PRU15, dahulu begitu hampir, kini semakin jauh..

Share

SEMINGGU selepas kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 berlangsung, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) mungkin diadakan lebih awal sekiranya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi PRN itu.

Hasrat Muhyiddin itu ada asasnya.

Dengan laporan badan pemerhati politik seperti Merdeka Centre dan Ilham Centre yang menjangkakan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) akan diterima rakyat dengan Muhyiddin sendiri dianggap sebagai calon Perdana Menteri paling popular, senario itu sekadar menguatkan alasan mengapa pilihan raya mengejut perlu diadakan dalam masa terdekat.

Langkah pertama kerajaan PN untuk melaksanakan PRU mengejut hampir berjaya.

Pada 26 September lalu, GRS ditunjangi kerjasama Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) akhirnya berjaya memenangi PRN Sabah dan membentuk kerajaan negeri baharu setelah menerima sokongan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas.

Bagaimanapun, proses penubuhan kerajaan baharu Sabah itu dipenuhi drama politik apabila kepimpinan BN pada mulanya tidak berpuas hati kerana diketepikan jawatan Ketua Menteri.

Muafakat Nasional bincang strategi pertahan PN hingga PRU15

Bahkan, proses pelantikan Ketua Menteri Sabah juga memerlukan tempoh selama dua hari untuk dimuktamadkan susulan terdapat desas-desus mengatakan PBS hampir beralih sokongan kepada Warisan Plus setelah parti itu didakwa dinafikan jawatan Timbalan Ketua Menteri (TKM).

Di sebalik kejayaan GRS menubuhkan kerajaan baharu Sabah, ramai penganalisis politik bersependapat PRN Sabah sebenarnya tidak menyelesaikan kemelut politik negeri itu sepenuhnya.

Lebih malang, PRN Sabah itu turut dianggap antara faktor utama penularan kes jangkitan koronavirus (Covid-19) di negara ini selain dikaitkan sebagai punca kemungkinan rakyat berdepan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kali kedua.

Kelmarin, negara mencatat sejarah apabila sejumlah 691 kes positif Covid-19 dicatatkan, jumlah tertinggi sejak pandemik melanda negara, dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjadi menteri pertama disahkan positif selepas Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Masrizal Ahmad dijangkiti Covid-19.

Persoalan paling utama, wajarkah tuntutan PRU15 segera dalam kalangan elit politik diteruskan ketika negara sekali lagi berdepan gelombang ketiga Covid-19 yang lebih dahsyat?

Bagi penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain, pada saat kritikal seperti sekarang, semua parti dan elit politik wajar mengetepikan hasrat mengadakan PRU15 mengejut, sebaliknya mendahulukan kepentingan rakyat.

Muafakat Nasional telah bersedia untuk PRU15

Gagal ikut SOP

Katanya, PRN Sabah membuktikan kegagalan semua pihak dalam memastikan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dipatuhi sebagaimana pilihan raya kecil (PRK) DUN Chini dan DUN Slim sebelum ini.

“Orang politik berkali-kali memberi peringatan ikut SOP Covid-19 sewaktu PRN diadakan, tetapi malangnya saranan mereka kali ini ibarat ‘ketam mengajar anak berjalan’. Kali ini, mereka sendiri melanggar SOP.

“Saya turut difahamkan agensi-agensi kerajaan tiada konsensus dalam menangani Covid-19 ketika ini dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dikatakan mendesak PKP diadakan semula, tetapi Majlis Keselamatan Negara (MKN) tolak cadangan itu.

“Akhirnya terpulang kepada pemimpin kerajaan PN untuk buat keputusan. Sekiranya strategi politik menjadi pertimbangan utama, sememangnya kini masa terbaik buat PRU15 namun Muhyiddin kena ingat hanya MN akan menerima manfaat besar kelak,” katanya kepada Sinar Harian.

Lebih menarik, Ahmad Atory turut mengemukakan hipotesis Muhyiddin dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebenarnya lebih rela PRU15 ditangguhkan.

Beliau berpandangan Muhyiddin pada saat ini sangat memerlukan masa tambahan bagi menyelesaikan masalah dalaman antara parti-parti dalam kerajaan PN, terutama hubungan UMNO-Bersatu.

“Bermula daripada PRN Sabah, akar umbi UMNO amat berang dengan kepimpinan Bersatu dengan terdapat ancaman daripada mereka mendesak pucuk kepimpinan parti untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu, sebaliknya mahu menumpukan kerjasama UMNO-Pas sahaja.

“Tidak keterlaluan saya katakan Bersatu sebenarnya cemburu akan kerjasama Pas-UMNO, bahkan strategi politik Muhyiddin pada PRN Sabah seolah-olah menunjukkan beliau ada niat ‘membunuh’ UMNO,” katanya.

Tok Mat bakal cabar Zahid?

Di sebalik kemungkinan Muhyiddin lebih memilih menghabiskan tempoh penggal pentadbiran kerajaan berbaki dua tahun setengah, terdapat empat faktor tekanan utama yang mampu memaksa beliau mengadakan pilihan raya mengejut.

Menurut Ahmad Atory, empat faktor itu adalah tekanan daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa menerima angka sokongan ahli Parlimen mencukupi bagi membentuk kerajaan baharu, tekanan ahli Parlimen UMNO memaksa PRU15 diadakan segera, tekanan pandemik Covid-19 semakin serius dan tekanan ekonomi pasca-Covid-19.

“Kesan akibat Covid-19 mungkin tidak dapat dielak, tetapi isu lain terutama masalah ketidakstabilan politik dan ekonomi mampu diselesaikan menerusi pelaksanaan pilihan raya mengejut,” katanya.

Berbeza dengan dakwaan Ahmad Atory kononnya UMNO mahukan PRU15 dilaksanakan lebih awal, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan sebaliknya membangkang cadangan pelaksanaan PRU15 dalam tempoh terdekat susulan pengalaman dilalui negara ini menerusi PRN Sabah.

“Selepas sudah nampak kesan penularan (melalui pilihan raya), takkan kita tak boleh fikir lagi? Tambahan, tiada keperluan mendesak untuk PRU diadakan tiba-tiba,” katanya.

Sampel yang diambil dari orang ramai yang hadir bagi menjalani proses ujian saringan Covid-19 bersasar secara percuma. – Foto Bernama
Shahril turut menegaskan rakyat akan bertambah meluat terhadap pengamal politik sekiranya terdapat usaha menyokong pelaksanaan PRU15 lebih awal semata-mata berdasarkan parti itu lebih kuat berbanding parti lain.

Masih mampukah Ahmad Zahid kemudi bahtera UMNO pada PRU15?

Ketidakstabilan

Bagi pemimpin pembangkang, mereka turut mengakui masalah ketidakstabilan politik negara tidak akan dapat diselesaikan menerusi peti undi.

“Dahulu kerajaan PN mungkin ada hala tuju tangani Covid-19 dengan pemberian bantuan moratorium pinjaman bank, skim mikro kredit perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan Bantuan Prihatin Negara, namun senario ketika ini menampakkan rakyat jaga rakyat semata-mata,” kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Johor Bahru itu berpandangan usaha mengembalikan pentadbiran kerajaan berasaskan mandat rakyat boleh dibentuk kembali bagi menggantikan kerajaan PN tanpa perlu mengadakan PRU.

Menurutnya, usaha mewujudkan kepimpinan baharu negara pastinya menyebabkan berlaku penjajaran semula politik antara parti kerajaan dan pembangkang.

“Bezanya, sekiranya penjajaran politik berlaku, ia bukan atas peletakan syarat atau kondisi soal pengagihan kuasa atau jawatan sesama ahli politik.

“Sebaliknya ia akan terbentuk atas semangat keadilan. Saya mengharapkan mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan agenda (Presiden PKR) Anwar (membentuk kerajaan baharu) agar tidak mengheret rakyat untuk mengugut beliau pada saat kritikal,” katanya.

Agong perkenan Anwar mengadap Selasa depan

Leave a Reply