‘Tunggu pemilihan, bukan desak dengan kain rentang’

Sebaran :

Ahli UMNO diminta menunggu sehingga pemilihan parti akan datang sekiranya mahu menukar kepimpinan dan bukannya memasang kain rentang mendesak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, perlembagaan parti memberi banyak ruang kepada ahli untuk menggunakan hak mereka dalam pemilihan parti jika mereka mahukan pertukaran pemimpin.

“Adalah salah memasang sepanduk (kain rentang) seperti itu. Setiausaha Agung parti (Datuk Seri Ahmad Mazlan) telah menyebut akan ada pemilihan parti. Mari kita tunggu,” katanya menurut laporan The Star pada Selasa.

Terdahulu, kain rentang mendesak Ahmad Zahid berundur dilaporkan dipasang di dua lokasi di Perak iaitu di Tanjung Malim dan Kuala Kangsar sejak Ahad.



Pada Ahad, satu laporan polis dibuat oleh Setiausaha UMNO Bahagian Tanjung Malim, Jamil Sulong Mohamed Shariff bersama beberapa ahli jawatankuasa (AJK) UMNO bahagian itu berhubung perkara tersebut.

Sementara itu, Mohamed Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata, UMNO Bahagian beliau tidak memasang kain rentang tersebut, malah mengulangi gesaan apa sahaja tindakan mahu diambil perlu menunggu sehingga pemilihan parti.

“Apa sahaja yang anda mahu lakukan, tunggu sehingga perhimpunan agung UMNO,” katanya-SH


Sebaran :

Leave a Reply