NGO mahu polis didakwa lepas pemuda maut akibat hentakan benda tumpul

 

Pada 28 Jan, pasangan suami isteri warga emas menerima berita mengejutkan daripada pihak polis apabila anak mereka dikhabarkan meninggal dunia di hospital.

Pasangan itu hanya mengetahui sehari sebelum itu bahawa anak mereka, Mohd Afis Ahmad, 31 ditahan pihak polis dari ibu pejabat polis daerah (IPD) Yan di Kedah.

Ahmad Daud memberitahu media bahawa pada hari berkenaan, telefonnya berdering dan nombor di skrin memaparkan nombor telefon anaknya Mohd Afis Ahmad.

Bagaimanapun ketika dia menjawab panggilan itu, suara di talian adalah suara  orang lain.

“Polis memperkenalkan diri sebagai inspektor Amri dari IPD Yan. Dia ada beritahu untuk mengecam mayat (di hospital Alor Setar),” katanya dalam sidang media yang dianjurkan oleh NGO hak asasi manusia Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict).

Kata Ahmad Daud, dia tidak tahu bahawa Afis yang berusia 31 tahun ditahan oleh pihak polis.

Kes Adib: Hamzah patut ulas keputusan Koroner, bukan syor inkues lain

Tambahnya, polis memberitahu Afis dibawa ke hospital selepas mengalami kekejangan dan kelihatan seperti seorang penagih dadah.

Keluarganya kemudian dimaklumkan bahawa Afis disiasat kerana disyaki menyamar sebagai anggota polis.

Menurut pengarah Edict, M Visvanathan, kematian Afis berpunca daripada hentakan benda tumpul di kepala.

 “Mengikut pengesahan doktor, punca kematian disahkan blunt force trauma to the head,” katanya yang juga seorang peguam.

Justeru itu Visvanathan menggesa agar pihak polis yang mengendalikan penahanan terhadap Afis agar didakwa.

“Perkara ni tak seharusnya berlaku dalam mana-mana tahanan. Tahanan seharusnya selamat di dalam tahanan.

“Kalau terdapat unsur-unsur yang jelas yang tunjukkan si mati ini telah dipukul dan mati akibat dipukul, kita tak perlu tunggu satu inkues diadakan.

“AGC tak perlu tunggu sehingga inkues diadakan, tapi terus mendakwa anggota-anggota yang mungkin terlibat dalam kes ini kerana menyebabkan kematian,” katanya.

Tulis surat kepada IGP, AG

Visvanathan berkata dia akan menulis surat kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berhubung perkara itu.

Tambahnya, inkues hanya perlu diadakan sekiranya kematian mangsa diragui.

Sementara itu, ibu Afis, Asnah Ahmad meluahkan rasa sedih dengan kematian anaknya dan terkilan dengan cara polis mengendalikan kes itu.

“Saya merasa terkilan juga. Depa tiga beradik, dua perempuan dan satu lelaki Jadi saya berasa sedih sangat, tu anak bongsu saya.

“Saya minta keadilan (kepada Afis),” katanya yang menetap di Gurun, Kedah.

Pada tahun 2014, Afis menyertai polis bantuan selama dua tahun sebelum membantu penternakan ayam yang diusahakan ayahnya.

Ini bukan kali pertama Afis ditangkap.

Penguat kuasa terlibat kartel daging tipu label halal tak boleh terlepas

Menurut pasangan itu, dia juga ditahan pada Ogos tahun lalu selepas disyaki melakukan rompakan.

“Kita tak tahu dia ditahan di mana.

“Anggota polis yang datang ke rumah semuanya tak berpakaian uniform. Lebih kurang enam orang.

“Mereka datang selama setengah jam dan tidak beritahu kita apa yang mereka cari,” kata Asnah.

Ketika ditanya apakah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) boleh membantu siasatan, Visvanathan berkata buat masa ini dia tidak pasti di mana Afis sebenarnya ditahan.

Bagaimanapun Visvanathan berkata dia akan membangkitkan insiden itu kepada AGC dan IGP dengan menghantar surat kepada mereka minggu ini.

Malaysiakini sedang berusaha menghubungi ketua polis Kedah, Hasanuddin Hassan untuk mendapatkan komen.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker