Thailand jadikan lapangan terbang sebagai pusat vaksinasi


BANGKOK: Thailand menjadikan sebuah lapangan terbang antarabangsa yang sunyi sepi di ibu negaranya sebagai pusat vaksinasi dalam usaha meningkatkan pemberian vaksin Covid-19.

Kerusi disusun mengikut penjarakan fizikal di kaunter daftar masuk, dengan kru kabin, kakitangan imigresen dan lapangan terbang beratur untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin.

Lebih 1,000 orang akan divaksin setiap hari.

Inisiatif vaksinasi itu menyebabkan keadaan dalam Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, yang sunyi akibat kemerosotan penumpang dan trafik udara susulan kekurangan permintaan serta larangan kemasukan, sibuk semula.

Pada 2019, sebelum penularan pandemik, Thailand menerima hampir 40 juta pelancong, kebanyakannya melalui pintu masuk utama. Tetapi, keadaan itu berubah dengan hanya 6,737 pengunjung diterima Thailand pada Mac.

Seorang kakitangan lapangan terbang itu, Siwaporn Singkhrut, yang merupakan antara individu pertama daripada lebih 30,000 penerima vaksin di tempat itu, berkata ada banyak ruang untuk memperluaskan perkhidmatan itu kepada lebih ramai orang.

“Buat masa ini, hanya sebahagian kecil daripada lapangan terbang beroperasi, oleh itu lebih baik ia dibuka sepenuhnya kepada orang ramai supaya mereka boleh datang untuk mendapatkan vaksin.”

Selepas setahun dengan hanya penularan kecil-kecilan, Thailand kini menghadapi penularan Covid-19 yang lebih besar dan cepat, dengan kes meningkat dua kali ganda sejak awal bulan ini sehingga mencecah 61,699 serta 178 kematian.

Hari ini, ia merekodkan 2,012 kes baru dan lebih 15 kematian.

Bangkok belum memulakan kempen vaksinasi besar-besaran, dan berusaha mendapatkan bekalan sebagai tambahan untuk vaksin yang akan dihasilkan tempatan mulai Jun ini. FMT

Thailand catat kes harian Covid tertinggi, varian baharu burukkan keadaan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker