Wanita buka ‘port’ lepas gian

Sungai Petani: Wanita sanggup menjadikan rumahnya di kawasan perumahan di daerah ini sebagai ‘port’ penagih melepaskan gian.

Bagaimanapun, rumah wanita berusia 42 tahun itu diserbu sepasukan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Muda dalam operasi pada 8.20 pagi semalam.

Ketika serbuan dilakukan, wanita itu ditahan bersama anak perempuannya berusia 17 tahun, manakala beberapa penagih lain berjaya melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Ketua Pegawai AADK Kuala Muda Arnida Ishak berkata, operasi yang bermula pada 8 pagi hingga 11.45 malam itu tertumpu di beberapa kawasan iaitu sekitar Sungai Petani, Gurun, Sungai Pasir dan Bedong.

Menurutnya, pihaknya menahan seramai sembilan orang iaitu tujuh lelaki dan dua wanita berusia antara 17 hingga 42 tahun dalam operasi berkenaan.

Katanya, anak perempuan wanita itu kemudiannya dibebaskan selepas didapati tidak terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

“Lapan yang lain didapati positif dadah iaitu seorang daripadanya positif dadah jenis morfin, manakala tujuh lagi positif dadah jenis jenis methampetamine.

“Operasi dijalankan selepas menerima maklumat awam dan aduan yang diterima,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arnida berkata, lapan individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.

Katanya, tiga daripadanya akan direman di lokap AADK Kuala Muda, manakala lima lagi dibebaskan dengan jaminan bersyarat.

“Sehubungan itu, orang ramai di sekitar Kuala Muda boleh menyalurkan maklumat serta aduan melalui Talian Hotline AADK di talian 03-89112233 atau 019-6262233 atau hadir ke Pejabat AADK Daerah Kuala Muda.

“Kita turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti berkaitan pemprosesan, pembekalan, penyeludupan, penjualan serta penagihan dadah,” katanya-HM

Lari berbogel elak dicekup

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker