Roboh Kuil: MIC cuba politikkan isu – Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS, N Balasubramaniam

Selepas perang mulut antara Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dengan pemimpin MIC berhubung isu perobohan sebuah kuil Hindu, kumpulan penyokong bukan Islam PAS meminta semua pihak agar kembali ke meja rundingan.

Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat (DHPP) N Balasubramaniam berkata, perobohan kuil bukan isu kerana ia berlaku di bawah semua kerajaan, sama ada pada zaman Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sekarang.

“Isu ini tidak dapat diselesaikan jika kita saling menunding jari antara satu sama lain.

“MIC tidak berpuas hati dengan kepimpinan MB Kedah, mereka menyelar MB bukan seorang ahli politik yang senior. Sebab itu berlaku isu sebegini. Itu kenyataan yang tidak tepat.



“Janganlah apabila MB tidak mendengar arahan mana mana parti politik, MB itu dilabel dan dikecam.

“Di negeri lain yang dipimpin oleh PAS, seperti Kelantan dan Terengganu juga tiada wakil MIC akan tetapi kebajikan kaum India tetap dijaga dengan sempurna,” katanya kepada FMT.

Balasubramaniam menasihati MIC supaya tidak menimbulkan persepsi negatif dengan mendakwa kebajikan masyarakat India hanya terjaga di bawah pimpinan parti itu.

“Walaupun selama 60 tahun MIC pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan, mereka kena terima kenyataan bahawa kepimpinan mereka ditolak majoriti kaum India di Malaysia sebelum ini.



“Saya juga berasa sedih, walaupun mempunyai pengalaman yang begitu banyak, namun mereka gagal memahami cara menyelesaikan masalah melalui meja rundingan,”katanya.

Katanya, menteri besar Kedah bulan lalu mengajak semua pihak berbincang untuk menyelesaikan pelbagai isu, termasuk isu kuil secara diplomatik.

“Wakil DHPP sebagai pegawai khas MB Kedah juga melaksanakan pelbagai perkara melibatkan kebajikan masyarakat India.

“Saya menyeru MIC dan mana-mana pihak yang tidak berpuas hati untuk segera ke meja rundingan, tiada gunanya berbalah sesama kita,” katanya.



Terdahulu Sanusi dilaporkan berkata, MIC patut diharamkan jika ia menghasut rakyat melanggar undang-undang susulan perobohan sebuah kuil Hindu yang mencetuskan ketegangan antara parti itu dan kerajaan negeri pimpinan PAS.

Hubungan antara PAS dan MIC Kedah tegang selepas ketuanya S Ananthan meminta BN “mengkaji semula” kerjasamanya dengan parti Islam itu selepas mendakwa tiada peruntukan untuk tempat ibadat bukan Islam dalam Belanjawan Kedah 2021 yang dibentangkan baru-baru ini. FMT

Bekas exco, Pemuda MIC kritik belanjawan Kedah isu ‘dana’ kuil



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker