Nabil doakan isteri dan rakan artis terus berhijab

Sebaran :

Nabil doakan isteri dan rakan artis terus berhijab

Melihat kepada perubahan baik beberapa rakan selebriti dan artis wanita tanah air termasuk isterinya, Nazira Ayub, sejak awal Muharam lalu, pengacara dan pelawak terkenal, Nabil Ahmad, 38, melahirkan rasa gembira selain bersyukur dengan imej bertudung masing-masing.

Menurut Nabil, bagaimanapun sebagai seorang yang juga sedang memperbaiki diri, Nabil mengaku istiqamah adalah perkara yang sukar untuk dilakukan.

“Ini sudah tentu adalah berita yang baik dan menggembirakan.Saya ucapkan tahniah dan syukur. Bila tengok isteri sendiri juga bertudung, itu pun saya bersyukur dan doakan semua mereka ini terus istiqamah.

“Sebab ujian kita di akhir zaman ini lain macam sikit. Takut juga, Allah SWT beri hidayah, dan Dia juga boleh tarik balik. Saya juga percaya, ramai mula terjentik hati ini menerusi asbab pemergian Allahyarham Siti Sarah Raisuddin baru-baru ini.

“Siapa sangka, Shuib, rakan saya sendiri menjadi duda sedangkan kita semua mungkin terfikir akan tua bersama-sama. Bila Allah SWT ambil sahabat kita ia telah menjentik sesuatu di hati. Kita pun tak akan tahu bila masa kita pula. Entah esok atau lusa, “katanya.

Nabil berkata demikian semasa ditemui dalam satu sidang media yang diadakan secara virtual semalam sempena sambutan kemerdekaan dan Ulang Tahun Astro yang ke-25.

Isteri Nabil, Nazira mula mengenakan tudung sekitar Januari lalu manakala yang rakan artis yang terbaru tampil selesa dengan imej yang sama ialah Nana Mahazan, Vicha Saywho, Fieya Julia serta Betty Rahmat.

Selain itu, kata Nabil, dalam usaha memperbaiki diri dan melakukan perubahan baik, dia dan isterinya juga telah membuat keputusan memadam gambar-gambar lama yang dianggap tidak bersesuaian dipaparkan lagi di dalam akaun Instagram masing-masing.

“Kami sama-sama buat begitu kelmarin. Iyalah, kita tidak tahu bila Allah SWT nak ambil nyawa kita. Banyak perkara yang berlaku di sekeliling yang meninggalkan kesan di hati, jadi ini adalah persediaan kami,”katanya.

Dalam pada itu, berkongsi mengenai perjalanannya dengan Astro, Nabil bersyukur sejak tahun 2008, syarikat penyiaran gergasi tersebut telah banyak membuka ruang dan memberi peluang untuknya mengembangkan bakat dan kerjaya.


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


“Hampir 14 tahun berada dalam industri ini, Astro telah banyak memberi peluang sepanjang meniti kejayaan dalam kerjaya seni ini sehinggalah saya berupaya tampil dengan filem komedi seram arahan sendiri, The Hantus.

“Alhamdulilah, walaupun dalam keadaan pandemik sekarang, saya bersyukur kerana Astro masih meletakkan saya di pentas utama menerusi program-program terbitannya. Dalam erti kata lain,saya masih diberi kepercayaan dan dihargai,”katanya.

Berkongsi lanjut, kata Nabil, dia juga berbesar hati kerana Astro juga telah menyusun strategi untuk menampilkan dirinya dalam sebuah projek animasi bersiri tidak lama lagi.

“Ia akan menyaksikan saya pertama kalinya dipaparkan dalam watak animasi. Jalan ceritanya juga menarik dan mencuit kisah nostalgia zaman kanak-kanak dan pengalaman sendiri.

“Sekali gus ia juga mengimbau kenangan zaman kanak-kanak kita sewaktu menonton animasi tempatan popular seperti Usop Sontorian dan Anak-Anak Sidek. Saya tak boleh ceritakan lanjut mengenai perkara ini, nantikan majlis pelancarannya bulan hadapan ya,”katanya. Utusan

Nabil doakan isteri dan rakan artis terus berhijab

Saya tak perlu letak jawatan – Pengerusi Mara


Sebaran :

Leave a Reply