Menjauhi dedak dan kleptokrasi

LAMA sungguh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Duta Khas Ke Asia Barat tidak buat kenyataan berhubung isu-isu melibatkan hubungan Malaysia dengan rantau negara Teluk.

Sejak dilantik duta khas bertaraf menteri, 2 April tahun lepas, Abdul Hadi jarang sekali atau mungkin saya terlepas pandang, belum pernah buat kenyataan-kenyataan kritikal terhadap isu-isu Palestin. Atau membidas kekejaman rejim Israel.

Beberapa hari lalu iaitu 3 Mei sahaja baru nampak sedikit lantangnya. Kata Abdul Hadi, kerajaan telah menggerakkan kempen kesedaran terhadap Palestin dengan menyasarkan kutipan dana sebanyak RM1 juta bagi membantu perjuangan umat Islam di negara itu.

Lebih 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), katanya, terlibat dalam misi bantuan itu menerusi penubuhan Sekretariat #Aid4Palestine.

Membidas kekejaman Israel, satu hal yang presiden Pas itu tidak serlahkan dalam tempoh setahun ini. Waima membuat kenyataan membela nasib golongan marhaen di negara ini yang teruk terjejas akibat pandemik Covid-19 pun tidak sampai ke telinga kita.

Pertikai isu Palestin, ADUN DAP – intelek rendah?

Apatah lagi Pas yang hendak menguar-uarkan semula kelantangannya memperjuangkan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang terbantut tempoh hari pun tidak lagi kedengaran dari mulut Abdul Hadi sejak Pas menjadi kerajaan, Mac 2020.

Padahal RUU 355 pernah menjadi peluru berharga kempen Pas sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Ia ‘hidup dan mati’ politik Pas.

Kenapa tak boleh laksana? Sebab tiada kuasa politik pada peringkat kerajaan pusatkah?

Mengapa tiada desakan daripada seluruh 18 ahli Parlimen Pas berhubung pindaan RUU 355?

Selepas setahun Pas duduk dalam kerajaan, masih tiada kertas Kabinet untuk melaksanakan RUU 355 dibentangkan oleh menteri agama atau menteri undang-undang kerajaan Perikatan Nasional.

Bukan menteri yang bertanggungjawab kepada Parlimen dan undang-undang daripada Paskah? Mengapa Abdul Hadi tak menggesanya?

Demikian juga memerangi isu rasuah. Tidak banyak, apa lagi yang konkrit digerakkan oleh Pas.

Kata Abdul Hadi, 2 Februari lalu, takrif rasuah perlu dikaji dari sudut pandangan Islam yang sebenar. Katanya, sumbangan kepada pihak yang memerlukan dan bukan atas tujuan peribadi sama ada individu atau masyarakat umum, tidak harus dimasukkan dalam makna rasuah.

Dalam kenyataan Minda Presiden Pas melalui akaun Facebook rasminya itu, kata Abdul Hadi: “Maka, tiada orang akan menjadi mangsa akibat kesalahan daripada tindakan undang-undang yang dizalimi, bukan kerana kesalahannya mengikut hukum Allah SWT. Pada masa sama, ia perlu diambil kira dari segi ekonomi pendapatan atau gaji yang cukup bagi keperluan diri dan keluarga.”

Terlalu umum saranan Abdul Hadi. Tidak mendalam, pergi kepada perkara pokok. Sekadar surface atau di permukaan, padahal isu rasuah inilah peluru terbaik Pas untuk membuktikannya adalah parti sejati Islam. Namun, ini tidak berlaku.

Orang Umno dalam Jemaah Menteri mungkin jadi buangan parti

 

MATERIAL

Sejak masuk kerajaan, kisah-kisar berkisar ‘material’ dikaitkan dengan Pas lebih banyak tular di media sosial. Antaranya, perbelanjaan dikeluarkan kerajaan negeri Kelantan sekitar RM3.5 juta untuk pembelian kereta rasmi.

Begitu juga isu 5 Disember tahun lalu membabitkan cetakan skrin perbualan melalui aplikasi WhatsApp dikatakan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Ia berhubung projek pembangunan di Kedah yang didakwa Setiausaha Politik Takiyuddin, Wan Rohimi Wan Daud sebagai ‘sengaja dipetik di luar konteks.’

Jelas Wan Rohimi, perbualan berhubung penglibatan anak syarikat milik kerajaan negeri Kedah, Bina Darulaman Berhad (BDB) dan cadangan penglibatan rakan usahasama, Taliworks Corporation dalam projek tersebut ditularkan dengan niat yang curang untuk membina persepsi negatif dan mencemarkan nama baik pihak-pihak berkaitan.
Malah, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi berkata, perbualan dalam aplikasi WhatsApp itu berkisar tentang penglibatan BDB dalam projek Loji Rawatan Air (LRA) Plubang yang telah berjalan sejak 2018.

Beliau menjelaskan, daripada lima LRA yang akan dibina di Kedah dalam masa terdekat, empat LRA ditender secara terbuka memandangkan ia adalah geran Persekutuan.

Bila kena batang hidung sendiri, Pas senyap. Tapi bila orang lain buat, Pas membising. Isu lompat parti, mana pendirian Pas?

Berkawan dengan DAP, jadi larangan pula. Haram. Tapi dahulu Pas berbaik dengan DAP dalam banyak siri PRU, boleh sahaja.

Sejarah Pas sendiri menyaksikan sejak 1998 hingga 2016, Pas bersahabat baik dengan DAP. Adakah semasa dahulu kepimpinan DAP diterajui orang lain? Tidak juga kerana masih lagi sama wajah, perawakan serta penampilannya. Lim Kit Siang, Lim Guan Eng serta Nga Kor Ming, Ngeh Koo Ham.

Jangan halalkan Jajaran Baru Bersama DAP

Kenapa sekarang bila UMNO hendak berkawan dengan PKR dan DAP, hukumnya haram pula oleh Pas?

Pas perlu jelas dalam isu dedak dan kleptokrasi ini. Elok Pas ikut prinsip yang dipegang Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki ini. Azam pada 28 Februari lalu menggesa kerajaan mempercepatkan undang-undang membenarkan pembiayaan dana kepada parti-parti politik.

“Usaha untuk perkara itu masih tergantung di peringkat sesi perbincangan jawatan kuasa khas Parlimen. Ia tidak lagi di bawah kami (SPRM),” kata Azam.

Pas perlu memperbaiki auranya hari ini seperti mana kelantangannya pada masa lalu. Lebih tepat lagi sekitar 1980-an dan 1990-an semasa Pas diterajui ulama-ulama seperti Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Yusof Rawa, Datuk Fadzil Muhammad Noor dan Datuk Dr. Haron Din.

Tetapkan prinsip dan pendirian parti yang menjauhi kepentingan peribadi. Hindari persepsi yang mencalar imej dalam politik bahawa ia ‘dedak kleptokrasi.’

Pas, ingatlah surah As-Saff ayat 3: “Amat besar kebenciannya di sisi Allah SWT apabila kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.”

Datuk Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

 


Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook MYKMU NET

 

1MDB: Mahkamah Tinggi tolak permohonan kerajaan


Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker