Gunung Jerai ‘menangis’, tiga selamat, seorang lagi hilang [VIDEO]

Sebaran :

Gunung Jerai ‘menangis’, tiga selamat, seorang lagi hilang . Tiga kakitangan Jerai Hill Resort terselamat, manakala seorang lagi hilang selepas terperangkap dalam kejadian kepala air di Gunung Jerai, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, seorang daripada kakitangan terbabit cedera di bahu dan dihantar ke hospital menggunakan khidmat EMRS Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 4.38 petang.

Katanya, mangsa yang cedera adalah Muhamad Muslim Shaari, 36, manakala dua lagi kakitangan, Muhamad Soleh Abdul Halim, 30-an, dan Muhammad Siraj Munir Muhamad Abdul Malek, 33, tidak cedera.

“Setakat ini, masih terdapat seorang mangsa iaitu Mohamad Syahruzi Muhamad, 40-an, gagal dikesan dan dipercayai masih hilang.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dilakukan membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak dan kita sedang menunggu Unit STORM dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) untuk bantuan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, kepala air di gunung itu turut mengakibatkan banjir kilat di kampung sekitar kaki gunung di Yan dan Merbok dengan lebih 10 rumah dilapor rosak.

SAR turut membabitkan polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA).

Sementara itu, lebih 10 buah rumah di Taman Lembah Merbok, Tupah di sini turut terjejas akibat limpahan air deras yang dipercayai turun dari Gunung Jerai dekat sini petang ini.

Penduduk yang juga Imam Masjid Al Busyra Merbok, Mohd. Firdaus Mat Akhir memberitahu, aliran air Sungai Tupah semakin laju pada pukul 4 petang sebelum melimpah ke kawasan perumahan tersebut.

“Lebih 10 buah rumah yang terjejas terletak berhampiran Sungai Tupah dan air deras melimpah sehingga beberapa buah kereta beralih daripada kedudukan asalnya.

“Selain itu, banyak kayu balak dan serpihan papan rumah yang dihanyutkan air dapat dilihat di kawasan sekitar ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jarak taman perumahan tersebut dengan Gunung Jerai adalah kira-kira lima kilometer.

Tambahnya, kawasan yang dinaiki air termasuk jalan sehingga paras paha sudah surut, namun aliran air sungai masih deras.

“Rumah saya bagaimanapun tidak terlibat dalam kejadian ini kerana terletak agak jauh dari sungai selain berada di kawasan lebih tinggi,” jelasnya.

Kejadian limpahan air deras dari Gunung Jerai itu menyebabkan beberapa kawasan terletak berhampiran gunung tersebut terjejas termasuk Tupah, Kampung Perigi di Yan dekat sini dan kawasan Gurun.

Gunung Jerai ‘menangis’, tiga selamat, seorang lagi hilang


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Kekal jadi kerisauan jika calon PM ke-9 tidak dapat majoriti besar – Kolonel Bersekutu


Sebaran :

Leave a Reply