AS kembali tenat dilanda Delta

SEJAK Ahad lalu, Amerika Syarikat (AS) kembali merekodkan kes purata harian Covid-19 tertinggi iaitu lebih 100,000 kes sehari.

Peningkatan itu adalah disebabkan oleh varian Delta sekali gus membawa perkhabaran berita buruk bagi penduduk negara itu yang selama ini mencatatkan rekod kematian paling tinggi di dunia akibat Covid-19 iaitu lebih 616,000 orang.

Ketika kes-kes Covid-19 menurun di beberapa buah negara, bilangan kanak-kanak di hospital AS yang mendapat rawatan Covid-19 meningkat manakala golongan muda pula semakin ramai dijangkiti.



Berikutan itu, Pengarah Institut Kesihatan Kebangsaan AS, Francis Collins dilaporkan berkata, pada program stesen televisyen ABC, ‘This Week’ baru-baru ini bahawa negara itu lemah dalam membendung penularan Covid-19.

Pengarah Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat, Francis Collins. - Foto AFP
Pengarah Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat, Francis Collins. – Foto AFP

 

Collins mengakui bimbang dengan penularan varian Delta yang telah menyebabkan peningkatan kadar vaksinasi, sedangkan berjuta-juta orang lagi terutamanya di kawasan yang berfahaman konservatif masih kekal ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Justeru, Collins berkata, AS tidak akan berada pada tahap sebegitu ekoran peningkatan varian Delta jika lebih ramai penduduk divaksinasi secara lebih efektif.



Seorang lagi pegawai kesihatan utama dan pakar penyakit berjangkit iaitu Anthony Fauci berkata, kelulusan terakhir vaksin-vaksin utama Covid-19 daripada Pentadbiran Dadah dan Makanan Persekutuan akan dibuat seawal-awalnya bulan ini.

Beliau yang berkata, dalam program televisyen ‘Meet The Press’ terbitan NBC itu baru-baru ini berharap kelulusan itu dibuat dalam bulan Ogos ini.

Buat masa sekarang, vaksin Covid-19 telah diluluskan berdasarkan kepada kegunaan kecemasan sebagai usaha membendung penularannya di AS.

Fauci yang menasihati Presiden AS, Joe Biden berhubung isu-isu kesihatan menyampaikan amaran bahawa kegagalan untuk mengawal penularan varian Delta akan memberikan peluang kewujudan lebih banyak varian baharu yang mungkin membawa lebih banyak masalah.



Dalam satu petunjuk tentang kebimbangan kes Covid-19 di AS, penganjur festival Jaz New Orleans mengumumkan pada Ahad lalu bahawa majlis muzik itu yang sepatutnya diadakan pada 8 Oktober depan telah dibatalkan.

Menurut pihak penganjur festival itu dalam satu kenyataan bahawa pihaknya menggesa setiap orang supaya mematuhi garis panduan dan protokol yang telah ditetapkan oleh para pegawai kesihatan awam.

Dalam pada itu,Collins berkata, jika berjuta-juta kanak-kanak yang kembali ke sekolah tidak diwajibkan memakai pelitup muka, virus Covid-19 akan merebak dengan lebih meluas lagi.

Buat masa ini, kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun masih tidak perlu divaksinkan.



Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan (CDC) AS berkata pada Ahad bahawa kanak-kanak asimtomatik yang tidak menunjukkan tanda-tanda penyakit Covid-19 apabila dijangkiti boleh menyebarkan pandemik tersebut.

Ia menyatakan bahawa kanak-kanak berusia 12 tahun atau lebih tua sepatutnya memakai pelitup muka di tempat-tempat awam termasuk sekolah-sekolah.

Collins turut melahirkan perasaan tidak puas hati berhubung debat mengenai vaksin dan pemakaian pelitup muka yang dipolitikkan di negara itu.

“Ini bukannya satu kenyataan politik. Ini adalah nasihat perubatan tentang nyawa,” katanya seperti dilaporkan oleh AFP. – Agensi




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Polis siasat gambar tular bendera Malaysia terbalik



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker