Draf perlembagaan Muafakat Nasional bakal mengubah lanskap politik
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Muafakat Nasional (MN) Annuar Musa hari ini berkata, draf perlembagan gabungan itu sudah disiapkan dan kini disemak oleh pimpinan Umno dan PAS.
Annuar berkata, draf perlembagaan itu juga berkemungkinan akan dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno dan jawatankuasa tertinggi PAS sebelum sebarang pindaan dibuat, jika ada.
“Saya sudah edar salinan draf kepada pemimpin PAS dan juga Umno untuk mereka teliti. Saya juga menunggu arahan selanjutnya, mungkinlah draf itu dibawa ke MKT Umno dahulu atau jawatankuasa PAS,” katanya pada sidang media, hari ini.
Terdahulu, Umno dan PAS bersetuju untuk mendaftarkan kerjasama politik mereka selepas Umno mencadangkan perkara secara terbuka sebelum ini.
Melalui kenyataan setiausaha agung I dan II gabungan itu, iaitu Annuar Musa dan Takiyuddin Hassan, yang juga setiausaha agung PAS, kedua-dua parti bersetuju mengambil langkah itu.
Annuar berkata, draf perlembagaan MN yang dihasilkannya itu akan memberi kesan kepada Umno dan PAS, serta mengubah landskap politik parti Melayu-Islam itu.
“Kita tidak boleh buat secara suka-suka, perlembagaan ini ada implikasinya.
“Misalnya Muafakat Nasional hendak ditadbir oleh siapa? Jika Perikatan Nasional (PN) ada pengerusi dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang adalah timbalan pengerusinya.
“Dalam MN kita kena putuskan, mungkin kita hendak pakai konsep Majlis Syura, tanpa ada jawatan pengerusi, misalnya.
“Kemudiannya lambang, saya sudah minta penglibatan masyarakat untuk cadangkan lambang sesuai,” katanya.
MN adalah kerjasama politik antara Umno dan PAS yang terjalin secara rasmi pada 14 Sept 2019, menyusuli kekalahan Umno dan gabungan pimpinannya, Barisan Nasional (BN), pada pilihan raya umum 2018.
Ketika ini, Umno mempunyai 39 Ahli Parlimen, manakala PAS 18.
Lapan Ahli Parlimen MN memegang jawatan di peringkat eksekutif dalam pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang juga presiden PPBM.
Umno dengan sejarah sejak 1946 mempunyai lebih 3 juta ahli, manakala PAS yang bertapak 69 tahun lalu mempunyai kekuatan lebih 1 juta ahli, dengan lebih 800,000 ahli aktif.
You must be logged in to post a comment.