Anak penoreh getah jadi Perdana Menteri Malaysia



PENTAS politik Malaysia memang gah dengan nama pelbagai pemimpin. Apabila menyebut tentang jawatan Perdana Menteri, nama yang sering diperkatakan kebiasaannya ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Zahid Hamidi, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tengku Razaleigh Hamzah.Inilah nama-nama yang akan diadukan di gelanggang politik dalam merebut jawatan nombor satu pentadbiran negara. Malah pertembungan Dr Mahathir dan Anwar sendiri sudah berlarutan sejak 20 tahun lalu.

Dalam tempoh 10 tahun ini, memang amat jarang sekali, nama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi titik fokus media untuk dicanang selaku Perdana Menteri. Apatah lagi, dalam hierarki UMNO beliau baru beberapa tahun meniti tangga jawatan sebagai Naib Presiden parti.

Malah, berbanding dengan kebanyakan Perdana Menteri lain yang mungkin dilahirkan di atas ‘dulang emas’ atau pun daripada keluarga bangsawan, Ismail Sabri hanyalah anak kepada seorang penoreh getah.

Kehidupan mereka sekeluarga bukanlah sesenang yang disangka. Sumber pendapatan mereka hanyalah hasil torehan getah di ladang milik mereka sendiri.

Harga sekeping getah skrap berapa sen sahaja tetapi cukup untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Dilahirkan pada 18 Januari 1960 di Kampung Bukit Tingkat, Temerloh, Pahang, Ismail Sabri adalah bongsu daripada tujuh beradik.

Namun, kata orang tuah ayam nampak dikaki tuah manusia siapa yang tahu.

Hari ini, Ismail Sabri anak kepada pasangan pasangan Yaakob Abdul Rahman dan Wan Nah Wan Mamat melakar sejarah apabila mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Budak kampung sejati

Mengenang kembali kehidupan Ismail Sabri sejak kecil, anak saudara beliau Azhar Mohamed, 56, menggambar Ismail Sabri seorang budak kampung sejati yang biasa berkubang di sungai dan bermain di paya.

Malah ketika bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bangau, Ismail Sabri merupakan harapan sekolah dan sering mendapat nombor satu dalam peperiksaan.

“Oleh kerana jarak usia kami tidak jauh beza, ketika kecil, bapa saudara saya itu adalah rakan sepermainan di Kampung Bukit Tingkat. Kami suka mandi sungai dan main di paya.

“Ismail Sabri seorang yang berani. Budak kampung biasa la. Kalau terjun dari tebing sungai itu menjadi mainannya.

“Waktu itu tiada televisyen di rumah. Kami berdua pergi tengok wayang di Panggung Seri Termerloh. Masa itu tahun 70-an, popular dengan cerita koboi. Ismail Sabri sangat suka cerita koboi.

 

Ismail Sabri (kanan) sewaktu zaman remaja.
Ismail Sabri (kanan) sewaktu zaman remaja.

 

“Kami masuk percuma kerana tiada bayaran dikenakan kepada kanak-kanak,” katanya mengimbau kenangan lalu.

Azhar menjelaskan, pada era 70-an, bapa Ismail Sabri membuka kedai runcit di Temerloh sementara ibu pula menjual buah-buahan di pasar Temerloh.

“Ismail Sabri ini minat dengan berniaga. Dulu dia sekolah menengah di Kuantan. Cuti sekolah sahaja dia akan tolong ibu bapanya meniaga.

“Dia juga meniaga ais krim dan meniaga permainan tikam,” katanya sambil ketawa mengenangkan peristiwa lalu.

Azhar mengakui berbangga kerana selepas berpuluh tahun terlibat dan jatuh bangun dalam dunia politik, hari ini Ismail Sabri mengakhiri kekusutan politik tanah air selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan pada Isnin.

Naib Presiden UMNO itu meraih 114 sokongan ahli Parlimen yang terdiri daripada UMNO (37); Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (31); Pas (18); GPS (18); MCA (2): Bebas (4) dan masing-masing satu daripada PBRS, PBS, Star, dan MIC.

“Saya bagi pihak orang kampung, sangat bersyukur dan ia satu kebanggaan pada orang Kampung Bukit Tingkat kerana berjaya naik di peringkat tertinggi dalam dunia politik.

“Semua orang kampung suka dengan pencapaiannya itu,” katanya kepada Sinar Premium.

Saat duka Ismail

Jatuh bangun Ismail Sabri dalam dunia politik negara amat dirasai oleh insan berusia 61 tahun itu.

Ismail Sabri pernah menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan (2008-2009); Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (2009-2013); Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2013-2015) dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (2015-2018).

Bagaimanapun pengalaman palit pahit Ismail Sabri sudah tentunya tatkala melihat Barisan Nasional (BN) kalah pada PRU14 tahun 2018 sebelum seorang demi seorang sahabatnya meninggalkan parti menyertai parti lain.

Namun selepas 22 bulan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, Ismail Sabri kembali tampil sebagai menteri di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN), kali ini sebagai Menteri Kanan (Keselamatan) sebelum naik pangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Julai lalu.

Sementara itu salah seorang lagi individu yang rapat dengan Ismail Sabri ialah Ketua Wanita UMNO Bahagian Bera, Datuk Sabariah Saidan mengakui saat kekalahan BN pada PRU14 adalah detik yang memberi impak besar kepada pemimpin itu.

 

Ismail Sabri suatu ketika menjadi perhatian utama masyarakat apabila saban hari, pada sidang media mengenai Covid-19, sering berpakaian baju batik.
Ismail Sabri suatu ketika menjadi perhatian utama masyarakat apabila saban hari, pada sidang media mengenai Covid-19, sering berpakaian baju batik.

 

Ketika BN tumbang di tangan PH, beberapa ahli Parlimen daripada UMNO mengambil keputusan keluar parti dengan menyertai Bersatu demi survival politik masing-masing.

Namun Ismail Sabri tetap cekal dan setia bersama parti walaupun UMNO/BN tidak lagi mempunyai kuasa dalam kerajaan.

“Dia pernah cakap secara peribadi dengan saya, walau apa pun terjadi, biarlah dia habiskan karier politik bersama UMNO. Biar akhir hayat bersama UMNO,” katanya.

Mengenali Ismail Sabri sejak 2006, Sabariah menjelaskan, Ismail Sabri seorang yang sangat merendah diri dan amat disenangi oleh penduduk di sini terutamanya di Parlimen Bera.

“Beliau bukan lahir dalam keluarga yang senang. Disebabkan itu dia dapat merasai kesusahan orang di kawasannya dan sentiasa merendah diri,” katanya.

Malah Sabariah berkata, Ismail Sabri juga merupakan guru dan mentornya dalam arena politik.

“Saya dulu merupakan kerani di pejabat Parlimen. Selepas itu saya menjadi Ketua Wanita Cawangan pada tahun 2006. Pada tahun 2018 saya bertanding sebagai Ketua Wanita UMNO Bahagian atas restu beliau.

“Dari segi politik, beliau tidak kedekut ilmu. Dia idola dan guru. Falsafah yang dia ajar adalah, kita jangan cipta musuh dan banyakkan kawan,” katanya.


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214




Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Zuraida mahu ke Afghanistan bimbing Taliban



Leave a Reply

Your email address will not be published.