‘Saya sudah berbudi, rakyat sudah rasa’

‘Saya sudah berbudi, rakyat sudah rasa’ KEPUTUSAN menyokong pembentukan kerajaan baharu pada Mac 2020 sehingga mengakibatkan kejatuhan Pakatan Harapan (PH) di Melaka dianggap bukan ‘kecil anak’ bagi DATUK NORHIZAM HASSAN BAKTEE.

Namun, atas dasar kepentingan orang Melayu, beliau melepaskan jawatan Timbalan Pengerusi DAP negeri dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Meskipun pernah terpalit dengan pelbagai kontroversi sehingga tular dan digelar YB (Yang Berhormat) gengster, YB viral, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan

Batu ini dilihat cukup peka dengan masalah rakyat ketika pandemik Covid-19 melanda.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, HADI AB. MANAP dan jurufoto, RASUL AZLI SAMAD, Norhizam berkongsi pengalaman dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ADUN Bebas dan Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri selepas keluar dari DAP.

UTUSAN: Apa beza jadi ADUN DAP dan ADUN Bebas?
NORHIZAM: Sebagai Timbalan Pengerusi DAP Melaka (bekas), saya ada ‘bos’ dan kena bergerak ikut atur cara. Bila jadi wakil rakyat Bebas, saya bebas bersuara, bebas bekerja, bebas bergerak tapi saya tetap bertindak atas kewajaran. Benda yang betul saya buat, tetapi kalau benda tidak betul saya tidak akan buatlah.

Lagi satu bezanya, ketika saya di sana (DAP), orang Melayu kalau pandang memang agak sinis. Tapi sebenarnya pada saya, parti semua sama sahaja. Tidak ada satu parti pun yang mengajar kita supaya buat tidak elok. Yang tidak elok itu adalah individu itu sendiri. Begitu juga saya bila jadi Bebas, buat yang terbaik untuk pengundi saya.

Penerimaan rakyat selepas keluar dari DAP dan PH?
Apa yang saya buat sekarang adalah benda yang sama sahaja, saya buat kerja sehabis baik. Turun padang sampai kena viral. Benda yang tular itu adalah benda yang betul, kerja yang betul saya buat. Saya boleh tidak turun padang, play safe duduk di pejabat, naik kereta rasmi, potong reben, makan kuih dan cukup bulan saya ambil gaji.

Boleh, tetapi kenapa saya hendak turun padang? Kerana saya memegang amanah rakyat yang telah diberikan kepada saya untuk menyelesaikannya.

Ada beza zaman Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali (sekarang) dan Adly Zahari (dahulu)?
Memang ada beza. Kalau dulu saya jadi Exco, banyak pandangan dan suara saya tidak didengari. Tapi sekarang banyak isu saya dapat selesaikan. Jadi, mereka mendengar dan mengambil kira masalah rakyat. Saya mendapat kerjasama cukup baik bagi menyelesaikan masalah yang tertunggak sekian lama.

Bagaimana hubungan dengan rakan-rakan dalam PH, DAP?
Hubungan saya dengan saudara Tey Kok Kiew (Pengerusi DAP Melaka) begitu baik. Kami diibaratkan dari segi umur, saya abang. Dari segi pangkat dan jawatan, dia adalah bos saya. Dalam DAP sebenarnya pada saya, yang bercakap soal perkauman hanya segelintir, bukan semua.

Sekarang saya lantang, dahulu dalam DAP pun saya lantang. Cuma sebahagian pemimpin mempunyai pendapat tersendiri. Itu yang kadang-kadang terkeluar benda yang tak sepatutnya. Hubungan dengan mereka terlalu baik, hanya satu dua orang yang berdendam dengan saya. Itu saya tidak boleh buat apa, itu hak mereka.

Sekiranya PH masih memerintah Pusat, adakah keadaan negara lebih baik dalam bergelut dengan Covid-19?
Kita ambil contoh, Selangor teruk tak? Siapa perintah? Jadi, kenapa Selangor tak mahu buat total lockdown? Kerana ekonomi. Mereka tahu pendapatan datang dari kilang-kilang. Selangor itu kaya sebab hasil kilang, itu sebab mereka tak mahu lockdown. Siapa peratusan paling tinggi dijangkiti Covid-19? Selangor, dan pembawa (kes positif) pun banyak datang dari sana.

Bukan senang jadi Perdana Menteri dalam keadaan Covid-19. Letaklah siapa sekalipun, tak mungkin boleh selesaikan masalah kalau rakyat tiada disiplin. Bila jadi Perdana Menteri, hendak buat sesuatu keputusan bukan mudah.

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mungkin berlangsung dalam masa terdekat. Apa hala tuju Datuk?
Jawapannya satu sahaja, parti hanya satu alternatif untuk bertanding. Tapi kita kena ingat, rakyat lebih penting. Menyelesaikan masalah rakyat itu lebih baik. Maknanya hari ini saya tidak mahu berpolitik, ceritalah apa pun, saya tak mahu dengar. Saya lebih fokus kepada pengundi serta rakyat yang duduk di DUN Pengkalan Batu, saya kena jaga. Sebab hari ini rakyat bukan mahu kita berpolitik, mereka mahu pemimpin yang boleh turun padang. Kalau asyik-asyik sembang politik, rakyat akan hukum kamu pada PRU akan datang.

Pada saya, lebih baik turun padang sebab akhirnya rakyat yang akan undi kita. Hari ini rakyat sudah bijak, mereka tak akan pilih parti, mereka akan pilih siapa calon yang boleh bantu mereka. Kalau bertanding Bebas pun boleh menang, pegang cakap saya.

Jadi, Datuk akan bertanding guna tiket Bebas?
Setakat ini saya tunggu dan lihat. Bukan orang tak kenal YB viral, satu Malaysia kenal dan saya boleh buat kerja. Andai kata saya Bebas, orang tanya di manakah Bebas hendak dapat peruntukan? Kalau hendak tubuh kerajaan tak cukup kuota, Bebas akan jadi pilihan juga. Saya mungkin Bebas, tetapi saya boleh bantu untuk tubuh kerajaan.

Datuk tidak takut berentap tiga penjuru? Lawan PH, lawan Barisan Nasional (BN), lawan Perikatan Nasional (PN)?
Mudah sahaja. Rakyat akan mengundi calon yang sudah terbukti bekerja untuk mereka. Tak mungkin mereka akan undi orang yang mereka tidak kenal. Bak kata orang Melayu, orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Saya sudah berbudi, rakyat sudah rasa. Tepuk dada, tanyalah selera. Kalau mereka rasa hendak perkhidmatan saya, mungkin saya boleh beri lebih daripada itu. Tapi kalau mereka beri undi kepada orang baharu, pembayang pun tak nampak siapa. Saya hendak gentar dengan siapa? Semua saya sudah buat, budak kecil pun saya tolong baiki rumah.

‘Saya sudah berbudi, rakyat sudah rasa’


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Siapa Sangka Pereka Fesyen Popular Ini Kekal Awet Muda Pada Usia 72 Tahun

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker