menteri atau menjadi kerajaan yang bukan di bawah kepemimpinan beliau pasti akan ditolak atau ‘diganggu’ oleh Dr.Mahathir – itulah pandangan ramai orang.

Bermula daripada Datuk Seri Najib Tun Razak hinggalah terakhir Muhyiddin, justeru kalau mahu diharapkan Dr.Mahathir akan menyokong Ismail Sabri dan kerajaan sedia ada … bermimpi boleh la. Dr.Mahathir berpolitik mengikut cara dan kehendaknya.



Tetapi Ismail Sabri dan kerajaan tidak perlu bimbang kerana selain biarkan sahaja Dr.Mahathir ibarat ‘terjun dengan labu-labunya’, ahli politik berusia 96 tahun itu sudah tidak mempunyai apa-apa cengkaman politik lagi. Pengaruh beliau pun tidak sehebat dahulu, sebab itulah parti-parti pembangkang pun dilihat tidak begitu sangat mempedulikan bekas Perdana Menteri tersebut.

Apa yang penting MoU itu tidak akan melemahkan sesiapa sama ada kerajaan mahupun pembangkang. Pemimpin-pemimpin kedua-dua pihak sudah menegaskan perkara itu. Segala yang dilakukan semata-mata untuk memastikan tidak wujud politiking berlebihan sehingga menyusahkan rakyat.
Zulkiflee Bakar Utv

Biarlah Mahathir terjun dengan labu-labunya


Baca Artikel Menarik :



Layari Laman Facebook MYKMU


Ular sawa belit kaki, lelaki selamba ajak berbual



Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker