15,000 pokok durian Musang King ‘haram’ ditebang dalam 9 hari

15,000 pokok durian Musang King ‘haram’ ditebang dalam 9 hari. Dalam tempoh hanya sembilan hari, hampir kesemua 15,000 pokok durian Musang King yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di sini berjaya ditebang.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan, tempoh kerja penguatkuasaan bermula Sabtu iaitu 3 Julai lalu dan dijangka sehingga 2 Ogos depan atau selama kira-kira sebulan.

Kerjasama erat secara berpasukan antara kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dengan Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) menjadi antara faktor kelancaran Operasi Pamah.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad, berkata, pencapaian melaksanakan Operasi Pamah di kawasan seluas kira-kira 101 hektar itu adalah suatu di luar jangkaan.

Menurutnya, lebih 100 kakitangan yang bertugas di hampir semua Pejabat Hutan Daerah (PHD) dikerah untuk menyertai operasi terbabit sekali gus membantu melancarkan aktiviti penebangan.

“Antara faktor ia (operasi penebangan) berjalan lancar adalah kemahiran tinggi kakitangan JPNP dan jumlah mereka yang ramai terbabit dalam operasi kali ini serta dianggap begitu mencabar.

“Ia suatu yang membanggakan semua pihak terutama apabila dapat menyelesaikan tugasan berkenaan dalam jangka masa begitu pantas,” katanya di sini hari ini.

Nor Azirim berkata, selepas penebangan selesai, tugas seterusnya ialah membersihkan tapak bagi kerja menanam pokok hutan dalam HSK terbabit.

“Lebih 20,000 pokok hutan perlu ditanam dalam hutan simpan terbabit dan aktiviti menanam pokok hutan perlu dilakukan segera secara berperingkat.

“Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat, Rotan Tunggal, di sini bertanggungjawab sepenuhnya menanam pokok yang turut dibantu kakitangan daerah lain,” katanya.

15,000 pokok durian Musang King ‘haram’ ditebang dalam 9 hari


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker