Politik mut’ah UMNO, Bersatu

JELAS, UMNO tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Tetapi, sementara menunggu PRU15 tiba, UMNO akan terus bersama dengan Bersatu dalam kerajaan.

Perkara itu jelas tertulis dalam surat daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin seolah-olah memberi gambaran pemimpin UMNO sebenarnya sayang mahu berpisah dengan Bersatu.

Tetapi disebabkan tuntutan akar umbi termasuk keputusan ketika mesyuarat bahagian tidak lama dahulu, barisan kepimpinan UMNO kelihatan terpaksa melakukan sesuatu bagi menjaga hati ahli yang masih menyokong kewujudan itu.

Sebab itu muncul keputusan ala perkahwinan mut’ah antara UMNO dengan Bersatu yang mana mereka hanya akan bersama dalam kerajaan sehingga PRU15 sahaja. Selepas itu mereka akan bercerai dan membawa haluan masing-masing.

Ibarat nikah mut’ah atau perkahwinan kontrak ia dilakukan hanya untuk mencapai kepentingan tertentu sahaja. Apabila sudah sampai ke tempoh tertentu, sama ada disebabkan apa yang dikehendaki sudah diperoleh atau sudah tidak ada apa-apa lagi kepentingan untuk bersama maka ia pun dibubarkan.

Sama situasinya dengan hubungan UMNO dan Bersatu. Pada masa ini UMNO masih mahu meneruskan kebersamaan itu kerana majoriti pemimpin berada dalam barisansyarikat berkaitan kerajaan (GLC). Itu kepentingan yang perlu dipertahankan. Untuk mempertahankan kepentingan itu mereka perlu terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Namun, apabila pilihan raya menjelang, mereka terpaksa memikirkan sama ada hubungan dengan Bersatu itu akan memberikan manfaat terutama daripada segi agihan kerusi dan keupayaan untuk mengekalkan sokongan daripada ahli.

Sehingga kini khabarnya jika UMNO meneruskan kerjasama dengan Bersatu pada PRU15, maka mereka mungkin hanya boleh bertanding sekitar 50 kerusi Parlimen. Namun difahamkan UMNO mahu bertanding sekurang-kurangnya di 80 kawasan Parlimen.

PRU15, dahulu begitu hampir, kini semakin jauh..

Di Johor misalnya, UMNO negeri itu dilihat antara yang lantang mengkritik kerjasama UMNO-Bersatu telah membuat pendirian untuk tidak sesekali menyerahkan kesemua kerusi yang ditandingi mereka kepada Bersatu.

Mereka mungkin hanya akan memberi muka kepada Muhyiddin di Pagoh, tetapi untuk kerusi-kerusi lain tidak akan ada kompromi.

Jika ditanya kepada pemimpin parti terbabit dan PN – sama ada UMNO, Bersatu dan Pas – mereka tentu tidak mengiyakan angka agihan kerusi ini. Masing-masing masih bermain tarik tali dan masih berdiplomasi mengenai berapa kerusi yang akan diagihkan kepada parti-parti dalam PN.

Namun, sehingga kini tidak ada mana-mana pemimpin parti terbabit yang tampil memberikan penjelasan sebenarnya. Masing-masing masih berkias-kias dan ada masanya kelihatan berdolak-dalik mengenai keputusan tersebut.

Jika berdasarkan kepada kenyataan Ahmad Zahid, penolakan kerjasama dengan Bersatu itu adalah kehendak akar umbi. Cuma bagaimana pula ‘kebersamaan’ dalam kerajaan hingga pilihan raya umum itu sampai?

Adakah itu pun diinginkan oleh akar umbi juga? Atau itu keputusan para pemimpin yang takut akan kehilangan jawatan dalam GLC.

Yang pasti politik negara kita menjadi semakin celaru. Dengan Parlimen masih lagi digantung kerana darurat, keputusan terbaharu UMNO ini menampakkan bahawa pakatan yang membentuk kerajaan sekarang memang tidak ampuh.

Ia memberi gambaran seolah-olah pakatan mereka itu lebih untuk mencapai matlamat peribadi dan di pihak UMNO untuk mengelakkan mereka daripada menjadi pembangkang.

Muafakat Nasional jadi sandaran menang PRU15

Ini juga memberi gambaran ini semua adalah politik berasaskan ‘nafsu’ semata-mata iaitu nafsu untuk mengejar jawatan dan kedudukan.

UMNO sendiri tidak berani menunjukkan kejantanan ketika ahli di akar umbi memberi mandat penuh untuk membubarkan kerjasama dengan Bersatu. UMNO dilihat berpecah kepada tiga kelompok yang tentunya akan menyukarkan parti itu dalam menghadapi PRU15.

Mereka tidak ada keyakinan sama ada untuk menolak terus kerjasama dengan PN dan Bersatu atau kekal dalam pakatan itu.

Sebab itu, keputusan yang dibuat kelihatan sekerat-kerat. Ke depan tidak ke belakang pun tidak. Ada masanya nampak seperti maju setapak. Ada ketika pula kelihatan mengundur dua tapak.

Bagi pemimpin-pemimpin yang berada di kerusi empuk dalam kerajaan, langkah yang diambil oleh Ahmad Zahid itu tentulah ditafsirkan sebagai tidak bijak. Kenapa mahu melepaskan kuasa ketika ia ada di tangan kita?

Ada yang mengatakan mereka ini sedia meninggalkan Ahmad Zahid pada bila-bila masa dan sedia membawa UMNO untuk terus kekal bersama PN dan terus kekal dalam kerajaan.

Yang menjadi persoalan sekarang adakah perkahwinan mut’ah hasil inisiatif Ahmad Zahid ini akan berjaya meneruskan kelangsungan perjuangan UMNO sebagai sebuah parti Melayu selepas PRU-15 nanti?

Atau adakah kontrak mut’ah ini akan diperbaharui apabila PRU15 makin hampir atau apabila Bersatu dan PN kembali menawarkan tawaran-tawaran menarik yang menghairahkan hingga sukar untuk ditolak dan hingga terpaksa mengetepikan suara akar umbi.

Realiti daripada senario politik cacamarba hari ini ialah UMNO sudah tidak ada taring untuk menjadi pencatur utama dalam politik negara.

Dalam UMNO sendiri tidak ada kesatuan. Apa pun tekanan atau syarat yang diberikan oleh pucuk kepimpinan parti kepada sekutu mereka dalam PN tidak akan memberikan seberang kesan kerana tentangan akan datang dari dalam partinya sendiri.

Dalam hal ini kelebihan adalah kepada Bersatu dan Pas yang boleh memfokuskan 100 peratus kepada usaha-usaha menghadapi PRU15. Fokus kepada usaha mencongak strategi dan merampas kawasan-kawasan strategik untuk ditandingi pada PRU akan datang.

Ketika UMNO sibuk dengan mut’ah dan masalah dalam rumah tangganya, orang lain sudahpun menandakan kawasan-kawasan yang mereka akan meletakkan calon pada pilihan raya akan datang.

Annuar Musa kata UMNO rugi jika tak bersama PN pada PRU15

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker