Mukhriz 2 kali kecundang, 4 kali ditinggalkan

Kejatuhan Mukhriz Mahathir yang pasti akan berlaku tidak lama lagi susulan pembelotan semalam digambarkan sebagai “penghinaan politik yang terakhir” bagi anak kepada bekas perdana menteri itu.

Ahli parti teringat, ramai secara gurauan dalam perbualan yang dilihat FMT, bagaimana menteri besar Kedah itu memberi nasihat tentang kemahiran untuk bertahan kepada pimpinan PPBM Johor susulan perubahan politik di negeri selatan itu selepas tumbangnya Pakatan Harapan.

“Ada apa-apa boleh saya perjelaskan mengenai keadaan politik semasa?” kata Mukhriz kepada pemimpin PPBM Johor 2 minggu lepas.

“Kalau boleh saya terangkan bagaimana PPBM Kedah masih boleh bertahan setakat ini. Seperti di Parlimen, jumlah kerusi menentukan pihak mana yang tubuh kerajaan negeri.

“Maka walaupun saya tidak menyokong Perikatan Nasional (yang sebenarnya tidak wujud pun), PPBM masih boleh menganggotai kerajaan kerana kesepakatan bersama Pakatan Harapan masih utuh. Dan PH juga setuju saya kekal sebagai menteri besar,” katanya dalam kumpulan perbualan dengan pemimpin partinya di Johor.

Dalam satu lagi nasihat kepada pimpinan Johor, Mukhriz mendakwa Perikatan Nasional, gabungan yang merampas kuasa daripada PH pada Mac, berulang kali cuba memujuk “Adun-adun kami untuk lompat ke sana”.

“Tapi setakat ini usaha itu tak berhasil. Sampai bila? Belum tentu,” tambahnya.

Seorang orang dalaman parti berkata mesej Mukhriz itu membantu kumpulan yang bersepakat dengan Muhyiddin Yassin, presiden PPBM yang dicabar Mukhriz pada pemilihan parti akan datang.

“Ia boleh menunjukkan seorang watak utama dalam kumpulan pro-PH dalam PPBM mengalami penghinaan di tangan sekutu sendiri,” kata ahli PPBM itu, yang dekat dengan kumpulan dalaman kepimpinan parti Melayu itu di Kedah, kepada FMT.

Pemerintahan Mukhriz selama 2 tahun ditamatkan oleh pengumuman daripada 2 Adun PKR yang mengisytiharkan sokongan kepada Muhyiddin dan kerajaan PN.

Salah seorang bekas pegawainya menggambarkan perkembangan itu sebagai “deja vu” dalam kerjaya politiknya yang bermula dengan Umno sedekad lalu.

“Dua kali jawatan MB beliau tergugat, ia ada kaitan dengan pendirian bapanya mengenai kepimpinan pusat,” kata bekas pegawai itu kepada FMT.

“Bukan sahaja beliau hilang kuasa 2 kali kerananya, beliau juga banyak kali diabaikan sekutunya.”

Empat tahun lalu, Mukhriz sebagai menteri besar Kedah bawah pemerintahan Umno hilang keyakinan ahli partinya, selepas bapanya, Dr Mahathir Mohamad semakin menekan perdana menteri ketika itu, Najib Razak supaya berundur kerana hal 1MDB.

Tiga minggu selepas kejatuhan Mukhriz, Mahathir tinggalkan Umno.

Ini kali kedua Mukhriz mendapati dirinya ditekan supaya meletak jawatan.

Anak Mahathir itu tidak popular, walaupun dalam kalangan sekutunya dalam PH yang menjadikan bapanya sebagai tarikan untuk memenangi pilihan raya 2018.

Bagi menekankan perkara itu, pengkritik Mukhriz mengedarkan surat oleh Pengerusi PKR Kedah, Johari Abdul mencalonkan Adun PAS, Muhamad Sanusi Md Nor untuk jawatan menteri besar selepas perubahan kuasa persekutuan pada Mac.

“Tetapi apa yang lebih menjejaskan adalah apa yang presiden PKR ketika itu buat selepas kemenangan PH di Kedah pada 2018,” kata sumber itu, menunjukkan kepada FMT surat daripada Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada Sultan Kedah 2 hari selepas pilihan raya umum 9 Mei.

Dalam surat itu, Wan Azizah menamakan Johari sebagai pilihan PKR untuk jawatan menteri besar, mendakwa partinya menang 18 daripada 36 kerusi.

“Walaupun ramai orang termasuk calon PPBM tiada pilihan kecuali menggunakan lambang PKR untuk pilihan raya,” kata sumber itu.

“Ternyata Mukhriz tidak pernah jadi pilihan pertama setiap kali ada peluang untuk beliau berkuasa di Kedah.

“Beliau ditinggalkan Umno pada 2016, ditolak PKR 2 kali pada 2018 dan 2020, dan sekarang hilang sokongan Adun.”

Namun, sehingga 2 minggu lepas, Mukhriz masih memberikan tip untuk bertahan kepada rakan-rakannya dalam PPBM.

“Saya ingin mencadangkan PPBM Johor kembali kepada PH secara ‘total’. Majoriti PPBM-PH akan lebih besar dari apa yang Umno-PPBM punyai sekarang ini,” katanya dalam mesej lewat malam kepada pemimpin parti negeri itu.

“PPBM kembali memegang jawatan MB Johor. Gunakan tempoh sebelum pilihan raya umum ke-15 untuk kukuhkan kedudukan kita di kampung-kampung dan bandar. Ramaikan ahli berkualiti.

“Jentera mesti terlatih dan bersemangat. Mesti bersikap ‘hemoi’,” katanya, menggunakan istilah loghat utara yang bermaksud tebal muka.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker