[VIDEO] ‘Jaga Jebat elok-elok naaa’ – Sharnaaz Ahmad
“Jaga Jebat elok-elok naa.”
Demikian pesan pelakon Sharnaaz Ahmad, 36, kepada bekas isterinya, Noor Nabila Mohd Noor, 36, yang melangsungkan perkahwinan dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin, 46, hari ini mengenai anak mereka, Jebat Jayden, 3.
Sharnaaz berkata demikian dalam video berdurasi 50 saat yang dimuat naik di Instagram, hari ini.
Sharnaaz berkata, Nabila berhak untuk mencari kebahagiaannya sendiri memandangkan dia masih muda.
“Bagi saya, untuk dia mendirikan rumah tangga dengan Engku Emran adalah satu benda yang sangat baik. Saya sebagai bekas suaminya ingin mengucapkan selamat pengantin baru buat mereka. Semoga berbahagia hingga ke anak cucu,” katanya.
Sharnaaz ketika dihubungi berkata, dia mempunyai cara tersendiri untuk mengucapkan tahniah dan menitip doa kebahagiaan buat pasangan pengantin baru itu.
“Sekarang mereka betul-betul sudah sah bergelar suami isteri, barulah saya memuat naik hantaran ucapan tahniah ini untuk mereka. Semoga kehidupan rumah tangga dibina mereka bahagia,” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, Sharnaaz turut memuat naik ucapan selamat pengantin baru buat Nabila dan Engku Emran di Instagram serta pesanan supaya menjaga Jebat dengan baik.
Video berkenaan memperoleh lebih 270,000 tontonan dan lebih 2,600 komen.
Rata-ratanya meletakkan komen positif dan amat menghormati Sharnaaz. Selain itu, mereka turut mendoakan Sharnaaz segera bertemu jodoh.
Sharnaaz mendirikan rumah tangga dengan Noor Nabila pada 31 Mac 2017,namun bercerai pada Julai tahun lalu.
You must be logged in to post a comment.