Firasat Syaikh Ahmad Yasin: Riwayat Israel tamat pada 2027?
Firasat Syaikh Ahmad Yasin: Israel terperangkap dalam permainan berbahaya ciptaan sendiri dalam serangan kali ini
ARI Shavit, salah seorang koresponden kanan di akhbar Haaretz dan merupakan seorang ahli Lembaga editornya telah menulis:
“Kita mempunyai kurang dari 10 tahun sahaja yang berbaki. Sekiranya Israel tidak membuat pusingan-U (mengkaji balik), dalam tahun 2025, akan terdapat sekitar 750,000 para peneroka yang tinggal di Tebing Barat.
Dan pada ketika itu akan mustahil untuk membahagikan tanah ini. Dan sekiranya tidak mungkin untuk membahagikan tanah ini,
Israel akan terhenti (cease) dari menjadi sebuah demokrasi Yahudi. Sama ada ia akan menjadi sebuah negara apartheid atau (menjadi) dwi-negara, yang tidak berapa lama sesudah itu akan menjadi sebuah negara Arab.
Pilihan mana sekalipun, ia menjadi petunjuk bahawa projek Zionis akan berakhir.
Tindakan membunuh diri ini akan menjadi satu perbuatan yang hebat. Kita telah mencapai kemajuan besar dalam teknologi tinggi (hi-tech).
Teknologi air sangat mengkagumkan. Bekalan gas tidak pernah terputus, dunia siber kita tinggi mengangkasa dan penguasaan udara sudah menjadi mutlak.
Tentera yang kuat, ekonomi yang pesat berkembang dan kelebihan strategik yang mantap berhadapan dengan Timur Tengah yang sedang runtuh telah menimbulkan satu ilusi bahawa kita berada pada kedudukan yang paling sempurna.
Sebab itulah restoran-restoran kita sentiasa penuh, kereta-kereta baru sangat laris dan bahkan harga-harga rumah yang melambung tinggi adalah bukti bahawa orang-orang Israel yakin kepada kekuatan negara mereka.
Akan tetapi hakikat sebenar ialah rakyat Israel telah menjadi mangsa kepada kejayaan mereka sendiri. Kekuatan ketenteraan dan kejayaan ekonomi telah membutakan mereka terhadap apa yang bakal mereka hadapi.”
Ari Shavit adalah koresponden kanan di akhbar Haaretz dan merupakan seorang ahli Lembaga editornya.
Artikel di atas adalah sebahagian terjemahan dari tulisan Ari Shavit yang disiarkan pada 15 September, 2016 dan dikemaskini pada 10 April, 2018.
Sumber berita: https://www.haaretz.com/…/.premium-israel-as-we-know-it…
Penulisan beliau mengingatkan saya kepada satu temuramah yang dikendalikan oleh Wartawan Aljazeera, Ahmad Mansour (AM) dalam Rancangan (شاهد على العصر) bersama Asy-Syahid Syaikh Ahmad Yaasin (SAY) yang disiarkan pada 17 April 1999.
Berikut adalah sebahagian transkrip penuh daripada temuramah tersebut:
Temuramah Wartawan Aljazeera, Ahmad Mansour dalam Rancangan (شاهد على العصر) bersama Asy-Syahid Syeikh Ahmad Yaasin yang disiarkan pada 17 April 1999.
Terjemahan oleh: Ustaz Salman Abdul Rahman (Perunding Aman Palestin)
Video Player
AM: Anda telah menyaksikan peristiwa penubuhan negara Israel pada tahun 1948 dan telah berlalu 50 tahun berdirinya negara ini. Apakah pandangan anda tentang masa hadapannya?
SAY: Saya katakan bahawa Israel telah didirikan di atas kezaliman dan rompakan. Semua entiti yang didirikan di atas kezaliman dan rompakan akan berakhir dengan kehancuran.
AM: Walaupun ia memiliki kekuatan yang membolehkannya untuk terus kekal berdiri?
SAY: Kekuatan itu tidak akan kekal. Kekuatan yang ada di dalam alam ini tidak akan berkekalan bagi sesiapa pun. Seorang kanak-kanak akan bermula sebagai kanak-kanak, kemudian remaja, kemudian seorang pemuda, kemudian dewasa dan kemudian menjadi tua dan berakhir hidupnya. Begitulah juga halnya untuk negara-negara. Ia akan bermula kemudian berpindah ke fasa-fasa seterusnya dan akan berakhir tanpa apa-apa nilai.
AM: Di manakah Israel pada hari ini?
SAY: Aku berpandangan Israel hanya akan bertahan sehingga suku pertama abad yang akan datang (kurun ke-22), dengan izin Allah. Secara spesifiknya pada pandangan saya pada tahun 2027 Israel sudah tidak wujud lagi.
AM: Mengapakah anda mengatakan tarikh tersebut?
SAY: Kerana kita memahaminya daripada Al-Quran Al-Karim. Al-Quran telah membicarakan kepada kita bahawa generasi-generasi bertukar pada setiap 40 tahun. Dalam 40 tahun pertama, telah berlaku peristiwa An-Nakbah. Dalam 40 tahun kedua, telah bermula Intifadhah, konfrontasi, halangan-halangan, peperangan dan pertembungan senjata api. Dan dalam 40 tahun ketiga, ia semua akan berakhir dengan izin Allah Ta’ala.
AM: Adakah ini suatu penilaian…?”
Firasat Syaikh Ahmad Yasin
SAY: Ini adalah bacaan peristiwa berdasarkan panduan Al-Quran. Kenapa Allah SWT telah menyebabkan Bani Israel tersesat di Semenanjung Sainaa’ selama 40 tahun? Kerana Allah hendak menggantikan generasi yang telah sakit dan rosak dan digantikan dengan generasi yang berjuang. Generasi Nakbah kita yang awal telah pun pergi. Kemudian digantikan dengan generasi pejuang dan berjihad mengangkat senjata. Generasi ketiga, nanti adalah generasi pembebasan tanah air, dengan izin Allah.
AM: Bagaimanakah anda melihat masa hadapan, wahai Syeikh Ahmad Yaasin?
SAY: Aku berpandangan perjalanan sejarah kita adalah penuh dengan kesukaran, perlu kepada pengorbanan dan kesabaran.
Akan tetapi, masa hadapan adalah untuk kita, dengan izin Allah. Ia pasti datang, tidak disangkal lagi. Janji Allah tidak dimungkiri. Sesungguhnya Allah sekali-kali tidak memungkiri janji.
AM: Walaupun rasa putus asa yang telah menguasai ramai?
SAY: Berputus asa ini tidak mempunyai apa-apa nilai bagi orang-orang yang tidak melihat bahawa keadaan ini seperti sebuah perahu. Bagi seseorang nakhoda armada tidak berputus asa dan tetap teguh dengan strategi mereka. Dia sentiasa menunjukkan arah halatuju untuk orang ramai ikut.
Saya apabila membuat kajian terhadap ayat-ayat Al-Quran Al-Karim, ketika Baginda dan tentera Islam mengepung kota Yahudi,
Allah SWT berfirman (Surah Al-Hasyr: ayat 2), “Kamu wahai umat Islam, tidak menyangka bahawa mereka akan keluar,” kerana musuh lebih kuat sehingga tentera Islam tidak menyangka boleh mengalahkan mereka.
“Dan mereka (Yahudi) pula menyangka bahawa benteng-benteng mereka akan dapat menahan serta memberi perlindungan kepada mereka dari azab Allah,” kerana Yahudi percaya kepada pertahanan mereka, manakala tentera Islam pula bersangka-sangka bahawa mereka mampu menembusi pertahan Yahudi.
Perkara inilah yang sedang berlaku sekarang. Persoalan adakah umat kita mampu untuk membebaskan bumi Palestin? Kita ragu-ragu dengan keadaan, kemampuan, keupayaan dan masa hadapan kita sendiri?
Musuh mungkin boleh berkata, kami mempunyai sokongan antarabangsa terbesar.
Dan apabila mereka menzahirkan kekuatan mereka, kita menjadi takut disebabkan kelemahan kita. Akan tetapi ketahuilah bahawa kehendak Allah pasti akan mengalahkan selainnya.
Apakah istimewa atau kaitan antara tulisan Ari Shavit dengan “firasat” Syaikh Ahmad
Yasin mengenai “kepupusan” Israel?
Kata kuncinya terletak pada tarikh (tahun) yang mereka berdua nyatakan.
Ari Shavit menyebut bahawa Israel (Projek Zionis) mungkin akan hilang identitinya dan kewujudannya pada tahun 2026/2028 manakala Syaikh Ahmad Yasin menyebut tahun 2027 sebagai tarikh akhir/penamat kewujudan Israel.
Perbezaan cuma 1 tahun sahaja!
‘Dah paling popular, jangan sambung darurat, bubar Parlimen lagi bagus’
Berdasarkan pandangan kedua-dua tokoh di atas, saya berpandangan hal itu bukanlah satu perkara yang pelik atau tidak masuk akal.
Ari Shavit memberi pandangan. Berdasarkan realiti yang berlaku di Dalam Israel sendiri dan sebagai editor kanan sebuah akhbar yang terkemuka, beliau sudah tentu mempunya akses kepada maklumat-maklumat dan perkembangan semasa dan membuat satu “bacaan” untuk 10 tahun akan datang.
Untuk makluman, artikel beliau ditulis pada tahun 2016 dan dikemaskini pada tahun 2018, dan 10 tahun sesudah itu boleh dinisbahkan kepada tahun 2026 atau 2028.
Syaikh Ahmad Yasin pula mendasarkan “firasat”nya pada pembacaan terhadap ayat-ayat Al Qur’an tentang proses jatuh bangun sesebuah generasi atau pusingan hidup sesuatu bangsa. Beliau mengambil ibrah dari sejarah Bani Israil yang sesat di Semenanjung Saina selama 40 tahun.
“Sesungguhnya negeri itu diharamkan kepada mereka memasukinya – selama 40 tahun, mereka akan merayau-rayau dengan bingungnya (di sepanjang masa itu) di padang pasir (Sinai); maka janganlah engkau berduka cita terhadap kaum yang fasik itu,” (Surah al-Maidah, ayat 26).]
Nakbah pertama bermula pada tahun 1947.
40 tahun kemudiannya (1987) muncul pergerakan Hamas yang meneruskan Nakbah ini terhadap Israel.
40 tahun yang berikutnya akan jatuh pada tahun 2027.
Menarik bukan?
Saya mempunyai pandangan tersendiri tentang senario ini.
Pertama, tamatnya riwayat Israel nanti bukanlah bermakna seluruh muka bumi entiti haram itu akan lenyap atau hilang dari peta secara fizikal. Ia tetap akan wujud dengan segala infrastruktur, prasarana pemerintahan dan aktiviti seharian.
Penduduk-penduduknya tetap bergerak dan hidup dengan segala aktiviti lazim bagi sesebuah masyarakat.
Akan tetapi ia hanya akan wujud sebagai satu entiti yang sudah tidak memiliki kekuatan dalaman sendiri, yang sangat lemah (vulnerable), yang tidak kebal dan lumpuh dari dalam.
Ia akan kehilangan dorongan dan agenda hidup, yang dengannya momentum kelangsungan (survival) mereka dan “negara” mereka dapat dikekalkan.
Segala mitos tentang kekuatan, kecanggihan, ketangkasan dan dominasi mereka akan runtuh dalam segala bidang dan aspek.
Seolah-olah “ilmu pukau” yang mereka gunakan ke atas manusia seluruhnya sudah hilang bisanya dan tidak lagi bermanfaat untuk mereka.
Segala pencapaian mereka bukan lagi jaminan terhadap kemampuan mereka m,engungguli pihak lain ataupun juga menjadi alat untuk menundukkan atau memperhambakan pihak-pihak lain.
Ini kerana putaran dan tempoh hayat mereka sudah sampai ke puncaknya, sudah tepu dan tidak dapat melonjak lebih tinggi lagi.
Yang tinggal berbaki cuma sisa-sisa kekuatan pada tubuh badan yang sudah nazak dan nafas yang semakin semput.
Dan apabila mereka sudah berada di kemuncak yang terlalu tinggi, pada bila-bila masa sahaja mereka akan jatuh menyembah bumi dengan satu hentakan yang amat kuat, dan mereka tidak akan mampu bangun berdiri lagi.
Apa yang ditulis oleh Ari Shavit adalah amaran terhadap tanda-tanda awal kematian Israel, meskipun beliau tidak menyebutnya secara jelas.
Kalimat bahawa mereka merupakan mangsa kepada kejayaan mereka sendiri, sebenarnya adalah satu pengakuan tersirat tentang keangkuhan dan kesombongan pada jiwa dan jati diri mereka.
Kepimpinan mereka adalah pihak yang paling bertanggungjawab menyegerakan “kehancuran” mereka.
Keangkuhan dan kesombongan para pemimpin inilah yang diwarisi oleh seluruh rakyat jelata. Sifat-sifat ini sudah mandarah daging di dalam hati, jiwa, perasaan dan nilai-nilai mereka.
Bani Israel masih lagi wujud di zaman kita hari ini.
Kedua, serangan besar-besaran tentera Israel yang penakut ke atas Gaza, yang kita sedang saksikan pada hari ini, adalah pencerminan kepada keangkuhan dan kesombongan mereka. Ini juga salah satu petanda tentang “kematian” mereka yang akan berlaku tidak berapa lama lagi.
Seluruh dunia telah dan sedang menyaksikan bagaimana keserakahan hawa nafsu telah merasuk mereka dan memangsakan seluruh penduduk Gaza siang dan malam tanpa henti.
Berbezanya serangan pada kali ini ialah Israel telah terperangkap dalam permainan berbahaya ciptaan sendiri.
Kali ini, serangan balas dari para pejuang dan rakyat Palestin tidak terhad kepada satu dua kawasan tertentu sahaja, tetapi boleh dikatakan seluruh entiti haram itu dan hampir semua bandar utama dan infrastruktur kritikalnya menjadi sasaran serangan balas.
Perlawanan juga telah dipersaksikan dari dalam Israel sendiri oleh rakyat Palestin yang tinggal di dalamnya.
Serangan menggila dari entiti haram Israel juga telah membangkitkan perlawanan dari para pemuda dan juga masyarakat Palestin yang tinggal di Tebing Barat, yang sebelum ini tidak dapat digerakkan oleh kerana sekatan-sekatan tentera (checkpoint) Israel dan banyak halangan lain.
Ini ditambah dengan seruan dari kepimpinan Briged Al Qassam yang merupakan barisan hadapan (frontliner) dalam penentangan ini supaya rakyat Palestin di Tebing Barat dan dari semua wilayah yang diduduki supaya bangun melawan keganasan tentera-tentera Israel di kawasan masing-masing.
Perlawanan kali ini memasuki satu fasa baru di mana masyarakat antarabangsa khususnya pejuang-pejuang siber bukan-arab dan di luar Palestin turut terlibat dari sudut serangan siber ke atas media sosial milik ketenteraan Israel.
Ini perkembangan yang sama sekali tidak diduga oleh pihak penceroboh dan penjajah yang terletak ribuan batu jauhnya.
Meskipun senario “peperangan” ini pada zahirnya tidak seimbang langsung – antara sebuah “negara” haram yang didokong dan dipersenjatai oleh Amerika Syarikat melawan rakyat Palestin yang tidak disokong oleh kerajaan-kerajan Arab yang berdekatan sekalipun, penjajah dan penceroboh Yahudi Zionis ini tidak akan menang, sebagaimana ia telah kalah di dalam dua serangan besar ke atas Gaza sebelum ini.
Israel sebenarnya sedang “berperang” dengan seluruh dunia dan di dalam “peperangan” kali ini, ia akan terpaksa menanggung segala kesan dan akibat dari keputusan-keputusan ekstremis dan angkuh dari kepimpinannya.
Palestin pula khususnya penduduk dan para pejuang Gaza sebenarnya merupakan “wakil” kepada seluruh umat Islam dalam perjuangan untuk membebaskan Masjid Al Aqsa dan juga setiap inci tanahair Palestin dari cengkaman penjajah dan pengganas Israel.
Barangkali Ari Shavit tidak akan menjangka akan besarnya skala serangan Israel ke atas Gaza pada kali ini, ataupun kesan dari tindakan kerajaannya melakukan permbersihan etnik ke atas penduduk Palestin di kawasan Sheikh Jarrah, yang diikuti dengan pembantaian kejam terhadap rakyat Palestin di penghujung bulan Ramadan baru-baru ini, yang diteruskan lagi dengan serangan bertubi-tubi ke atas seluruh wilayah Gaza.
Satu point lagi yang saya ingin bangkitkan ialah apabila Israel benar-benar “jatuh”, ia bukan bermakna seluruh rakyatnya akan jadi tawanan perang atau menjadi pelarian.
Saya juga sangat berhati-hati untuk mengaitkan isu “kejatuhan” Israel ini dengan alamat-alamat atau peristiwa-peristiwa akhir zaman.
Yang jelas, proses “kejatuhan” ini akan berlaku sesuai dengan hukum sebab-akibat dan melalui proses yang alami dan bukannya secara yang di luar logika akal untuk memahaminya.
Kereta-kereta kebal Israel tidak akan sekonyong-konyong terbalik hanya dengan renungan tajam atau jurus-jurus jari para pejuang Palestin!
Apa yang ditulis oleh Ari Shavit dan “firasat” yang disuarakan oleh Syaikh Ahmad Yasin juga bukan suatu “ramalan” yang aneh, luarbiasa atau mustahil.
Bagi kita, umat Islam, nilai dan neraca yang sepatutnya digunapakai ialah Al Qur’an dan Hadith Nabi SAW, tanpa mengingkari atau meremehkan bacaan terhadap realiti.
Dialah yang mengeluarkan orang-orang kafir di antara Ahli Kitab dari kampung halamannya pada saat pengusiran yang pertama.
Kamu tidak menyangka, bahawa mereka akan keluar dan mereka pun yakin, benteng-benteng mereka akan dapat mempertahankan mereka dari (seksaan) Allah; maka Allah mendatangkan (seksaan) kepada mereka dari arah yang tidak mereka sangka-sangka.
“Dan Allah menanamkan rasa takut ke dalam hati mereka; sehingga memusnahkan rumah-rumah mereka dengan tangannya sendiri dan tangan orang-orang Mukmin.
“Maka ambillah (kejadian itu) untuk menjadi pelajaran, wahai orang-orang yang mempunyai pandangan!,”
(Al Qur’an: Surah Al Hasyr Ayat 2)
Saya tidak boleh mengagak atau merumuskan bahawa tarikh “kemusnahan” Israel akan berlaku pada tahun 2026, 2027 atau 2028. Allah yang lebih mengetahui.
Akan tetapi, berdasarkan ayat Al-Quran di atas, saya boleh mengandaikan bahawa Israel akan di”musnah”kan melalui tangan-tangan mereka sendiri!
Mohd Luttfi Abdul Khalid
Baca Artikel Menarik
- MatDon lepak dengan Ronaldinho
- Petisyen Penjarakan Neelofa Bermula
- Resepi Briyani Udang Edisi Aidilfitri Ke-3
- Gelang ‘pink’ sudah digunting! Nora Danish enggan ulangi kesilapan lalu
- Aurel Hermansyah keguguran, Atta Halilintar mohon jangan ada prasangka buruk terhadap isterinya
Layari Laman Facebook MYKMU NET
You must be logged in to post a comment.