Ketetapan sidang Dewan Rakyat hari ini

Sebaran :

Ketetapan sidang Dewan Rakyat hari ini. Jawatankuasa Dewan Rakyat dijangka membuat beberapa keputusan berhubung perjalanan sidang Dewan Rakyat yang akan bermula pada Isnin ini.

Antara perkara yang akan dibincangkan ialah jumlah ahli Parlimen yang akan dibenarkan menyertai mesyuarat secara bersemuka atau secara hibrid.

Menurut Ahli Jawatankuasa Dewan Rakyat, Datuk Seri Shahidan Kassim, perkara itu akan dibincangkan jawatankuasa berkenaan yang terdiri daripada wakil kerajaan dan pembangkang.

“Esok (hari ini) akan diputuskan tentang perkara ini, kalau diputuskan 80 ahli Parlimen sahaja dibenarkan masuk maka 80 orang (yang dibenarkan).

“Kalau hanya 80 ahli Parlimen, mungkin ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) diwakili seramai 45 orang dan pembangkang 35 orang. Kami kerajaan lebih sikit wakil sebab kami majoriti,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian pada Khamis.

Akhbar ini pada Ahad melaporkan Parlimen sedang memperhalusi cadangan agar hanya 80 ahli Parlimen dibenarkan hadir ke Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat yang akan berlangsung selama lima hari.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dilaporkan berkata, perkara itu akan diperincikan dengan Jawatankuasa Dewan Rakyat dan Ketua-ketua Whip parti masing-masing.

Persidangan itu antara lain akan memberi penerangan kepada semua ahli Parlimen berkenaan Pelan Pemulihan Negara.

Mengulas lanjut, Shahidan yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) menegaskan, had kehadiran itu pernah dilaksanakan sebelum ini iaitu seperti ketetapan bersidang tahun lalu apabila hanya 80 daripada 222 ahli Parlimen sahaja dibenarkan masuk.

Ahli Parlimen Arau itu berkata, berdasarkan pengalaman dalam persidangan lalu, perkara itu tidak menimbulkan apa-apa masalah kerana ahli Parlimen yang selebihnya boleh mengikuti sidang itu secara maya.

“Apa yang penting kita nak berbahas dan apabila berbahas kita nak menteri ada sama sebab menteri akan jawab soalan yang dibangkitkan.

“Jadi tidak semua ahli Parlimen perlu berada di sana, mereka boleh berada di mana-mana dan dengar perbahasan,” katanya.

Beliau berkata, bagi membolehkan lebih ramai ahli Parlimen menyertai persidangan secara bersemuka, ahli Parlimen juga mungkin boleh bergilir-gilir masuk mengikut jam dan perkara itu juga akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

“Situasi sekarang ini adalah proses yang kita kena lalui dan ahli Parlimen kena terima hakikat ini. Ia bukan perkara biasa berlaku, ia adalah luar biasa. Keadaan ini bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi di seluruh dunia.

“Untuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Dewan Rakyat dan persidangan Parlimen itu, semua yang terlibat turut diarah menjalani ujian calitan,” katanya.

Ketetapan sidang Dewan Rakyat hari ini


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Luahan hati Kunan setelah tidak didapati bersalah dan pendakwaan terpilih Mahathir


Sebaran :

Leave a Reply