Kebangkitan semula Taliban

Kebangkitan semula Taliban.  Selama 20 tahun (2001-2021) Amerika Syarikat (AS) telah menyumbang lebih AS$80 bilion dalam bentuk latihan dan sokongan kepada pasukan keselamatan di Afghanistan.

Namun, ia tidak dapat mencegah pengambilalihan semula Afghanistan oleh Taliban dalam masa yang singkat.

Kabul, ibu kota dan pusat pemerintahan kerajaan Afghanistan yang disokong AS telah berjaya ditawan kumpulan Taliban tanpa apa-apa tentangan atau tembakan sehingga pemimpin kerajaan Afghanistan, Presiden Ashraf Ghani terpaksa melarikan diri ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk mengelak daripada diburu.

Perkembangan di Afghanistan terjadi dengan drastik dan cepat sehingga Presiden AS, Joe Biden ketika ditanya di Rumah Putih terpaksa mengakui bahawa beliau dan pentadbirannya tidak bersedia menghadapi cabaran di Afghanistan.

Mengapa ia boleh berlaku sedangkan dari segi bilangan, tentera kerajaan lebih ramai dan dilengkapi senjata lebih canggih? Pihak Taliban dipercayai hanya mempunyai kekuatan satu pertiga daripada jumlah bilangan tentera kerajaan Afghanistan dan tidak mempunyai pasukan tentera udara.

Ia boleh dikatakan sebagai kesilapan politik dan pentadbiran kerajaan Afghanistan sehingga membawa kepada kejatuhannya. Antara punca-punca yang menyumbang kebangkitan semula Taliban dan kejatuhan kerajaan Afghanistan, pertama adalah disebabkan masalah rasuah yang amat serius di Afghanistan.

Menurut laporan mengenai indeks rasuah yang diterbitkan Transparency International (TI) pada 2020, Afghanistan hanya memperoleh 19 markah daripada 100. Di Afghanistan, sesiapa ingin memperoleh kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan perubatan, mereka perlu ‘membayar’ dalam bentuk rasuah kepada pihak berkuasa.

Amalan rasuah yang berleluasa adalah akibat perang dan ketidakstabilan selama empat dekad yang telah memusnahkan institusi pemerintahan, kurangnya sistem semak dan imbang serta pertumbuhan ekonomi yang lembab.

Penduduk bantah Taliban tukar bendera rasmi Afghanistan

Antara bentuk amalan rasuah di Afghanistan adalah nepotisme, mempengaruhi tindakan untuk mendapatkan faedah peribadi, rasuah dalam perolehan projek, pemimpin menggunakan pendapatan kerajaan untuk kepentingan diri, tidak membayar cukai, pengubahan wang haram, pencurian harta benda awam, pemerasan, penanaman dan pengeluaran candu serta rasuah dalam pemberian bantuan antarabangsa.

Ia menyebabkan rakyat marah dan hilang keyakinan terhadap kerajaan Afghanistan. Jadi, dalam keadaan terdesak ramai menaruh harapan kepada kumpulan Taliban.

Kedua, kelemahan dan tiada ketulusan dalam pentadbiran kerajaan Afghanistan. Sering kerajaan Afghanistan mahu menonjolkan kekuatan pasukan ke-selamatannya, kononnya mempunyai seramai 300,000 orang tetapi realitinya, jumlah tentera dan polis yang benar-benar aktif kurang daripada separuh. Kerajaan Afghanistan sengaja memperbesarkan angka anggota keselamatan untuk meyakinkan orang ramai.

Selain itu, anggota keselamatan yang benar-benar wujud tidak dibayar dengan upah setimpal, malah ramai yang tidak dibayar gaji selama beberapa bulan kerana berlaku penyelewengan di peringkat kerajaan pusat, wilayah dan daerah.

Anggota keselamatan akhirnya hilang semangat untuk menjalankan tugas dan mempertahankan kerajaan Afghanistan yang tidak menjaga kebajikan mereka. Ia salah satu punca mengapa kumpulan Taliban walaupun mempunyai bilangan askar yang kurang daripada kerajaan Afghanistan tetapi mudah menawan bandar-bandar utama dengan tentangan minimum.

Ketiga, tahap pergantungan keterlaluan kepada AS. Sejak kehadiran tentera AS di Afghanistan 20 tahun lalu, kerajaan Afghanistan sebenarnya tidak lebih daripada proksi kepada AS. Walaupun Afghanistan negara yang merdeka tetapi hakikatnya tidak bebas daripada pengaruh dan pergantungan kepada AS.

Selama 20 tahun AS telah cuba membangunkan ekonomi dan pentadbiran Afghanistan dengan memberi peruntukan dalam bentuk kewangan kepada pemimpin Afghanistan tetapi bantuan itu hanya memperkayakan golongan elit dan bukannya orang ramai yang memerlukannya.

Justeru, pada Februari 2020 apabila AS mengisytiharkan pengunduran tentera dari Afghanistan, ia menyebabkan ramai penyokong kerajaan sudah kehilangan harapan dan mengalah kerana mereka sedar kerajaan Afghanistan tidak boleh bertahan tanpa kehadiran AS.

Kebangkitan semula Taliban pada 2021 adalah akibat kelemahan kerajaan Afghanistan itu sendiri. Ini memberi pengajaran kepada semua negara bahawa amalan rasuah dan penyelewengan mampu mengganggu gugat kestabilan sesebuah kerajaan.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya

Kebangkitan semula Taliban

 


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Zuraida mahu ke Afghanistan bimbing Taliban

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker