Annuar Musa kata UMNO rugi jika tak bersama PN pada PRU15
Bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Annuar Musa berkata Umno akan rugi jika tidak bersama kerajaan Perikatan Nasional apabila parlimen dibubarkan kelak.
“Sekiranya benar keberadaan Umno dalam kerajaan hanya sehingga parlimen di bubarkan, apakah antara tarikh pembubaran hingga PRU di adakan, Umno tidak berada dalam caretaker government (kerajaan sementara).
“Tidakkah tindakan yang di buat dalam keadaan tarikh PRU belum di putuskan, memberi disadvantage (merugikan) kepada Umno, kerana sudah tentu pihak kerajaan, khususnya Bersatu mungkin tidak lagi memberi kerjasama kepada pemimpin Umno, yang sudah mengambil pendirian menentang atau menolak Bersatu,” katanya pada hantaran di media sosial hari ini.
Kenyataan Annuar itu berdasarkan spekulasi kepimpinan Umno telah memutuskan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu semasa mesyuarat MT di Janda Baik, Pahang pada 19 Feb lalu.
Menurut Annuar, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dikatakan menulis surat kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Mohd Yasin memaklumkan keputusan MT Umno itu.
Kata Annuar, isi kandungan surat itu menyampaikan perkara berikut:
“Pertama, tidak ada kerjasama dengan Bersatu dalam PRU15.
“Kedua, Umno berpendapat kebersamaan Umno dalam kerajaan hanyalah sehingga parlimen di bubarkan.”
Menurut Annuar yang juga bekas setiausaha agung BN, akar umbi Umno berhak tahu jika benar surat itu telah disampaikan kepada perdana menteri dan kenapa mereka tidak dirundingkan.
“Ahli juga perlu tahu, apakah benar-benar perkara tersebut sememangnya diputuskan oleh mesyuarat MT Umno.
“Jika benar tentu ahli mahu tahu, rasional keputusan itu di buat sekarang, sedangkan pilihan raya tak tahu bila.
“Banyak persoalan yang timbul. Kenapa sudah diputuskan tidak berkerjasama sekarang, sedangkan ada usul-usul sedemikian yang perlu dibawa ke Perhimpunan Agong Umno terlebih dahulu.
“Mengapa mendahului PAU (27 Mac depan),” soal ahli parlimen Ketereh itu.
Annuar yang juga menteri Wilayah Persekutuan menggesa kepimpinan Umno menjelaskan kepada ahli jika benar parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15.
“Apakah ini menguatkan atau melemahkan parti?
“Kalau sudah buat keputusan tidak berkerjasama dengan Bersatu atau Perikatan Nasional, maka ahli mahu tahu umno mahu berkerjasama dengan siapa?Bersendirian?
“Dengan PKR dan Anwar (Ibrahim)? Dengan DAP dan Lim Kit Siang? …jajaran baru?
“Apakah keputusan ini sudah di terima oleh Dewan Tertinggi BN, sedangkan dalam PRU kita bertanding atas nama BN?
“Sebagai ahli, kita menunggu penjelasan para pemimpin,” katanya menggesa kepimpinan Umno berterus terang.