Jangan sampai kita terperangkap

Riuh seluruh negara bila Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin mengeluarkan kenyataan terbuka:

1. Menzahirkan rasa amat dukacita Yang di-Pertuan Agong dengan kenyataan yang dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh Seri Paduka sepanjang tempoh darurat, walhal pembatalan belum lagi diperkenan Seri Paduka.

2. Menzahirkan rasa amat dukacita Seri Paduka kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai lalu bahawa cadangan pembatalan semua ordinan darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.



3. Menegaskan bahawa kenyataan Takiyuddin di Parlimen pada 26 Julai 2021 adalah tidak tepat dan mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat.

Kenyataan terbuka ini dibuat di saat-saat ahli-ahli Parlimen daripada parti pembangkang khususnya Ahli-Ahli Parlimen Sepang dan Puchong, Mohamed Hanipa Maidin dan Gobind Singh Deo berusaha keras mahu merujukkan Takiyuddin ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atas dakwaan mengelirukan Parlimen.

Pendedahan Istana Negara berhubung keputusan kerajaan melaksanakan pembatalan ordinan darurat yang membelakangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong ini juga segera disambut dengan meriahnya oleh ahli-ahli Parlimen daripada parti pembangkang, khususnya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Anwar sendiri terus sahaja mengemukakan satu usul hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Ia juga disambut riang oleh ahli-ahli akademik tertentu yang sememangnya sudah tidak berpuas hati dengan kerajaan termasuklah Profesor Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff yang dengan lantangnya menyebut, “hari ini berlaku lagi krisis Perlembagaan” dan “kerajaan ini perlu pergi” kerana “kerajaan ini telah melakukan pembohongan besar dan mengetepikan prinsip Perlembagaan serta tidak menghormati institusi diraja” dan “ini boleh dikira sebagai penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, terhadap Perlembagaan, memberi salah nyata palsu kepada Dewan Rakyat, mengelirukan Dewan Rakyat dan membohongi rakyat Malaysia keseluruhannya.”



Dengan sedih sekali, kesemua perkara ini menimbulkan tanda tanya dalam minda sebahagian besar rakyat mengenai kedudukan tinggi dan neutral Yang di-Pertuan Agong selaku payung rakyat kerana perkembangan ini memberikan gambaran seolah-olah Seri Paduka, sama ada disedari atau tidak telah terperangkap atau dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan.

TELUS

Mengikut Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan, penasihat undang-undang kepada Yang di-Pertuan Agong adalah Peguam Negara. Oleh itu, jika timbul indikasi Seri Paduka membelakangkan nasihat Peguam Negara dan menerima pakai nasihat orang lain dan Seri Paduka yang sepatutnya menerima nasihat pula bertindak memberi nasihat kepada pihak yang sepatutnya memberi nasihat, maka sudah pastilah keadaan akan menjadi tunggang-terbalik.

Isu yang ada di hadapan kita sebenarnya sangat kecil sahaja, iaitu jemaah menteri pada 21 Julai lalu telah memutuskan untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat.



Seperti yang dijelaskan oleh Pejabat Perdana Menteri, Perdana Menteri pada 23 Julai lalu mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyembah maklum nasihat jemaah menteri dan memohon limpah perkenan Seri Paduka ke atasnya.

Bila perkenan ini tidak diperoleh sehingga pada 26 Julai 2021, Takiyuddin yang berdepan desakan ahli-ahli Parlimen pembangkang supaya Dewan Rakyat mengungkaikan ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh Seri Paduka mengumumkan bahawa kerajaan, iaitu jemaah menteri telah membuat keputusan untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat berkenaan.

Seperti yang dijelaskan oleh Pejabat Perdana Menteri juga, pengumuman Takiyuddin ini adalah suatu kenyataan fakta yang bertujuan memaklumkan kepada Dewan Rakyat keadaan sebenarnya secara telus.

Mungkin bahasa dan cara penyampaian yang digunakan oleh Takiyuddin tidak begitu jelas kerana beliau tidak memaklumkan sama bahawa pembatalan ordinan-ordinan darurat berkenaan masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong, tetapi sebarang kedukacitaan ke atasnya boleh sahaja dizahirkan secara tertutup seperti lazimnya.



Adalah menjadi jangkaan semua pihak, perkenan atau tidak perkenan ke atas pembatalan ordinan-ordinan darurat berkenaan boleh dibuat sebelum Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula pada 26 Julai, tetapi bila ia tidak muncul pastilah spekulasi akan timbul.

Sekiranya perkenan tidak diberikan pun, perkara ini tidak akan menjadi isu, apa lagi sehingga ke peringkat krisis Perlembagaan kerana bila proklamasi darurat berakhir pada 1 Ogos nanti, ordinan-ordinan darurat berkenaan akan terbatal dengan sendiri enam bulan dari tempoh itu.

Hanya sanya pendedahan dan kritikan terbuka Istana Negara ini menyebabkan situasi politik kembali menjadi hangat.

Sebab itulah Raja-raja Melayu perlu sentiasa mengingati perisytiharan prinsip-prinsip Perlembagaan yang dibuat oleh baginda-baginda semua pada 4 Julai 1992 yang berbunyi, “kita selaras dengan amalan Perlembagaan tidak seharusnya mendedahkan atau membincangkan dengan pihak media massa apa-apa perkara yang mungkin menimbulkan kontroversi mengenai hal ehwal pentadbiran negara/negeri.”



Dalam konteks inilah juga relevannya ingatan tokoh ulung negara, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr. Shamrahayu A. Aziz pada 20 Jun lalu supaya Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu perlu waspada agar institusi beraja tidak termasuk perangkap pihak yang tidak berpuas hati terhadap tindakan kerajaan yang cuba mengheret institusi ini untuk melakukan perkara di luar bidang kuasa baginda-baginda semua.

Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kelantan.

Jangan sampai kita terperangkap


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU




Derhaka, Tajuddin tetap sokong Muhyiddin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker