Kain rentang bantah tulisan Jawi, khat mula dinaikkan

Beberapa sekolah vernakular di sekitar Lembah Klang dipercayai mula menaikkan kain rentang sebagai tanda membantah pembelajaran tulisan Jawi dan seni khat di sekolah tersebut.

Tindakan itu dilakukan susulan Kementerian Pendidikan memberi kelonggaran kepada Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa dan murid di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SJK) untuk memutuskan sendiri pengajaran tersebut.

SJK Tamil (SJKT) Batu Caves antara yang menjadi tumpuan warga maya apabila tular dalam laman Twitter pemasangan kain rentang di pintu masuk sekolah itu yang membantah pengajaran dan pembelajaran tersebut.

Gambar itu dikongsikan oleh seorang pengguna Twitter, @TheUsopIbrahim sehingga mendapat ulang kicau sebanyak 2,505 dan 1,233 tanda suka.



Pelbagai reaksi diberikan antaranya ciapan dari Erick yang mengakui dirinya masih mengingati pembelajaran tulisan Jawi sewaktu di sekolah walaupun dia bukan seorang Muslim.

“Aku bukan Islam belajar jawi, sampai ke hari ini masih ingat apa yang diajar,” tulisnya.

Bagi @Rae Zalani, tindakan memasang kain rentang sebagai tanda protes adalah tidak patut kerana boleh mencetuskan sentimen perkauman di negara ini.

“Saya dari SJKC dan belajar kaligrafi Cina, tapi saya kurang setuju tindakan nak pasang kain rentang tanda protes. Kabinet bagi kelonggaran untuk tolak subjek Khat (Jawi) bagi vernakular. Bukankah boleh membangkitkan kebencian kaum,” kongsinya.



Sementara itu, seorang pengguna media sosial, Pizli Mat Wazip memuat naik sekeping gambar di persimpangan jalan ke Bandar Baru Bangi yang tertera kain rentang menolak pengenalan seni khat di sekolah Tamil atas alasan tidak sesuai dari Lembaga Pengelola Sekolah dan PIBG SJKT Bangi dekat sini.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Ogos lalu membuat keputusan mengekalkan keputusannya sebelum ini supaya pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid sekolah rendah tahun empat di SJK mulai 2020 diteruskan, tetapi dilaksanakan hanya jika dipersetujui oleh PIBG serta ibu bapa dan murid di SJK tersebut.

Pembelajaran di Sekolah Kebangsaan akan teruskan seperti biasa dan Jemaah Menteri turut mengekalkan keputusan untuk pengenalan tulisan Jawi itu dimuatkan sebanyak tiga muka surat di dalam buku teks. -UTUSAN ONLINE



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker