Najib cadang bank wujudkan program pembiayaan beli saham

Najib cadang bank wujudkan program pembiayaan beli saham

Kerajaan dicadangkan memperkenalkan program kepada bank di negara ini membiayai 70 peratus daripada pembelian saham bagi setiap rakyat yang ingin membuat pelaburan dalam senarai saham yang dibenarkan.

Perkara itu dicadangkan Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) yang menjelaskan cara berkenaan sama seperti skim pinjaman ASB yang sudah dilaksanakan ketika ini.

Katanya, rakyat mampu membina kekayaan apabila harga saham naik dan jika tidak naik pun, kadar dividen masih boleh membiayai kos faedah.

“Memandangkan pasaran saham melambangkan keyakinan dan kecergasan ekonomi, kerajaan perlu melaksanakan langkah yang mampu menambah keyakinan pelabur dengan menjadikan pasaran saham Malaysia lebih dinamik, menarik dan merangsang perhatian pelabur.

“Antara langkah yang boleh diambil termasuk menggantung sekali lagi ‘regulated short selling’ serta ‘script borrowing and lending’ sekurang-kurangnya selama enam bulan seperti dilaksanakan tahun lalu bagi menstabilkan pasaran saham dan melindungi pelabur runcit,” katanya dalam perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Najib turut mencadangkan proses mendapatkan kelulusan Suruhanjaya Sekuriti dalam semua urusan syarikat tersenarai dipermudah dan dipercepatkan.

“Saya mendapat maklumat bahawa tempoh kelulusan oleh Suruhanjaya Sekuriti pada masa ini memakan masa terlalu lama dan ini menjadi penghalang bagi syarikat tersenarai tempatan untuk bergerak dengan lebih laju bagi aktiviti perkembangan perniagaan mereka.

Selain itu, bekas Perdana Menteri itu mencadangkan langkah menaikkan aliran tunai diperkenalkan seperti i-Survive berikutan kerajaan tidak ada banyak duit lagi untuk membantu rakyat.

“Suka saya mencadang skim i-Survive iaitu skim pinjaman mudah dengan caj perkhidmatan sebenar paling rendah sebanyak RM3,000 hingga RM5,000 setiap pemohon.

“Sesiapa dari golongan B40, M40 boleh memohon kepada bank dan akan diluluskan secara automatik untuk dibayar terus ke dalam akaun pemohon dua hingga tiga hari kemudian. Pinjaman ini disediakan oleh pihak bank tetapi dengan jaminan penuh kerajaan.

“Caj perkhidmatan sebenar paling maksimum adalah tiga peratus ataupun bersamaan dengan RM90 setahun bagi pinjaman RM3,000 dengan tempoh bayaran balik selama tiga tahun.

“Kerajaan juga akan membantu pembayaran balik setiap tahun dengan geran atau potongan dari BPN sehingga dijelaskan penuh.

Kaedah ini tidak memberi impak kepada hutang langsung negara kerana ia jaminan kerajaan pada bank. Dengan kata lain, kerajaan akan bayar balik bukannya pemohon,” katanya.

Beliau menjelaskan pihak bank tidak perlu bimbang tidak mempunyai cukup dana untuk memberi pinjaman i-Survive kerana, jika 10 juta rakyat yang memohon RM5,000 seorang, jumlahnya hanya sekitar RM50 billion.

“Tak sampai 10 peratus daripada jumlah pinjaman bank yang dibuat bank pada hari ini. Bank-bank Malaysia mencatat keuntungan tertinggi biarpun dalam keadaan pandemik.

“Kerajaan juga patut menaikkan had pengeluaran i-Citra dari RM5,000 ke RM10,000 dengan syarat kerajaan mesti bersungguh memulakan usaha untuk menaikkan semula aset Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan memberi lebih banyak peluang perniagaan bagi syarikat dimilikinya,” katanya.

Najib turut mencadangkan kebenaran kepada rakyat membeli dan melabur dalam aset digital Kripto dengan mata wang ringgit ditambah baik.

“Ini bagi membolehkan mereka melaburkan dalam aset fizikal di pasaran tempatan. Sasaran kita adalah untuk membawa aset kripto melabur di dalam Malaysia bukan untuk rakyat Malaysia membawa keluar.

“Bayangkan jika Malaysia berjaya menawan 5% sahaja daripada nilai US$2 trilion aset kripto dunia? Ini bersamaan dengan pengaliran dana asing sebanyak US$100 bilion atau RM410 bilion yang boleh memanfaatkan negara,” katanya. BH

Najib cadang bank wujudkan program pembiayaan beli saham


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


TMJ salah tafsir kos – Faizal Azumu

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker