Nazri kata surat akuan MP BN sahih, dalam ‘simpanan TPM’

Sebaran :

 

Nazri kata surat akuan MP BN sahih, dalam ‘simpanan TPM’. Surat akuan lebih 30 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong pengekalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah sahih dan kini dalam ‘simpanan’ Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, surat berkenaan diakui dikutip dalam beberapa siri pertemuan di antara ahli-ahli Parlimen BN sebelum ini yang diketuai Ismail Sabri sebagai ketua whip penyokong kerajaan PN.

Beliau turut mengesahkan terdapat pertemuan tertutup di antara ahli-ahli Parlimen BN dengan Ismail Sabri di Wisma Perwira pada Ahad malam, namun enggan mendedahkan jumlah kehadiran mereka.

“Saya boleh sahkan sekurang-kurangnya 30 ahli Parlimen BN sudah menandatangani surat akuan menyokong Perdana Menteri kekal sehingga semalam (Ahad).

“Namun jumlah sebenar tidak pasti kerana surat akuan itu kini dalam ‘simpanan’ TPM. Tidak mustahil capai 40 ahli Parlimen BN sebagaimana disebutkan Ismail Sabri sebelum ini.

“Dakwaan hanya 19 atau 25 ahli Parlimen sahaja tandatangan surat berkenaan pun tidak betul. Bila tengok senarai nama ahli Parlimen BN tular, nama saya sendiri tidak ada…Memang tak betul,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada Ahad, laporan eksklusif Sinar Harian mendedahkan seramai 30 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) telah menandatangani surat akuan menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kekal sebagai Perdana Menteri dalam satu pertemuan sulit di Wisma Perwira, Kementerian Pertahanan.

Sumber ahli Parlimen BN berkata, pertemuan sulit itu diadakan bermula jam 9 malam dan dipengerusikan oleh Pengerusi Kelab Ahli-ahli Parlimen Penyokong Kerajaan PN (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim.

Jelas sumber itu lagi, surat akuan mempertahankan kedudukan Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terpaksa disediakan mereka memandang terdapat usaha pihak tertentu cuba menafikan sokongan 40 ahli Parlimen BN terhadap kerajaan PN sebelum ini.

Sementara itu, Mohamed Nazri turut menolak dakwaan terdapat pertemuan susulan di antara ahli-ahli Parlimen BN yang menyokong Muhyiddin dengan Perdana Menteri itu sendiri di kediaman beliau di Bukit Damansara pada Isnin malam.

Beliau turut menafikan desas-desus Shahidan sedang mengumpulkan ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada hari yang sama bagi tujuan menzahirkan sokongan terhadap Muhyiddin.

“Mana ada pertemuan-pertemuan sebegitu. Saya sendiri dimaklumkan Shahidan beliau sedang berehat.

“Apa pun yang diputuskan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan ahli-ahli MKT dalam mesyuarat petang esok (Selasa), kata penentu tumbangnya kerajaan PN terletak di tangan ahli-ahli Parlimen BN,” katanya.

 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. -Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. -Foto Bernama

Nazri kata surat akuan MP BN sahih, dalam ‘simpanan TPM’


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


 

 

Puad Zarkashi jangan jadi batu api, hentikan percakaran dalam parti


Sebaran :

Leave a Reply