Annuar bangkit bela Kerajaan, keputusan flip flop ke arah kebaikan tidak mengapa

Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa mempertahankan keputusan flip flop kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengenai kebenaran membuka semula taman awam, susulan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) kali kedua di Kuala Lumpur.

Menurut Annuar, apa yang dikatakan itu tidak benar kerana semua ketetapan itu diambil selepas mengambil kira maklum balas orang awam.

“Saya baca sindiran-sindiran kata kita buat keputusan flip flop, kata ada perbezaan dengan apa yang dicakapkan saya dengan apa yang disebut menteri pertahanan (Ismail Sabri Yaakob) .

“Sebenarnya itu adalah tidak benar, pengumuman yang pertama dibuat oleh perdana menteri, kemudian diperincikan oleh menteri pertahanan. Itulah yang muktamad dan itulah yang sahih, cuma selepas itu ada kes-kes rayuan dalam kes taman ini termasuk daripada wakil-wakil rakyat, pembangkang dan Wilayah Pesekutuan.

“Jadi kita kena dengar rayuan rakyat,” katanya dalam siaran langsung di Facebooknya Kementerian Wilayah Persekutuan, hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh membidas ketidakseragaman menteri-menteri kabinet dalam membuat keputusan mengenai kebenaran untuk beriadah tertentu di taman awam, susulan penguatkuasaan PKP kali kedua di Kuala Lumpur.

Pada 13 Jan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan taman awam bawah seliaannya ditutup.

Kemudian, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob pada 14 Jan dilaporkan menegaskan taman awam mesti ditutup.

Bagaimanapun pada 15 Jan, Annuar Musa melalui hantaran di media sosialnya berkata taman awam boleh dibuka.

Berbeza dengan PKP pada Mac, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Rabu lalu mengumumkan PKP 2.0 kali ini membenarkan aktiviti riadah tertentu di luar rumah dengan syarat tertentu yang harus dipatuhi.

Aktiviti sukan dan rekreasi yang dibenarkan; joging (dalam kumpulan tidak lebih daripada dua orang dan dalam lingkungan setempat serta berbasikal (bersendirian, tidak lebih daripada 10 km dari tempat kediaman).

Menurut Yeoh, prosedur opersai standard (SOP) seharusnya tidak dibuat sesuka hati manakala Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu menyelaraskannya betul-betul.

Mengulas lanjut, Annuar berkata tidak semua keputusan mahupun ketetapan yang diambil kerajaan itu sempurna, oleh itu katanya jika terdapat sebarang cadangan pihaknya akan sedaya upaya membuat penilaian semula.

“Bukan (semua keputusan) bila kita umum satu perkara itu sempurna. Jadi kalau ada cadangan daripada orang ramai, kemudian kita buat penilaian dan bukan penilaian seorang menteri cakap ikut sedap saja.

“Tidak, isu taman itu telah dibawa ke mesyuarat di peringkat jawatankuasa kerja dan keselamatan Wilayah Persekutuan dan selepas itu ia dibangkitkan dalam mesyuarat MKN, yang dipengerusikan oleh Ismail Sabri, perdana menteri ada di situ, saya pun ada di situ.

“Kita bincang bersama-sama dan kita bersetuju taman-taman awam boleh dibuka dengan SOP yang ketat,” katanya.

Tambah Annuar yang juga ahli parlimen Ketereh bukanlah isu jika pembukaan semula taman ini ditanggapi sebagai keputusan flip flop (berubah-ubah) asalkan dibuat demi kebaikan rakyat.

“Ada beberapa hantaran termasuk kawan kawan yang menyindir dan sebagainya. Tidak mengapa, saya ok saja.

“Flip flop kearah kebaikan tak apa, (tapi) jangan flip flop yang menimbulkan kekeliruan. Flip flop atau pun ubah keputusan untuk kebaikan rakyat dan benda yang betul, yang baik mesti kita lakukan.

“Kita mesti menjadi kerajaan yang lebih mendengar, tidak boleh (jadi) kerajaan yang asal keluar peraturan saja ini tak boleh, itu tak boleh. Ini tak boleh,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker