UniMAP tandatangan MoU bagi kajian tanaman ganja



UniMAP tandatangan MoU bagi kajian tanaman ganja

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjadi universiti awam pertama menjalankan penyelidikan mengenai tanaman ‘hemp’ (Cannabis sativa), iaitu spesies ganja sebagai produk pertanian yang berpotensi dibangunkan untuk ekonomi, pada masa hadapan.

Naib Canselornya, Prof Ts Dr Zaliman Sauli, berkata UniMAP mengorak langkah dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan MyUS Hemphouse Sdn Bhd (MyUS) berpusat di Kuala Lumpur, bagi mengkaji pokok itu.

“Tanaman ‘hemp’ memerlukan pengawalan yang ketat, di samping ia juga berupaya menjadi sumber ekonomi negara pada masa hadapan kerana sudah ada negara maju yang membenarkan penggunakan ‘hemp’ untuk dikomersialkan.

“MoU ini membolehkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dijalankan di UniMAP dan penekanan akan diberikan menerusi Institut Agroteknologi Lestari (INSAT) di Sungai Chuchuh, Padang Besar, di kawasan tanaman seluas 0.8 hektar,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani MoU berkenaan di sini hari ini.




UniMAP dan MyUS akan menjalankan penyelidikan mengenai prosedur dan aplikasi penanaman ‘hemp’ serta memberi tumpuan kepada bahan-bahan berfungsi untuk pertanian, terutamanya secara organik bagi meningkatkan produk pertanian negara.

“Dengan perjanjian ini, aktiviti penyelidikan mengenai penanaman ini dapat dilaksanakan dengan jayanya, sekali gus hubungan universiti-industri dapat dieratkan dengan program kerjasama penyelidikan,” kata Zaliman.

MyUS satu daripada beberapa syarikat yang bekerjasama dengan kerajaan Malaysia untuk mendapatkan kebenaran menanam, memelihara dan mengurus pengeluaran tanaman ‘hemp’ serta mengeluarkan produk berasaskan tanaman ‘hemp’ yang inovatif untuk penggunaan fiber komposit, biodiesel, perubatan, terapi dan pemeliharaan kesihatan.

UniMAP melalui INSAT akan menyediakan kemudahan yang merangkumi penggunaan tanah untuk aktiviti penanaman tanaman, manakala MyUS bertanggungjawab dalam menyediakan kemudahan infrastruktur, sumber teknikal serta bantuan, bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan.

Sementara itu, Young ketika ditemui berkata pihaknya akan membuat permohonan terlebih dahulu kepada kerajaan, bagi mendapatkan kebenaran membawa masuk benih ke negara dan akan memulakan proses penanaman.




“Kami kini sedang mendapatkan kebenaran daripada kerajaan untuk membawa benih ke sini. Perlis mempunyai cuaca dan iklim sesuai untuk tanaman ‘hemp’ ini,” katanya. BH

UniMAP tandatangan MoU bagi kajian tanaman ganja


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Koperal cedera parah dilanggar, diseret suspek



Leave a Reply

Your email address will not be published.