Suri rumah tertipu beli kucing Munchkin

Suri rumah tertipu beli kucing Munchkin

SEREMBAN: Seorang suri rumah yang berhasrat membeli seekor kucing jenis Munchkin di Facebook tertipu selepas dia mengalami kerugian sebanyak RM30,050 bagi urusan pembelian berkenaan, 26 Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Ab. Ghani berkata, mangsa berusia 56 tahun itu tertarik membuat pembelian setelah melihat iklan kucing berkenaan di akaun Facebook, Suhair Rahman.

Menurutnya, mangsa menghantar mesej menerusi Facebook Messenger dan hasil perbincangan membawa kepada persetujuan harga kucing berkenaan sebanyak RM500.

“Mangsa memberikan butiran peribadi dan alamatnya untuk tujuan penghantaran kucing berkenaan. Mangsa turut membayar separuh harga kucing berkenaan dan bakinya diselesaikan sebaik sahaja menerima kucing selepas tiga atau empat hari bekerja.

“Sepanjang pembelian kucing berkenaan, mangsa berurusan dengan beberapa nombor telefon bagi pelbagai tujuan serta permintaan termasuk upah bagi penghantar kucing sebanyak RM1,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aibee berkata, mangsa melakukan sebanyak 10 transaksi ke akaun yang diberikan dan diberikan jaminan kesemua wang berkenaan akan dipulangkan setelah proses pembelian selesai.

Menurutnya, antara helah penjual ialah wang berkenaan adalah bagi wang penjamin semasa berada di pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), insurans pembelian kucing dan lesen pemilikan dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Mangsa juga diugut sekiranya tidak membuat pembayaran berkenaan, kucing berkenaan akan dirampas dan wang yang telah diberikan akan hangus malah mangsa juga diarahkan untuk membeli dua kad sim baharu untuk tujuan proses pemulangan duit.

“Tidak habis di situ, mangsa juga diarahkan untuk menghantar gambar kad sim yang dibeli berserta kad nombor dan meminta mangsa memotong kecil-kecil simkad berkenaan setelah proses selesai,” katanya lagi.

Bagaimanapun jelas Aibee, mangsa akhirnya menyedari dirinya tertipu setelah kesemua nombor yang berurusan dengannya telah menyekat nombor telefonnya dan mangsa segera membuat laporan polis di Balai Polis Senawang semalam.

“Mangsa tidak dapat menghubungi penjual, kucing tidak sampai ke rumahnya dan juga wang yang dijanjikan untuk dipulangkan ke akaunnya juga masih tiada,” katanya. Utusan

Suri rumah tertipu beli kucing Munchkin


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Soalan mudah pun tunggu Isnin nak jawab

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker