Kos haji dijangka meningkat, kata TH

Kos haji dijangka meningkat, kata TH

Kos haji dijangka meningkat pada musim haji akan datang berikutan perubahan SOP ibadat itu yang dilaksanakan dalam norma baharu akibat penularan pandemik Covid-19, kata Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH), Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, sebahagian besar kenaikan kos itu adalah berkaitan SOP yang perlu dipatuhi seperti penjarakan fizikal seperti had kapasiti bilik hotel dan bas, selain pergerakan jumlah jemaah di dalam Masjidil Haram yang turut dihadkan.



Katanya, ini berdasarkan kos berkaitan SOP norma baharu, kenaikan kos operasi dan kos lain di Malaysia serta Arab Saudi.

“Saya lihat pelaksanaan SOP ini memberi impak kepada kos haji akan datang kerana baru-baru ini saja jemaah haji perlu membayar sekitar RM15,000 hingga RM20,000 untuk lima hingga tujuh hari, membabitkan tiga lokasi iaitu Arafah, Muzdalifah dah Mina serta melaksanakan Tawaf dan Saie saja.

“Kos itu tidak termasuk kos penginapan hotel di Makkah dan Madinah serta makan minum, juga penerbangan dari Malaysia dan Arab Saudi, maka bakal jemaah perlu bersedia dengan peningkatan kos ini.

“Sebagai perbandingan, bayaran haji pada tahun 2019 ialah RM9,980 seorang untuk tempoh 40-45 hari menerusi subsidi haji,” katanya menurut laporan Berita Harian.



Pada 2019, kerajaan memutuskan bayaran menunaikan haji bagi jemaah haji muassasah yang menunaikan haji kali pertama, kekal RM9,980 dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM12,920.

Kos menunaikan haji tahun itu adalah sebanyak RM22,900 berbanding RM22,450 pada musim sebelumnya.

Bagaimanapun, Malaysia tidak menghantar jemaah haji pada 2020 dan tahun ini susulan pandemik Covid-19.

Syed Saleh berkata, walaupun ibadat haji ditangguhkan dua kali akibat wabak itu namun TH tetap meneruskan persiapan haji dengan mengambil kira situasi pandemik dan perkembangan semasa di Arab Saudi.



Menurutnya, perancangan dan persiapan itu dilaksanakan sejak musim haji 2020 sebagai usaha memastikan kelancaran urusan jemaah haji Malaysia ketika menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Katanya, ia termasuk melaksanakan kursus haji kepada bakal jemaah secara dalam talian iaitu sebanyak 14 siri termasuk tambahan satu siri khusus menekankan SOP baharu di Arab Saudi serta hukum hakam ibadat haji dalam suasana semasa penularan wabak COVID-19.

“TH juga giat memastikan bakal jemaah mendapat vaksinasi masing-masing dan lengkap dos Covid-19 seperti dikehendaki Arab Saudi sebelum mereka dibenarkan memasuki Tanah Suci.

“TH juga melaksanakan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan pada tahun terdahulu yang menekankan istitha’ah atau kemampuan menunaikan haji dalam situasi wabak.



“Dalam muzakarah ini, penting untuk kita memperhalusi dan memberi ketetapan ibadah haji dalam norma baharu dengan melihat kepada kekangan pergerakan dan terhalang semasa melaksanakan ibadah sekiranya berlaku penularan wabak semasa melaksanakan haji,” katanya. FMT

Kos haji dijangka meningkat, kata TH


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU




Ular sawa belit kaki, lelaki selamba ajak berbual

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker