SPR disaran pertimbang 30% kerusi Parlimen untuk calon wanita

 

KLANG: Majlis Pemimpin Politik Wanita Malaysia (COMWEL) akan mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertimbangkan 30% kerusi Parlimen diperuntukkan kepada calon wanita.

Presidennya, Zuraida Kamaruddin berkata, usaha itu bagi membolehkan wanita memenuhi kuota 30% dalam Dewan Rakyat selepas pilihan raya umum akan datang.



“Ia tak susah nak buat, tetapkan 30% daripada 222 kerusi Parlimen, kira-kira 67 kerusi Parlimen untuk calon wanita.

“Dengan cara itu, kita boleh mencapai 30% kuota Ahli Parlimen dalam kalangan wanita,” katanya selepas Majlis Pelancaran COMWEL yang dirasmikan Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun.

Sementara itu, Azhar berkata, hanya 33 daripada 222 Ahli Parlimen ialah wanita buat masa ini dan jumlah itu boleh ditingkatkan lagi.

Muhyiddin disaran kembali kepada Umno sekiranya ikhlas mahu melihat Melayu bersatu



Beliau tidak tahu jika cadangan itu boleh dilakukan, tetapi katanya, walaupun menghadapi kekangan dari segi Perlembagaan atau perundangan, ada langkah lain yang kerajaan boleh lakukan.

“Mungkin kerajaan boleh bersetuju untuk memberi insentif kepada parti politik yang mencalonkan lebih ramai wanita, mungkin juga setiap undi yang diperolehi calon wanita ini umpamanya, boleh diberi insentif kewangan untuk pembangunan wanita bagi parti tersebut.”

Katanya, cadangan pemberian insentif itu tidak membabitkan undang-undang dan boleh dilakukan dengan cepat.



“Saya rasa itu boleh dibuat serta-merta. Sekarang kita tak perlu tengok kepada undang-undang, cuma memerlukan keazaman politik untuk melakukannya.”

COMWEL menghimpunkan kepimpinan wanita tempatan dalam memperjuangkan agenda pemberdayaan dan pengarusperdanaan gender secara bersistematik yang melangkaui batasan politik. Keahliannya terbuka kepada semua wanita termasuk NGO, perkhidmatan awam dan sektor swasta.

Kerajaan pertimbang benarkan guru dari Semenanjung di Sabah, Sarawak pulang



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker