‘Geng Ayoi Gombak’ aktif ragut, lebur emas tumpas

KUALA LUMPUR: ‘Geng Ayoi Gombak’ yang disyaki terlibat dalam 300 kes jenayah ragut sekitar Kuala Lumpur akhirnya tumpas apabila lapan anggota kumpulan itu termasuk seorang warga Thailand diberkas dalam Ops Rentap Mewah, baru-baru ini.

Kesemua suspek yang berumur antara 29 dan 35 tahun itu diberkas dalam beberapa siri serbuan di Shah Alam, Sentul dan Hulu Klang dalam operasi yang bermula dari 26 Jan hingga Isnin lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin berkata dalam serbuan pada 26 Jan lepas, polis menahan empat lelaki termasuk seorang warga Thailand sebelum seorang lelaki lagi yang berperanan sebagai peragut ditahan dua hari kemudiannya.



Beliau berkata susulan tangkapan itu, pihaknya menahan seorang lelaki yang berperanan sebagai pembeli barang emas untuk dilebur dan diniagakan, atau dikenali sebagai ‘ulat emas’, di Shah Alam dan merampas sebuah kereta jenis BMW serta sebuah motosikal.

“Kami meneruskan tangkapan dengan menahan dua lelaki di sebuah premis kedai emas di Hulu Kelang yang berperanan sebagai pembeli emas yang telah dilebur.

“Turut dirampas pelbagai peralatan untuk melebur emas, 37 unit rantai, gelang, cincin dan loket emas, serpihan emas, wang tunai, jam tangan mewah dan sebuah kereta Mercedes Benz yang dianggarkan bernilai RM1.2 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Ustazah selamat dalam cubaan ragut



Saiful Azly berkata hasil siasatan mendapati suspek yang berperanan sebagai ‘ulat emas’ akan membeli gelang dan rantai emas yang diragut dengan harga RM190 satu gram sebelum melebur emas berkenaan di sebuah premis di Hulu Klang pada setiap minggu.

“Geng ini aktif sejak tahun lepas dan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM2 juta,” katanya.

Beliau berkata daripada lapan lelaki itu, tiga termasuk seorang warga Thailand dibebaskan dengan jaminan polis manakala selebihnya ditahan reman mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan Seksyen 4(1)(a) akta yang sama selama 21 hari.



Sementara itu, dalam kes berasingan polis menahan enam lelaki disyaki terbabit dalam jenayah kereta klon dan kereta curi menerusi Operasi Lejang yang bermula 2 Feb hingga 2 Mac lalu.

Saiful Azly berkata kesemua suspek berusia dalam lingkungan 22 hingga 42 tahun itu disyaki aktif sejak tiga tahun lepas.

Dua ahli Geng Ayoi Gombak terlibat 300 kes ragut diberkas



Menurutnya modus operandi suspek adalah dengan menyasarkan kenderaan yang gagal membayar pinjaman dan mencuri kereta dari Singapura sebelum mengubah nombor casis untuk dijual.

“Dalam serbuan di sebuah premis kereta terpakai di Cheras, kita merampas 19 kereta pelbagai jenama dengan 16 daripadanya mempunyai kesan ubah suai pada nombor casisnya, manakala sembilan kereta mempunyai rekod hilang pada nombor casis kereta berkenaan yang dianggarkan bernilai RM3.5 juta

“Sindiket ini menjual kenderaan melalui laman web dan bersemuka dengan harga maksimum RM120,000 sebuah kepada pembeli,” katanya.

Tambahnya lagi, dengan penahanan itu, pihaknya berjaya menumpaskan sindiket kereta klon dan kereta curi yang dipercayai dilakukan di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Perak.



Beliau berkata dua daripada enam suspek telah dituduh di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan manakala selebihnya dibebaskan dengan jaminan polis.

Related Articles

One Comment

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker