Agenda PAS akan dilaksana secara berperingkat – Nik Zawawi

Agenda PAS akan dilaksana secara berperingkat – Nik Zawawi

Pemimpin PAS komited membawa agenda perjuangan parti itu untuk dilaksanakan dalam negara, namun ia akan dilakukan secara berperingkat, kata Ketua Dewan Ulama PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh.

“Kalau diberi satu jawatan yang besar begini (barisan jemaah Kabinet) dalam kerajaan, sudah tentu kita akan bawa agenda daripada parti kita untuk dilaksanakan dalam negara demi kepentingan agama, bangsa dan negara,” kata Timbalan Menteri II Pertanian dan Industri Makanan itu dipetik Harakahdaily.



Beliau berkata, ketika menjadi pembangkang, “kita sekadar berteori”, namun setelah menjadi parti kerajaan, PAS akan menggunakan kedudukan itu untuk merealisasikan agenda perjuangan parti.

“Apabila kita berada dalam kerajaan, ini adalah waktu untuk kita laksanakan apa yang selama ini kita perjuangkan dalam parti kita dan pelaksanaan ini kita akan buat secara berperingkat.

“Kita tak buat sekaligus, tetapi satu demi satu. Sebab itu, kepada semua di luar sana, saya nasihatkan supaya bertenang,” kata beliau merujuk golongan yang menuduh PAS sekarang kurang lantang memperjuangkan isu berkaitan hukum-hakam Islam berbanding ketika menjadi pembangkang.

Setelah sekian lama menjadi pembangkang di peringkat nasional, PAS menjadi parti kerajaan pimpinan Perikatan Nasional di bawah teraju Muhyiddin Yassin selama 17 bulan, susulan “Langkah Sheraton” yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan.



Muhyiddin terpaksa meletak jawatan bulan lalu, namun PAS terus menjadi sekutu penting dalam kerajaan sekarang yang dipimpin Ismail Sabri Yaakob. Pemimpin-pemimpin PAS terus memegang pelbagai jawatan dalam Kabinet Ismail dan agensi kerajaan berkaitan.

Nik Zawawi tidak menghuraikan agenda perjuangan PAS yang mahu dilaksanakan di peringkat kerajaan.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary baru-baru ini dilaporkan berkata, empat akta baharu, termasuk Rang Undang-undang Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam akan digubal untuk memperkasa perundangan syariah.

Pemimpin PAS itu berkata, RUU bersabit pengembangan agama bukan Islam sebahagian daripada undang-undang syariah yang digubal atau dipinda di bawah Pelan Pemerkasaan Undang-undang Syariah selama lima tahun, dari 2020 hingga 2025.



Semalam, Ismail dilaporkan berkata, kerajaan sedang mempergiatkan usaha mendraf Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2021 atau RUU 355 bagi meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah.

Ismail yang juga Naib Presiden Umno berkata, selepas RUU 355 berkenaan dimuktamadkan, ia akan dibentangkan kepada negeri dalam Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak dan Sivil.

Cadangan pindaan Akta 355 dibentangkan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 sebagai RUU persendirian.

Bagaimanapun, perbahasan mengenainya ditangguhkan dan versi semak semula dibentangkan pada November 2016 serta April 2017.



RUU 355 bertujuan meningkatkan bidang kuasa menghukum Mahkamah Syariah bagi kesalahan jenayah syariah tanpa membabitkan masyarakat bukan Islam, namun ia hanya di peringkat mengemukakan usul tanpa perbahasan. FMT

Agenda PAS akan dilaksana secara berperingkat – Nik Zawawi


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU




TMJ salah tafsir kos – Faizal Azumu

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker