Covid-19: Air mata doktor gugur, kecewa gagal selamatkan ibu anak dua

Air mata doktor gugur, kecewa gagal selamatkan ibu anak dua. Setiap hari terdapat kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan dengan 1001 kisah menyayat hati yang pasti meninggalkan kesan mendalam terutama mereka yang menempuhnya.

Menerusi hantaran di laman Facebook, seorang pakar bius, Dr. Hana Hadzrami berkata, ramai doktor menangis kecewa kerana tidak mampu menyelamatkan pesakit muda yang dijangkiti virus berkenaan terutama varian baharu yang disifatkan ‘licik’.

“Semalam pesakit Covid-19 saya meninggal dunia. Serangan jantung ketika dalam posisi telungkup intubasi. Kelam-kabut kami telentangkan dia untuk bantuan pernafasan. Tekanan saluran pernafasan sangat tinggi, namun bukan disebabkan tiub tersumbat atau terbengkok.

“Beliau baru berusia awal 40-an. Semenjak kami tahu yang beliau balu anak dua kami memang sangat berwaspada,” katanya dalam satu hantaran yang dikongsi lebih 7,600 kali baru-baru ini.

Menurutnya, sejak arwah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pihaknya tidak menyedari bahawa segala perkembangan pesakit tersebut dilaporkan kepada anaknya yang baru berusia 15 tahun.

“Semua sangka bercakap dengan anak dewasa. Sampailah hari saya ‘on call’ baru tahu, beliau (anak) tinggal di rumah kerana dikuarantin berdua dengan adiknya yang berumur 12 tahun.

“Kami tanya ada saudara mara lain? Langsung tiada. Tiada datuk nenek. Tiada pak cik, mak cik. Ayah sudah meninggal. Hanya jiran yang baik hati tolong hantar makanan sejak ibu mereka masuk wad,” tulisnya.

Kematian akibat varian baru semakin tinggi. – Gambar hiasan

Imbaunya, dalam situasi yang begitu genting, petugas kesihatan melakukan prosedur untuk mengembalikan denyutan jantung dan pernafasan dengan penuh kesungguhan dan terdesak sambil berdoa agar Tuhan menyelamatkannya.

“Namun dia tetap ‘pergi’. Sewaktu saya suruh pegawai perubatan sampaikan berita kepada anak arwah pada pukul 1 pagi, dalam hati saya tertanya-tanya bagaimana remaja umur 15 tahun hendak uruskan pengebumian ibunya.

“Hati saya benar-benar kosong waktu saya mandi selepas doffing (membuka pakaian dan peralatan perlindungan diri). Menangis ketika mandi. Namun kesedihan itu tidak lama.

Setengah jam kemudian saya dipanggil masuk ke ICU kerana ada pesakit lain yang berumur 30 tahun tiba-tiba desaturate (paras oksigen darah turun). Tukar tiub, telungkupkan dia. Sibuk sampai ke pagi,” ujarnya.

Katanya, begitulah keadaan yang terpaksa dihadapi petugas kesihatan dengan pesakit yang berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an yang boleh meninggal dunia secara tiba-tiba di depan mata mereka.

“Kami sedih, namun tak sempat berduka. Segala keperitan kami simpan jauh di lubuk hati. Simpan, simpan, simpan hingga hati keras dan kebas. Sampai bila?

“Takkan kami lupakan sampai bila-bila pandemik yang membuatkan ramai anak-anak menjadi yatim piatu ini,” tulisnya

Air mata doktor gugur, kecewa gagal selamatkan ibu anak dua


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Pas masih bersama kerajaan Perak

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker