Berbaiah Dengan Al-Quran, Bukan Jaminan Pemimpin Pejuang Tak Lompat – Mukhriz

PETALING JAYA: Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata, tiada jaminan bahawa pemimpin dari partinya tidak akan melompat parti walaupun mereka telah berbaiah dengan Al-Quran untuk tidak berbuat demikian.

Katanya beberapa pemimpin dari bekas partinya PPBM pernah melakukan sumpah baiah yang sama sebelum pilihan raya 2018, namun ia tidak menghalang mereka daripada menjadi “pengkhianat”.

“Apa sahaja bentuk saringan (untuk pemimpin) yang kami lakukan, akhirnya, terserah kepada individu itu sendiri sama ada mereka mahu melompat atau meninggalkan parti. Itu hak mereka,” katanya dalam sesi webinar hari ini.

“Dalam kepemimpinan tertinggi, kami masing-masing telah berbaiah dengan Al-Quran untuk menegakkan prinsip parti.

“Tetapi sumpah itu turut dilakukan di PPBM sebelum ini dan masih ada yang menjadi pengkhianat.

“Jadi saya tidak dapat memberikan jaminan 100% bahawa siapa pun tidak akan lompat parti, saya harap mereka ada sedikit rasa tanggungjawab bahawa apabila dah berbaiah dia tidak boleh lari daripada perjuangan asal.”

Pemimpin Pakatan Harapan berkata tindakan PPBM meninggalkan gabungan kerajaan Februari lalu adalah pengkhianatan terhadap gabungan dan kepercayaan pengundi yang undinya berjaya membawa PH ke Putrajaya pada pilihan raya umum ke-14.

Keputusan PPBM untuk keluar dari PH dibuat tidak lama setelah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Yang Di-Pertuan Agong pada 24 Feb, menyaksikan PPBM terus membentuk kerajaan baru dengan pihak lain.

Mukhriz 2 kali kecundang, 4 kali ditinggalkan

Walaupun terdapat banyak gesaan berhubung undang-undang antilompat parti, menteri undang-undang de facto Takiyuddin Hassan sebelum ini berkata bahawa peraturan seperti itu akan bertentangan dengan Fasal 1 (C) Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan kebebasan berpersatuan untuk semua rakyat Malaysia.

Mukhriz, bekas timbalan presiden PPBM, diminta memberikan komen mengenai bagaimana beliau dapat memastikan bahawa pemimpin Pejuang tidak akan melompat parti di masa depan ketika sesi webinar di laman Facebook parti itu hari ini.

Menyentuh perkembangan lain, beliau berkata, walau Pendaftar Pertubuhan (RoS) bulan lalu menolak permohonan pendaftaran Pejuang, parti itu sudah mula bersiap sedia untuk pilihan raya umum yang akan datang.

Bekas Menteri Besar Kedah itu, bagaimanapun, berkata parti itu tidak akan meletakkan calon bebas walaupun RoS terus menolak pendaftaran mereka, sambil menambah bahawa mereka mempunyai “pilihan lain”.

“Kami tidak akan menyertai pilihan raya umum akan datang dengan calon bebas. Calon kami akan mempunyai logo dan platformnya sendiri,” katanya.

Mengenai pendaftaran mereka yang tertangguh, Mukhriz berkata pihaknya telah membuat tiga perubahan pada draf perlembagaannya seperti yang disyaratkan oleh kementerian dalam negeri (KDN) dan telah mengemukakan dokumen itu kembali kepada RoS.

“Pada kami, semua syarat baik dari RoS atau bahagian dasar KDN telah penuhi. Maka tak sepatutnya ada apa lagi yang melewatkan urusan pendaftaran parti,” katanya.

Tak perlu melompat dengan cadangan dibuat Najib

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker