Datuk bandar KK perjelas kenapa ‘skybridge’ tak bersambung dengan pusat beli-belah

Datuk bandar KK perjelas kenapa ‘skybridge’ tak bersambung dengan pusat beli-belah

KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menjelaskan mengapa projek “KK Skybridge” bernilai RM31.5 juta tidak bersambung dengan salah satu pusat beli-belah tertua di bandar ini.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Noorliza Awang Alip berkata, pihak pengurusan pusat beli-belah Centre Point Sabah mahu membina tangga dan laluan masuk sendiri.



“Pintu masuk ke-7, iaitu pintu masuk ke Centre Point belum dibuka kerana pihak Centre Point sendiri semasa fasa pembinaan telah menyatakan hasrat untuk membina sendiri tangga dan laluan masuk dalam tempoh enam bulan selepas pembangunan ‘skybridge’ siap keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihak Centre Point, dalam akujanji yang dikeluarkan juga menyatakan mereka akan menanggung sendiri kos pembinaan berkaitan.

Ketua Menteri Hajiji Noor membuka “skybridge”, yang pada awalnya dibiayai oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) melalui perjanjian Dana Mudahcara, pada 3 September.

Bagaimanapun, projek itu menjadi bahan ketawa dan kecaman warganet apabila ia didapati tidak berhubung dengan Centre Point.



Ada juga yang mempersoalkan peruntukan besar untuk membina kemudahan itu apabila ia tidak bersambung dengan pusat beli-belah berkenaan.

Perjanjian untuk membina “skybridge” yang membabitkan kerajaan persekutuan, Bank Pembangunan Malaysia dan pemaju Sunsea Development Sdn Bhd ditandatangani pada 9 Feb 2017.

Noorliza berkata, pemaju berjaya mendapatkan dana untuk projek tersebut melalui UKAS. Bagaimanapun pada 2018, pembangunannya diarahkan untuk dihentikan.

“Akibatnya, Dana Mudahcara telah dibatalkan oleh UKAS. Apabila Dana Mudahcara dibatalkan, projek tersebut terbengkalai.



“Demi kepentingan awam, DBKK mengambil inisiatif untuk memohon peruntukan daripada kerajaan negeri Sabah bagi menyiapkan projek ini,” katanya.

“Atas keprihatinan kepada rakyat, kerajaan negeri Sabah bersetuju membiayai projek tersebut atas dasar perkongsian antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan, iaitu 50%-50%.”

Katanya, jumlah peruntukan yang diluluskan untuk menyiapkan infrastruktur dan kerja-kerja yang belum disiapkan adalah sebanyak RM4.7 juta.

Beliau berkata, jejantas sepanjang 400m itu, yang dibuka sepenuhnya kepada orang ramai semalam, adalah sebahagian daripada projek “Skybridge Pedestrian Linkages” dan “Traffic Improvement Works” di bandar raya berkenaan.



Pada masa ini, jejantas itu menghubungkan pusat beli-belah dan hub komersial lain di kawasan berkenaan seperti Pusat Komersial Api-Api, Pusat Komersial Warisan Square dan Pusat Beli-Belah Oceanus Waterfront.

“Skybridge” dilengkapi dengan 20 kiosk niaga berhawa dingin, eskalator dan lif untuk golongan kelainan upaya, dan pembinaannya juga membolehkan kerja-kerja penaiktarafan dilakukan bagi infrastruktur sekitarnya.”

Noorliza berkata, borang tawaran bagi lot-lot perniagaan di “skybridge” akan diedarkan tidak lama lagi. FMT

Datuk bandar KK perjelas kenapa ‘skybridge’ tak bersambung dengan pusat beli-belah




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Koperal cedera parah dilanggar, diseret suspek



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker