Niat Saya Hanya Satu, Nak Uruskan Jenazah Sebaik Mungkin – Penggali Kubur

Niat Saya Hanya Satu, Nak Uruskan Jenazah Sebaik Mungkin – Penggali Kubur

GOMBAK: Pemergian isteri tercinta akibat kencing manis sejak 11 tahun lalu membawa jiwa Roslee Ali untuk setia di kawasan Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, di sini.

Bertitik tolak daripada pemergian Allahyarham Rosnah Ahmad, penerima anugerah Tokoh Frontliner Khas Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan ini, mula mengabadikan dirinya untuk berbakti kepada masyarakat.



Bukan wang ringgit atau anugerah yang didambakan, namun yang dikejar ialah saham akhirat untuk bekalan pulang ke negeri abadi kelak.

Astro AWANI semalam berpeluang menyelusuri kisah hayunan tangan dan kudrat si penggali kubur, yang mungkin selama ini tidak didendangkan.

Tujuh pagi setiap hari, Roslee memulakan rutinnya menggali kubur

Tujuh pagi setiap hari, Roslee memulakan rutinnya menggali kubur – Gambar Astro AWANI

“Terus terang saya cakap kalau saya nak hidup mewah, saya buat kerja perpaipan (kerja asal). Memang gaji saya lumayan. Tetapi saya memilih kerja kubur ini kerana tengah hari saya boleh balik rumah.



“Selain itu, lebih dekat untuk saya menziarah kubur arwah (isteri). Kalau saya buat kerja saya dulu, pergi pagi, balik pagi. Kalau tak, pergi pagi dan balik tengah malam,” ceritanya kepada Astro AWANI, di sini, pada Jumaat.

Bagi bapa kepada enam cahaya mata ini, kekuatan kudrat dan kesihatannya adalah pinjaman Yang Maha Esa.

Dengan usia menjengah 63 tahun, Roslee bersama penggali kubur yang lain pernah menggali 40 liang lahad sehari.

Keringat yang dicurahkan hanya untuk memastikan sekujur badan disempurnakan sebaiknya menuju kampung abadi, kerana setiap orang tidak sama nasib di sana.



“Kekuatan saya dan niat saya hanya satu, bukan nak cari kemewahan di kubur ini, tetapi apabila ada di sini dan apabila saya bermain (menguruskan) dengan jenazah, saya nak selesaikan jenazah itu sebaik mungkin.

Keadaan tanah yang berbatu dan cuaca panas antara cabaran buat Roslee - Gambar Astro AWANI

Keadaan tanah yang berbatu dan cuaca panas antara cabaran buat Roslee – Gambar Astro AWANI

“Setiap pagi saya bangun dalam pukul 4 atau 5 pagi, saya mandi, dan selepas solat Subuh dalam fikiran saya satu sahaja, ‘berapa pula jenazah hari ini yang saya nak hadap’,” ujar Roslee.

Pengalaman Menggali Kubur



Setiap pukul 7 pagi, Roslee akan memulakan rutin untuk menggali lubang kubur.

Namun, pada satu malam tahun lalu, selepas solat Isyak, Roslee menerima panggilan telefon pertama untuk menguruskan jenazah COVID-19.

Ketika itu, dia akui, jiwanya tersentuh meskipun sudah lali dengan pengurusan jenayah.

“Lama-lama saya fikir, niat nak tolong orang, terpaksa juga buat sebaik mungkin.



“Alhamdulillah (selepas) hampir setahun setengah, saya rasa diri saya tak ada apa (dijangkiti COVID-19). Mungkin Tuhan melindungi saya,” luahnya menzahirkan rasa syukur.

Bercerita lebih lanjut, Roslee berkata sepanjang bergelar penggali kubur sejak 2011, antara cabaran yang perlu ditempuhi ialah keadaan tanah yang berbatu dan cuaca.

Sejak pandemik COVID-19 melanda, dia berkata, cabaran tersebut sedikit berbeza kerana memerlukan mereka yang menguruskan jenazah memakai Pakaian Perlindungan Diri (PPE).

Setiap lubang kubur yang digali mengambil masa sekurang-kurangnya 30 minit untuk disiapkan - Gambar Astro AWANI



Setiap lubang kubur yang digali mengambil masa sekurang-kurangnya 30 minit untuk disiapkan – Gambar Astro AWANI

“Sejak COVID-19, tengah hari saya tak pernah balik rumah sebab saya ada anak dan cucu. Apabila balik pada petang, saya mandi dan berkurung dalam bilik. Sampai pukul 8 lebih, cucu ketuk pintu untuk panggil makan.

“Selepas itu, saya masuk bilik dan tidak bergaul dengan anak-anak. Alhamdulillah, dua atau tiga minggu lepas, anak saya telah buat ujian saringan dan dia tiada masalah (negatif), bermakna saya juga baik,” katanya.

Ditanya bagaimana rasanya di dalam PPE, Roslee menyifatkan ia sebagai satu ‘penyiksaan’.

“(Saiz seluar) saya daripada 36, sekarang tinggal 33. Dah susut badan saya. Memakai PPE khususnya dalam cuaca macam ini (panas), ia seperti kita mandi hujan. Basah. Dan nafas kita tak cukup,” ujarnya.

Sejak peningkatan kes kematian COVID-19, Roslee berkata, jentera digunakan untuk menggali lubang kubur.

Namun, bagi pengurusan jenazah lain, kebanyakannya memerlukan Roslee menggali liang lahad menggunakan cangkul.

“Pukul 2 petang kita sudah mula pakai PPE, sampai habis menguruskan jenazah COVID-19. Kalau jenazah cepat dibawa ke tanah perkuburan, cepatlah habis (mengebumikan). Namun, kadang kala ada yang tergendala, kita terpaksa menunggu,” kongsinya lagi.

Kebiasaannya, Roslee akan mula memakai PPE pada pukul 2 petang untuk bersiap-sedia menerima jenazah COVID-19 - Gambar ihsan penggali kubur

Kebiasaannya, Roslee akan mula memakai PPE pada pukul 2 petang untuk bersiap-sedia menerima jenazah COVID-19 – Gambar ihsan penggali kubur

Anugerah Tokoh Frontliner

Bagi Roslee, dia tidak pernah menyangka akan menerima penghargaan bagi Anugerah Tokoh Frontliner, yang merupakan kategori baharu diperkenalkan tahun ini.

Selain Roslee, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) turut memberikan anugerah khas tersebut kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan, Dr Ismuni Bohari.

Bagi Anugerah Tokoh Korporat, ia dirangkul Pengarah Urusan Ramly Food Processing Sdn Bhd, Datuk Dr Ramly Mokni manakala pengacara dan personaliti televisyen, Ahmad Fedtri diiktiraf sebagai penerima Anugerah Tokoh Pendakwah Kreatif.

“Maklumlah kita tak berpelajaran tinggi, sekolah pun setakat darjah enam sahaja… tahu-tahu saya boleh dapat benda (anugerah) macam ini.

“Pada saya anugerah yang saya dapat ini bukan untuk diri saya, saya cuma mewakili petugas barisan hadapan untuk anugerah ini. Kalau saya seorang, apa mampu saya buat?

“Kerjasama kawan-kawan membolehkan jenazah COVID-19 diuruskan sebaik mungkin termasuk penglibatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Kesihatan (KKM), sukarelawan serta Jawi,” katanya.

Berdasarkan rekod Bahagian Pengurusan Dakwah Jawi, sebanyak 3,011 jenazah COVID-19 diuruskan oleh jabatan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).

Daripada jumlah tersebut, 1,660 adalah jenazah lelaki manakala 1,351 lagi jenazah wanita.

Temu bual penuh kisah ‘Harumnya Bau Si Penggali Kubur’ akan disiarkan dalam program STARS@AWANI, pada 22 Ogos ini.

Niat Saya Hanya Satu, Nak Uruskan Jenazah Sebaik Mungkin – Penggali Kubur


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Kemas Sungguh Hasil Kerja Tangan Pemuda Ini Menyediakan Liang Lahad Sebagai Penggali Kubur [VIDEO]

[VIDEO] Lelaki Putus Harapan Selepas Disahkan Menghidap Kanser.. Nekad Gali Dan Duduk Dalam Kubur Menanti Ajal

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker