Lari berbogel elak dicekup

Sungai Petani: Seorang lelaki dipercayai penagih dadah sanggup melarikan diri dalam keadaan bogel ketika anggota penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Muda menyerbu penempatan penduduk di Merbok, di sini, semalam.

Bagaimanapun, lelaki itu tidak dapat meloloskan diri dan berjaya ditahan dalam operasi Ops Cegah yang bermula jam 9 pagi hingga 11.30 pagi itu.

Dalam operasi sama, seorang lelaki sanggup melarikan diri dalam keadaan berselut untuk mengelak dari ditahan, namun gagal apabila dia berjaya ditahan pihak berkuasa.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda Arnida Ishak berkata, dalam operasi itu, seramai 15 individu disyaki penagih dadah yang terdiri daripada 15 lelaki dan seorang wanita ditahan di 10 kawasan di daerah itu.

Beliau berkata, operasi dilakukan di Kampung Pengkalan Batu Lintang dan Taman Sri Pinang di Tikam Batu, Flat Payu Nahu 2, Kampung Belakang Klinik dan Kampung Tengkorak Batu di Bukit Selambau, Kampung Baru di Sungai Lalang.

Selain itu, katanya, lokasi lain yang diserbu adalah di Kampung Masjid Baru di Semeling, Taman Lembah Bujang dan Kampung Pasir di Merbok dan Taman Seri Bayu di Sungai Lalang.

“Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 16 hingga 60 tahun dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arnida berkata, lapan daripadanya positif dadah jenis methampetamine dan morfin, lima positif jenis methampetamine dan dua daripadanya positif ganja.

Katanya, operasi kali ini menggunakan kekuatan seorang pegawai dan empat anggota yang diketuai Irdawati Abdul Hamid.

“Kesemua mereka yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.

“Lima daripadanya akan ditahan reman di lokap AADK Kuala Muda dan 10 daripadanya dibebaskan dengan jaminan bersyarat,” katanya.

Menurutnya, masalah penagihan dadah di daerah itu semakin membimbangkan walaupun pihaknya sentiasa melaksanakan operasi.

Katanya, peranan semua pihak amat penting dalam usaha bersama-sama membendung masalah ini dan bukan hanya menyalahkan pihak tertentu.

“Sehubungan itu, orang ramai boleh menyalurkan maklumat serta aduan melalui talian hotline AADK yang disediakan di talian 03-89112233 @ 019-6262233 ataupun hadir ke Pejabat AADK Daerah Kuala Muda,” katanya.-HM

Wanita bogel usir polis

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker