Varian ganas ancam cetus tsunami kes baru di Malaysia

Malaysia kini bukan sahaja berhadapan dengan ledakan kes harian baru Covid-19 tetapi juga perlu ‘berperang’ dengan varian koronavirus yang lebih ganas dan mampu mencetuskan kadar jangkitan serta kematian yang lebih tinggi.

Malah kadar kes harian baru dijangkakan boleh mencecah sehingga lima angka dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini memberitahu sidang media, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang berusaha mengawal penularan kes membabitkan varian dari United Kingdom, Afrika Selatan, Brazil dan India.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan empat varian berkenaan sebagai ‘varian yang membimbangkan’ (VOC) di peringkat global.

Menurut Dr Noor Hisham, varian yang paling banyak dikesan di negara ini adalah varian dari Afrika Selatan (varian South African B.1.351.) dan kes Covid-19 daripada jangkitan varian berkenaan dikesan menular di beberapa negeri iaitu Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak.

 

Sehingga kini, sebanyak 62 kes positif Covid-19 dikesan melibatkan varian South African B.1.351. sementara varian dari India (B.1.617) yang dikesan setakat ini melibatkan dua kes (B.1.617.1 dan B.1.617.2) dan seorang daripadanya sudah meninggal dunia.

Menurut penjelasan Dr Noor Hisham, kes B.1.617.2, melibatkan bukan warganegara tiba di Malaysia pada 7 April 2021 dan kedua-dua ujian Covid-19 (pada 7 April dan 12 April) didapati negatif. Beliau dilaporkan positif pada 21 April dan meninggal dunia pada 1 Mei 2021.

Mengenai varian Brazil, beliau berkata, KKM setakat ini masih belum mengesan kes Covid-19 jangkitan varian berkenaan.

Untuk rekod, pada 11 Januari 2021, KKM memaklumkan pihaknya mengesan satu kes Covid-19 varian UK B.1.1.7 melibatkan pengembara dari Malaysia yang mempunyai sejarah perjalanan ke United Kingdom pada bulan Disember 2020. Pengembara itu didapati positif

Malaysia sebelum ini menyekat kemasukan pengembara dari Nepal, Bangladesh, Sri Lanka dan Pakistan, sebagai susulan tambahan sekatan penerbangan dari dan ke India, berikutan kebimbangan penularan COVID-19.

Dr Noor Hisham turut menekankan bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dikuatkuasakan dari 12 Mei hingga 7 Jun depan adalah antara usaha untuk mengekang penularan varian baru yang mempunyai kadar kebolehjangkitan dan kematian yang tinggi.

Malahan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Sempena Hari Raya Aidilfitri, yang turut menyentuh perkembangan mutakhir penularan Covid-19 menyebut “Malaysia kini berada pada titik genting” dan penularan varian baru harus disekat. Dijangkakan jumlah kes harian akan mencecah lima angka dalam tempoh beberapa minggu akan datang.”

Menurut Perdana Menteri lagi, hampir semua kawasan di negara ini bertukar menjadi “merah” dengan hampir kira-kira 70 peratus kes jangkitan berlaku secara sporadik (penularan dalam komuniti) dan hampir 80 peratus kes positif dikesan tidak mempunyai sebarang gejala.

Lonjakan angka korban

Sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama (8 Mei hingga 13 Mei 2021), Malaysia merekod lonjakan kes harian baru Covid-19 Malaysia melebihi tiga ribu dan menghampiri lima ribu kes di samping kes kematian yang tinggi.

Sehingga pukul 12 tengah hari semalam (Khamis 13 Mei 2021), Malaysia merekod sebanyak 4,855 kes harian baru Covid-19, iaitu tertinggi sepanjang tempoh rangkuman ini.

Terdapat dua hari kes harian mencatat sekitar empat ribu iaitu pada Sabtu 8 Mei (4,519 kes) dan Rabu 12 Mei (4,765 kes).

Kes aktif dengan kebolehjangkitan yang dicatat semalam melonjak kepada 41,582 kes, sementara kes kumulatif pula sudah sebanyak 458,077 kes.

Berikut adalah bilangan kes harian baru yang dicatat sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama 8 Mei hingga 13 Mei 2021:-

8 Mei (4,519 kes), 9 Mei (3,733 kes), 10 Mei (3,807 kes), 11 Mei (3,973 kes), 12 Mei (4,765 kes) dan 13 Mei (4,855 kes).

Sementara itu, sebanyak 27 kes kematian lagi dilaporkan semalam 13 Mei 2021, menjadikan kes kumulatif kematian sebanyak 1,788 kes, kesemuanya warganegara.

Kes kematian tertinggi untuk tempoh rangkuman dilaporkan pada Rabu 12 Mei iaitu 39 kes.

Untuk rekod, kes kematian sepanjang tempoh rangkuman 8 Mei hingga 13 Mei 2021 :-

8 Mei – 25 ( 23 WN 1 BWN ); 9 Mei – 26 kes (25 WN 1 BWN ), 10 Mei – 17 kes (16 WN 1 BWN); 11 Mei – 22 kes (22 WN);12 Mei – 39 kes (37 WN 2 BWN) dan 13 Mei – 27 kes (27 WN).

*WN = warganegara *BWN = bukan warganegara

Bilangan kes pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) turut kritikal dan setakat 13 Mei 2021, KKM melaporkan 481 kes dan 247 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham pada Selasa lepas menyatakan KKM “sedang cuba menambah bilangan katil di ICU berikutan peningkatan pesakit yang memerlukan rawatan rapi. Permintaan untuk katil ICU dijangka bertambah sehingga lebih 1,700 unit dengan jangkaan kes harian baru meningkat pada akhir Mei atau pertengahan Jun depan.”

Menurut beliau, terdapat sebanyak 734 katil ICU di seluruh negara dan setakat ini lebih 500 buah katil sudah digunakan termasuk untuk pesakit Covid-19.

Malaysia pernah mencatat kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 melepasi angka 50 ribu pada Gelombang Ketiga Covid-19 iaitu sebanyak 50,894 kes pada 6 Februari 2021.

Berikutan trend kes harian baru Covid-19 yang semakin meningkat, kerajaan memutuskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun 2021.

Larangan rentas daerah dan negeri turut tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, temu janji vaksinasi dan pasangan jarak jauh.

Ramai rakyat positif Covid-19

Berdasarkan data KKM, warganegara masih menyumbang purata 90 peratus kepada kes harian baru Covid-19 sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama.

Rekod KKM semalam (13 Mei 2021), daripada 4,855 kes, penularan tempatan adalah sebanyak 4,852 kes (4,494 warganegara – 92.6 peratus dan 358 bukan warganegara – 7.4 peratus ) .

Kes import pula sebanyak tiga (3 kes) dan kesemuanya bukan warganegara.

Berikut adalah data yang menunjukkan situasi berkenaan, termasuk kes harian baru dan kes kumulatif, berdasarkan makluman KKM.

  • Sabtu 8 Mei – Kes baru : 4,519 kes (436,944 kes kumulatif); Kes tempatan : 4,514 kes [3,964 warganegara (87.8%); 550 bukan warganegara (12.2%)]; Kes import : 5 kes (5 warganegara);
  • Ahad 9 Mei – Kes baru : 3,733 kes (440,677 kes kumulatif); Kes tempatan : 3,727 kes [3,301 warganegara (88.6%); 426 bukan warganegara (11.4%)]; Kes import : 6 kes (1 warganegara, 5 bukan warganegara);
  • Isnin 10 Mei – Kes baru : 3,807 kes (444,484 kes kumulatif); Kes tempatan : 3,802 kes [3,642 warganegara (95.8%); 160 bukan warganegara (4.2%)]; Kes import : 5 kes (2 warganegara, 3 bukan warganegara);
  • Selasa 11 Mei – Kes baru : 3,973 kes (448,457 kes kumulatif); Kes tempatan : 3,968 kes [3,540 warganegara (89.2%); 428 bukan warganegara (10.8%)]; Kes import : 5 kes (1 warganegara, 4 bukan warganegara);
  • Rabu 12 Mei – Kes baru : 4,765 kes (453,222 kes kumulatif); Kes tempatan : 4,758 kes [4,291 warganegara (90.2%); 467 bukan warganegara (9.8%)]; Kes import : 7 kes (5 warganegara, 2 bukan warganegara);
  • Khamis 13 Mei – Kes baru: 4,855 kes (458,077 kes kumulatif); Kes tempatan : 4,852 kes [4,494 warganegara (92.6%); 358 bukan warganegara (7.4%)]; Kes import : 3 kes (3 bukan warganegara);

Dengan 458,077 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 42 dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik Covid-19. Malaysia mengatasi Nepal (431,191 kes) dan di hadapan Malaysia adalah Maghribi (514,670 kes).

 

Setakat 13 Mei 2021, sebanyak 3,347 kes sembuh dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes pesakit yang pulih daripada Covid-19 kini 414,707 kes (90.5 peratus).

Sementara rekod kes sembuh harian sepanjang tempoh rangkuman ini:-

8 Mei (2,719 kes), 9 Mei (3,211 kes), 10 Mei (3,454 kes), 11 Mei (3,848 kes), 12 Mei (3,124kes) dan 13 Mei (3,347 kes).

Kluster baru terus muncul

Laporan harian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengenai Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19) di Malaysia, turut menunjukkan masih ada kluster baru dikesan dan kluster tempat kerja masih membiak kes positif Covid-19 yang banyak di samping kluster komuniti.

Sehingga Khamis 13 Mei 2021, sebanyak lapan (8) lagi kluster baru, menjadikan jumlah kluster yang direkod dalam negara sebanyak 1,848 kluster. Sebanyak 1,391 kluster dilaporkan tamat dan masih aktif sebanyak 457 kluster.

Daripada lapan (8) kluster baru, lima (5) adalah kluster tempat kerja iaitu dua (2) di Selangor, dua (2) di Johor dan satu (1) di Pulau Pinang; dua (2) kluster komuniti (masing-masing satu di Sarawak dan Sabah) dan satu (1), kluster keagamaan, iaitu di Melaka.

Sementara itu, Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan di Facebook peribadinya pada Khamis 13 Mei 2021 mengumumkan, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 13 Mei 2021 untuk seluruh negara kekal 1.14. Negeri mencatat Ro tertinggi ialah Kedah 1.25, Perak 1.23 dan Melaka 1.22.

R-Naught (Ro/Rt) iaitu kebolehjangkitan satu kes positif Covid-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan sepanjang tempoh rangkuman Bernama (8 Mei hingga 13 Mei 2021) secara konsistennya berada pada kadar lebih 1.0.

Sebelum ini, kadar Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

– Bernama

 


Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook My KMU NeT


Biodata Artis Reen Rahim

 

 

 

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker