Kerajaan pimpinan Muhyiddin berada di ‘Lembah Kegilaan’ – Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin digambarkan seolah-olah tidak mampu memberi sebarang keyakinan, apatah lagi menjanjikan masa depan yang lebih baik, ketika negara masih bergelut mengekang pandemik COVID-19.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pengumuman demi pengumuman yang dibuat oleh kerajaan seperti tidak ada perancangan awal selain sering tidak jelas.

Tindakan Muhyiddin, tegas ahli Parlimen Port Dickson itu telah meletakkan negara ini dalam lembah percanggahan.



“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi acara tahunan yang sia-sia tanpa sebarang makna dan hasil.

“Apa yang kelihatan seolah bersyarat, namun nampaknya semacam akan kekal. Cakap-cakap tentang pemulihan ternyata omong kosong.

“Jadinya, kita sekarang ini kembali ke peringkat asal. Mula balik. Ini mengingatkan saya kepada apa yang pernah diungkap Albert Einstein, “adalah sesuatu yang gila untuk mengulangi perkara yang sama sambil mengharapkan hasil yang berbeda”,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook, pada Ahad.

Dakwa bekas Timbalan Perdana Menteri itu lagi, kepimpinan Perdana Menteri turut meletakkan negara ini di lembah kegilaan.



Jelas Anwar, kerajaan sepatutnya membantu rakyat untuk kembali percaya kepada kemampuan masing-masing selain mencipta kekuatan baharu dalam mengharungi kemelut ini sebagai bangsa yang bersatu padu.

“Malaysia patutnya telah berjaya, apa yang disebut sebagai “flattening the curve” atau melandaikan lekuk dan menjadi antara negara yang berjaya menundukkan COVID-19.

“Sebaliknya, kerajaan ini terus menyusah dan membodohkan rakyat. Kerajaan hari ini anggap rakyat seperti kanak-kanak. Tidak, rakyat di negara inilah yang memungkinkan sebuah tatanan bernama Malaysia.

“Sekiranya kerajaan ini tidak mampu percaya pada rakyat dan yakin pada rakyat, bagaimana mungkin mereka harapkan perkara yang sama? Apatah lagi untuk patuh prosedur operasi standard (SOP) yang sentiasa berubah setiap masa,” tambah Anwar.



NGO gesa pihak berkuasa henti ‘kegilaan’ Anwar mahu jadi PM

Selain itu, Anwar turut menegaskan kerajaan PN semakin hilang wibawa dan keyakinan, sehingga menyukar untuk ia dipulihkan.

“Langkah mengisytiharkan darurat tampak terdesak dan melulu, tanpa sebarang asas yang kukuh, langsung melebarkan jurang antara rakyat dan kerajaan.



“Muhyiddin minta kita percaya beliau tatkala kediktatoran beliau semakin menonjol.

“Keyakinan terhadap kepimpinan beliau juga semakin merosot tatkala seorang demi seorang Ahli Parlimen menarik sokongan.

“Apakah kita masih boleh percaya dengan kerajaan hari ini?” soal beliau lagi.

Sehubungan itu, Anwar berkata, pengisytiharan darurat disifatkan seperti tidak ada kaitan dengan usaha dan upaya negara melawan impak COVID-19.



“Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar jangan putus asa.

“Negara ini negara yang istimewa, punya pelbagai kaum dan agama, dan saya yakin ini adalah ciri yang terbaik yang kita ada,” katanya.

Terdahulu, Anwar mencadangkan semua Ahli Parlimen menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan baginda membatalkan Proklamasi Darurat dan menitahkan sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

Pada 12 Januari lalu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.



 

Mahathir sedia terima Anwar sebagai PM positif, bantu usaha tawan Putrajaya, kata Mahfuz

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker