Penguat kuasa terlibat kartel daging tipu label halal tak boleh terlepas

‘Isu ini amat besar, bayangkan benda haram dimakan umat Islam’

JOHOR BAHRU, 4 Jamadilawal 1442H, Sabtu  – Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberi amaran bahawa mana-mana anggota atau penguat kuasa agensi yang didapati bersekongkol dengan kartel daging tipu label halal, tidak boleh terlepas.

“Isu terbaharu di Johor berkenaan kartel yang mencampuradukkan daging tidak halal, kalau ada penglibatan misalnya pegawai kastam atau Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (Maqis) perlu diambil tindakan tegas.

“Bayangkan benda yang haram dimakan umat Islam. Makanan yang haram dijual di pasaran dan kita orang Islam diberi makanan yang tidak disembelih,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Sinar Live bertajuk ‘Biar Diancam, Saya Tidak Gentar!’ yang bersiaran secara langsung dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor Bahru, semalam.



Ayob Khan menegaskan, pelaku perlu diburu dan ditangkap kerana isu tersebut amat besar.

Bahkan, siasatan menyeluruh juga perlu dilakukan jika benar ada yang terlibat, gesanya.

“Siasatan tersebut perlu supaya semua rantaian yang terlibat dikenakan hukuman termasuk mereka yang menyebabkan berlakunya ketirisan dalam agensi penguatkuasaan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker