Resepi Istimewa Gulai talang masin bersama terung tumis darat

Resepi Istimewa Gulai talang masin bersama terung tumis darat. SEBUT sahaja gulai, pasti sudah terbayang kepekatan kuahnya yang sedap dimakan dengan nasi panas dan sambal belacan.

Aroma tumisan bawang dan bahan-bahan lain menjadikan gulai yang dimasak sangat wangi dan membangkit selera.

Namun, tidak semua gulai sama cara masaknya. Gulai adalah masakan asli Melayu sejak zaman nenek moyang kita dahulu, berbeza dengan resipi kari yang berasal dari India walaupun nampak seakan serupa.

Guru Bahasa Malaysia dan Pendidikan Seni di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gading, Sungai Buloh, Selangor, Fazli Azma Abu Bakar, 42, berkongsi resipi gulai talang masin bersama (dengan) terung tumis darat.

Resipi gulai ini popular di negeri sebelah utara yang menjadi kegemaran keluarga, teman rapat dan guru-guru di sekolahnya.

Bahan-bahan:

200 gram isi ikan Talang Masin (potong empat segi kecil dan direndam sebentar dalam air).
5 sudu besar rempah kari ikan (ikut jenama rempah yang disukai).
1 sudu kecil serbuk cili.
1 sudu kecil serbuk jintan manis.
1 sudu kecil serbuk jintan putih.
1 sudu kecil serbuk ketumbar.
5 ulas bawang merah.
2 ulas bawang putih.
1 inci halia.

Santan daripada sebiji kelapa (lebih kurang empat cawan) asingkan satu cawan santan pekat dan tiga cawan santan cair.
3 keping asam keping.
3 biji terung panjang potong serong.
Garam dan gula atau perasa (jika suka).

Enak…gulai talang masin dengan terung adalah antara menu popular bagi penduduk Utara tanah air.

Bahan untuk tumis darat:

10 ulas bawang merah (dimayang).
8 ulas bawang putih (dimayang).

5 tangkai daun kari.
Sedikit halba campur.
Minyak untuk menumis.

Cara penyediaan:
1. Kisarkan rempah kari, serbuk cili, jintan manis, jintan putih, ketumbar, bawang merah, bawang putih dan halia bersama satu cawan santan pekat.

2. Masukkan ikan talang masin di dalam periuk bersama-sama bahan yang dikisar.

3. Seterusnya, masukkan santan cair dan biarkan mendidih.

4. Setelah mendidih, masukkan terung dan asam keping.

5. Apabila terung lembut, tutup api. Perasakan dengan garam, gula atau bahan perasa secukup rasa.

Dalam kuali lain:

1. Panaskan minyak, tumiskan bawang merah, bawang putih, daun kari dan halba campur sehingga kekuningan atau garing kemudian tuang ke dalam periuk gulai tadi.

2. Tutup dengan segera periuk supaya aroma bahan yang ditumis tidak hilang.

Resepi Istimewa Gulai talang masin bersama terung tumis darat


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Resepi Bihun Goreng Singapura Meletup

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker