Titah Tuanku patik junjung

Titah Tuanku patik junjung (sepenuhnya)

Oleh Mohsin Abdullah

Saya mulakan artikel ini dengan memetik penghujung artikel saya Sabtu lalu. Kesimpulan artikel itu soal menang kalah undi percaya terhadap Perdana Menteri walaupun penting bukan soal pokok.

Paling penting, kata saya menerusi artikel itu, ialah usul undi percaya itu dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Baginda mahukan Ismail “secepat mungkin” mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat bagi mengabsahkan jawatan beliau. Tidak ada kekeliruan dalam titah baginda 18 Ogos lalu. Titah Tuanku jelas, sejelas-jelasnya.

Begitu perenggan akhir artikel saya yang diterbitkan FMT pada pagi Sabtu 4 September lalu. Namun pada petang Sabtu itu juga, Peguam Negara Idrus Harun mengeluarkan kenyataan untuk memberitahu tiada keperluan mengabsah Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Menurut Idrus, pelantikan Perdana Menteri baharu tidak memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain Seri Paduka Baginda dan katanya lagi, sekiranya pelantikan itu masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain baginda, “ini bermakna kuasa mutlak Agong boleh diatasi oleh pihak lain”.

Kata Idrus, “langkah sedemikan tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan menidakkan kuasa Seri Paduka Baginda seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.”

Diakui Peguam Negara arif tentang perundangan dan Perlembagaan. Namun bagi saya yang cetek pengetahuan mengenai perundangan dengan rendah diri ingin menyatakan pastinya Seri Paduka Baginda tahu dan sedar akan peruntukan Perlembagaan Persekutuan khususnya berhubung kuasa baginda.

Lalu saya bertanya – takkan Agong mahu sesuatu yang tidak selaras Perlembagaan dan boleh menidakkan kuasa baginda dilaksana semasa baginda menitahkan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri dikemukakan di Dewan Rakyat “secepat mungkin”.

Juga, dalam menghurai panjang lebar mengenai kuasa Agong melantik Perdana Menteri, Idrus tidak pula memberikan ‘pandangannya’ mengenai titah Tuanku mahukan usul mengenai keabsahan dibentangkan di Parlimen.

Kegagalan beliau berbuat demikian, bagi saya, menyebabkan kenyataannya itu agak tergantung mengenai isu yang dikupasnya.

Beralih kepada satu laporan sebuah laman berita, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ada membayangkan beliau tidak mahu usul undi percaya terhadapnya dibentangkan di Parlimen.

Anwar mendakwa selepas pertemuannya dengan Perdana Menteri pada 25 Ogos, Ismail berbisik “mungkin tidak perlu undi percaya” terhadapnya. Menurut Anwar, beliau memberitahu Ismail “ini bukan soal perlu atau tidak perlu, ini titah Yang di-Pertuan Agong bahawa usul percaya mesti diadakan”.

Sehingga artikel ini ditulis tidak ada penafian terhadap apa yang didakwa Anwar – baik daripada Pejabat Perdana Menteri mahupun Ismail sendiri.

Jika apa yang dikatakan Anwar itu benar, agak pelik mengapa Ismail tidak “berminat” usul undi percaya dijalankan terhadapnya. Pelik kerana bukankah 114 Ahli Parlimen menyokong beliau? Angka itulah yang dipersembahkan kepada Agong sebelum diperakui baginda.

Pembentukan Jemaah Menteri Ismail mengambil kira “sensitiviti” dan kepentingan semua sekutu beliau. Tentunya semua pihak berpuas hati. Oleh itu, 114 Ahli Parlimen boleh diharapkan untuk memastikan Ismail melepasi ujian mengabsahkan jawatan Perdana Menteri.

Daripada jumlah itu, 31 terdiri daripada Ahli Parlimen Bersatu. Mereka, saya rasa, amat berpuas hati presiden mereka dilantik Ismail sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara. Bila mereka senang hati, pada hemat saya, legalah Perdana Menteri.

Malah blok pembangkang juga menunjukkan tanda awal akan menyokong undi percaya itu. Meskipun perkembangan terbaharu boleh membuat mereka berubah fikiran. Ini termasuk pelantikan Muhyiddin Yassin yang disebut tadi.

Bagaimanapun, jumlah 114 undi Ahli Parlimen ‘milik’ Perdana Menteri amat mencukupi untuk menewaskan jumlah kerusi milik pembangkang jika mereka tidak mahu menyokong undi percaya berkenaan.

Apa pun, sebarang persepsi bahawa wujud cubaan mengelak usul undi percaya terhadap Ismail di Dewan Rakyat hanya akan mencetuskan isu kredibiliti dan kewibawaan terhadap beliau dan kerajaan pimpinannya – sebagaimana yang ditempuhi oleh Muhyiddin Yassin.

Apa yang pasti ialah pelbagai pihak mahu Ismail melalui ujian keabsahan di Parlimen. Khususnya pembangkang. Itu bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Ada juga pihak yang mengingatkan Perdana Menteri bahawa beliau akan dilihat mengingkari titah. Benar. Bagi saya negara tidak mampu melalui krisis Perlembagaan. Lebih-lebih lagi pada waktu pandemik ini.

Anehnya, pemimpin utama Umno tidak mengulas berhubung usul undi percaya tiada dalam aturan sidang Parlimen yang akan bermula Isnin ini. Setakat ini. Tidak ada juga komen terhadap ura-ura Ismail tidak mahu usul itu dibentangkan.

Bagaimanapun, beberapa ahli akademik tempatan senada dengan Peguam Negara bahawa berdasarkan perundangan usul percaya untuk mengabsahkan Perdana Menteri tidak perlu.

Bagi saya, kesimpulan terbaik isu ini dibuat oleh Aziz Bari. Benar beliau ialah ketua pembangkang (mewakili DAP) di Dewan Undangan Negeri Perak. Oleh itu pandangannya akan disifatkan ramai sebagai tidak akan memihak kepada Ismail. Tetapi saya melihat pandangan beliau cukup logik – datang daripada seorang seorang professor yang pakar tentang Perlembagaan.

Kata beliau, isu keabsahan bukan isu undang-undang. Apa yang menjadi persoalan, kata Aziz, ialah isu yang lebih bersifat politik atau asas moral kepada pelantikan dan kedudukan Perdana Menteri.

Seruan diadakan usul percaya adalah supaya pelantikan tersebut disahkan. Meskipun ia bukan keperluan undang-undang, ia tidak bertentangan dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan.

Beliau membawa perhatian umum bahawa Agong sendiri menyarankan usul tersebut. Dengan ini, kata Aziz, kenyataan Peguam Negara “aneh dan menimbulkan persoalan”.

“Ini dengan sendirinya menolak andaian Peguam Negara yang usul berkenaan mempersoal kuasa Yang di-Pertuan Agong,” kata Aziz, sambil menegaskan Peguam Negara sepatutnya menyokong cadangan yang jelas menyuburkan tradisi perlembagaan.

Jika benar Ismail merasakan perlu usul undi percaya terhadapnya dibentang, masih ada masa untuk beliau membawa usul itu ke Parlimen. Meminjam kata-kata Aziz, demi menyuburkan tradisi perlembagaan. Dan ya – menyambut penuh titah Seri Paduka Baginda. FMT

Titah Tuanku patik junjung


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Titah Tuanku patik junjung

Lagu Caprice membuatkan Yahudi lari bertempiaran

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker