Sidang hanya digantung, Ahli Parlimen bertugas seperti biasa

Kedudukan serta tanggungjawab Ahli Parlimen termasuk aktiviti kaukus serta Jawatankuasa Pilihan Khas kekal berjalan seperti biasa walaupun negara diisytiharkan darurat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pelaksanaan perintah darurat di seluruh negara yang berkuat kuasa sehingga 1 Ogos bukan bererti Parlimen telah dibubarkan.

“Diperhatikan bahawa melalui ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan antara lainnya bahawa semua sesi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri digantung sepanjang tempoh darurat.

“Ini bermakna hanya proses perundangan Dewan Rakyat tidak dapat dilaksanakan sepanjang tempoh darurat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, kedudukan dan tanggungjawab semua Ahli Parlimen sebagai wakil rakyat tetap sama seperti sedia kala dan berterusan kerana penggantungan sesi Parlimen bukanlah bererti Parlimen telah dibubarkan.

“Oleh itu, semua aktiviti kaukus atau kumpulan rentas parti Parlimen dan Jawatankuasa Pilihan Khas yang ditubuhkan masih boleh diteruskan.

“Kecuali aktiviti itu dikekang oleh apa-apa ordinan yang boleh digubal oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengikut kuasa baginda dalam Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Dalam pada itu katanya, Parlimen Malaysia juga perhatikan bahawa satu Jawatankuasa Bebas yang dianggotai antara lainnya oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang yang akan mengesyorkan kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai tempoh darurat akan ditubuhkan.

“Melalui Jawatankuasa Bebas tersebut juga Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Khas, Parlimen Malaysia akan terus menjalankan fungsinya dalam proses semak dan imbang sebagai institusi unggul badan perundangan negara.

“Parlimen Malaysia akan menunggu Ordinan Darurat yang akan digubal oleh Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya. – K! ONLINE

Parlimen digantung, tiada PRU semasa darurat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker