RAJ 1 paling tinggi dibida

Arau: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis berjaya mengutip hasil bidaan sebanyak RM3.48 juta bagi nombor pendaftaran RAJ sepanjang lima hari bermula 18 Februari lalu.

Pengarahnya, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata, nombor pendaftaran RAJ 1 paling tinggi dibida dengan RM202,670.

“JPJ Perlis membuka siri pendaftaran ini sehingga 22 Februari lalu (kelmarin) dan menerima 4,026 pembida dengan jumlah bidaan sebanyak RM3,486,332.

“Selain RAJ 1 yang mendapat sambutan tinggi, RAJ 5 kedua tertinggi dengan RM101,780, diikuti RAJ 3 yang dibida sebanyak RM 81,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Fatimah berkata, jumlah pembida yang berjaya mendapatkan nombor pendaftaran siri itu adalah 2,333 orang, dengan keputusan diketuai semalam.

“Bidaan siri RAJ ini adalah kali kelima dilaksanakan secara dalam talian menerusi secara e-Bidding selepas siri RAE.

“Aplikasi JPJeBid menawarkan ketelusan bidaan bermula daripada pendaftaran sehingga transaksi bayaran dan pembida boleh mengetahui kedudukan (ranking) secara ‘real time’ dan sepenuhnya melalui sistem tanpa unsur campur tangan manusia,” katanya.

Sementara itu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut melancarkan nombor pendaftaran siri khas universiti itu hari ini, iaitu UR1 hingga UR9999 yang boleh dibina mulai esok hingga 4 Mac.

Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Dr R Badlishah Ahmad berkata, walaupun UniMAP bukanlah universiti pertama yang melancarkan nombor pendaftaran khas, ia tetap mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Kombinasi kedua huruf UR ini diambil bagi mewakili huruf U yang juga adalah awalan perkataan UniMAP manakala R adalah nombor pendaftaran kenderaan rasmi bagi Perlis,” katanya ketika berucap pada pelancaran nombor pendaftaran itu, hari ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mencemar duli melancarkan majlis itu.

Menurut Dr R Badlishah, pihaknya menyasarkan keseluruhan hasil dikutip daripada bidaan itu sebanyak RM10 juta dan mereka berminat boleh melayari laman web www.urplat.com untuk maklumat lanjut.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker